Kredit foto: Astro Gempak

Konsert separuh akhir Gegar Vaganza 4 (GV4) menyaksikan Syura diumumkan sebagai peserta terakhir disingkirkan dalam musim ini.

Pada minggu yang membawa tema ‘Goyang Kaki Goyang Tangan & Runut Bunyi’ itu, penyanyi Hazami menduduki tangga teratas dengan jumlah markah tertinggi sebanyak 70.55%, menerusi pertaruhan lagu ‘Hello' dan 'Getaran'.

Manakala Syura yang berada di kedudukan terakhir terpaksa akur dengan pungutan markah terendah sebanyak 58.10%.

Dalam pada itu, Aishah yang cemerlang dengan persembahan lagu ‘Keranamu Kekasih’ dan 'River Deep Mountain High' dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Gelora Vida Vaganza bagi kategori 'Lagu Paling Kau Ingat'.

Anugerah itu berdasarkan jumlah tanda suka paling banyak di akaun Instagram Datuk Vida selaku penaja GV4.

Tuah juga berpihak kepada Lan yang menerima Anugerah Digi Star of The Week sekaligus membawa pulang eGiftCard Go Shop bernilai RM 1,000 serta diberi pilihan untuk menentukan giliran persembahannya minggu ini.

Juri yang mengadili peserta terdiri daripada dua juri tetap, Datuk Ramli MS dan Hetty Koes Endang bersama dua juri undangan, Datuk Wah Idris dan Datuk Ahmad Tarmimi Siregar.

Berikut kami kongsikan imbas kembali komen-komen juri pada malam konsert yang berlangsung Ahad lalu.

1. Lan - Kalis Rindu

"Anda banyak 'merayau', mungkin kerana gementar. Hujung-hujung lagu cantik, kamu ada gaya tersendiri" - Datuk Ramli MS

2. Aishah - Keranamu Kekasih

"Lagu ini lebih kepada penghayatan menyanyi. Pernafasan anda okey cuma saya harapkan lebih kreativiti, improvisasi dan ekspresi" - Hetty Koes Endang

3. Tia - Hukum Karma

"Anda buat persembahan berlainan dan saya rasakan pilihan muzik memang tepat dan rancak. Persembahan anda menghiburkan" - Datuk Wah Idris

4. Hazami - Hello

"Melodi anda paparkan sangat indah cuma saya kurang dengar 'whispering'. Secara keseluruhannya maju terus" - Datuk Tarmimi Siregar

5. Syura - Dokter Cinta

"'Angin' anda banyak hilang pada bahagian korus dan notasi anda banyak 'flat'. Dangdut pun banyak kurang, mungkin kurang tenaga" - Datuk Ramli MS

6. Firman - I Feel Good

"Lagu ini sangat popular dan ramai sudah tahu karakter penyanyi asal tetapi kamu ada karakter yang berbeza, persembahan pentas dan kreativiti okey tetapi saya tidak gemar bahagian anda cantumkan dengan lagu Sunda" - Hetty Koes Endang

7. Liza Hanim - Jagalah Diri

"Suara anda seperti burung putih terbang di udara dan flawless! Kemerduan dan pemakaian anda seperti Malaysian's Cinderella. Saya hampir menangis. Saya nampak penghayatan anda, kawalan suara, sebutan dan kreativiti anda. Anda seorang penyanyi sofistikated! - Datuk Wah Idris

8. Lan - Ukiran Jiwa

"Lagu rock memang forte anda. Anda tidak melantai tetapi ada gelombang. Anda akan terus maju" - Ahmad Tarmimi Siregar

9. Aishah - River Deep Mountain High

"Saya pernah kata saya patut 'bow' pada anda, di pentas anda hanya mahu menyanyi tanpa pedulikan imej, nama besar atau kemenangan. Anda orang seni tulen! Saya berikan tiket untuk ke final" - Datuk Ramli MS

10. Tia - Isabella

"Lagu ini sangat popular di Malaysia dan Indonesia. Penghayatan dapat, kreativiti dapat sebab keluar daripada penyanyi asal. Kamu memang rockstar!" - Hetty Koes Endang

11. Hazami - Getaran

"Walau rentak lagu ini ada groove, relaks dan santai tetapi ada bahagian tertentu yang kurang enak didengar. Tetapi anda ada kualiti suara yang bagus. Pemilihan, konsep dan idea lagu perlu tepat" - Datuk Wah Idris

"Intro sangat maskulin, suara masuk terus patah" - Datuk Ramli MS

12. Syura - Cinta Antara Benua

"Lagu kedua adalah forte anda dan lebih baik daripada lagu pertama, tetapi apabila anda terlalu mengawal pendengar tidak dapat menghayati nyanyian anda sepenuhnya" - Datuk Ahmad Tarmimi Siregar

13. Firman - Menanti Sebuah Jawaban

"Untuk menjadi penyanyi yang bagus, kamu perlu ada instrumen dan melodi yang konsisten. Kamu ada jiwa dan karakter." - Datuk Ramli MS

14. Liza Hanim - Kesal

"Kuasa konsistensi, penghayatan, persembahan pentas anda okey cuma ada masalah daripada segi sebutan dan fokus. Anda penyanyi serba boleh tetapi mesti sentiasa merendah diri" - Hetty Koes Endang

Konsert akhir GV4 bakal ke udara secara langsung dari Pinewood Iskandar Malaysia Studios, Johor Bahru, Johor pada Ahad depan (17 Disember 2017), jam 9 malam di saluran Astro Ria.

Sumber berita: Astro Gempak




Hakcipta iluminasi.com (2017)