Kredit foto: Astro Gempak & Instagram Indah Ruhaila
Harapan besar Idayu membuatkan penyanyi Indah Ruhaila bertekad untuk menamatkan perjuangan persaingan sehingga ke peringkat akhir AF Megastar.
Ini susulan sasaran yang diletakkan Idayu yang ingin melihat kesemua peserta wanita yang tinggal terus bertahan hingga ke konsert akhir.
Walhal Indah sebenarnya sudah awal-awal akur sekiranya rezeki tidak berpihak kepadanya.
"Sebenarnya, pada setiap minggu pertandingan saya bagai sudah dapat menerima seandainya rezeki saya untuk berjuang dalam rancangan itu terhenti.
"Saya memahami lumrah pertandingan, namun pada masa sama saya jadi tidak sampai hati mengingatkan wajah sugul Idayu seandainya saya terkeluar.
"Biarpun bersaing dalam program sama, namun Idayu berharap saki baki peserta wanita yang tinggal dapat berjuang hingga ke peringkat akhir kerana pertandingan ini dikuasai oleh peserta lelaki," kata Indah memetik laporan portal Berita Harian Online.
Selain Idayu dan Indah, seorang lagi peserta wanita yang masih menyertai persaingan ialah Marsha. Manakala Adira menjadi peserta sulung disingkirkan daripada rancangan realiti berkenaan.
Lima peserta lelaki yang masih kekal ialah Amir Jahari, Syamel, Bob, Amir dan Shahir.
Sementara itu, Indah atau nama sebenarnya Siti Ruhailah Hussin menganggap penglibatannya dalam program itu adalah untuk meraih pengalaman dan mendapatkan ilmu daripada mereka yang profesional.
Kredit foto: Instagram Indah Ruhaila
"Saya berterima kasih kepada mereka yang bersusah payah berusaha menjadikan persembahan saya berbeza, saban minggu. Jika diikutkan, tugas saya adalah untuk menyanyi dengan baik kerana semuanya sudah dirancang oleh seluruh 'team'.
"Tujuan utama saya menyertai AF Megastar ini adalah untuk memperbaiki lagi nyanyian, dengan mengambil komen diberikan oleh barisan juri profesional. Ia mengingatkan diri supaya tidak sentiasa leka berada di zon yang selesa," ujarnya.
Konsert Suku Akhir AF Megastar bakal ke udara hari ini, jam 9 malam di saluran Astro Ria.
Sumber berita: BH Online