Kredit foto: elle.my & Instagram Akademi Fantasia
Penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza melahirkan rasa puas hati dengan persembahan peserta AF Megastar, Idayu pada konsert Ahad lalu.
Menerusi kenyataan yang dibuat Siti di laman Twitternya, dia memberikan penghargaan atas persembahan vokal Idayu untuk lagu tradisional yang disifatkannya sebagai begitu baik.
Kredit foto: Twitter Datuk Siti Nurhaliza
Terima kasih Idayu atas nyanyian yang cukup baik. Gembira saya dengar.
Terdahulu, Idayu menyanyikan semula lagu nyanyian asal Siti, Ya Maulai di Konsert AF Megastar pada Ahad.
Persembahan Idayu mendapat pujian daripada juri tetap, pengarah muzik Datuk Ramli MS sekaligus meletakkannya di tangga keempat dalam kedudukan markah keseluruhan.
Dalam pada itu, ada juga di kalangan peminat Siti yang tidak gemar dengan teknik whistling yang diletakkan Idayu pada bahagian akhir lagu itu.
Bagaimanapun secara keseluruhannya, netizen tetap memuji usaha bekas pelajar Akademi Fantasia 3 itu kerana berani menyuntik kelainan untuk lagu berirama tradisonal dan membawakannya dalam versi yang berbeza.
Menerusi Konsert Keempat AF Megastar minggu hadapan, Idayu bakal disaingi oleh 9 lagi peserta lain iaitu Bob, Amir Jahari, Indah Ruhaila, Syamel, Sufi, Ewal, Marsha, Shahir dan Amir.
Konsert Ketiga yang berlangsung baru-baru ini menyaksikan penyingkiran Adira dan Azhar berdasarkan markah keseluruhan tercorot yang diperoleh.
AF Megastar ke udara secara langsung di saluran Astro Ria, jam 9 malam, setiap Ahad.