Kita pasti biasa mendengar ayat "biasa papa kedana asal bergaya". Walaupun ianya bukanlah satu gaya hidup yang elok untuk diikuti, itulah gaya hidup yang dipilih oleh segelintir golongan hipster di Congo yang sangat mementingkan fesyen melebihi segala-galanya. Mereka menggelarkan diri mereka "La Sape".
"La Sape" adalah sebuah perkataan daripada bahasa Perancis dimana perkataan "Sape" itu mempunyai maksud pakaian. Golongan ini dirujuk sebagai seorang "Sapeur". Golongan ini lebih tertumpu di bandar Kinshaha dan Brazzaville dimana setiap malam hujung minggu mereka akan berkumpul sambil menunjuk-nunjukkan pakai terbaru dan mahal yang dimiliki.
BESARKAN TEKS A- A+
Sejarah kemunculan La Sape
Mengikut sejarah, gaya hidup La Sape ini dikatakan bermula sejak daripada zaman penjajahan Perancis ke atas Congo lagi. Pada masa tersebut, seperti di kebanyakan tempat lain di Congo, penduduknya tidak berpakaian lengkap dan ada kalanya hanya bertelanjang.
Pihak Perancis ingin mengubah situasi tersebut dan mahu melihat rakyat tempatan lebih bertamadun dengan berpakaian lengkap. Dalam usaha untuk menggalakkan rakyat tempatan mula berpakaian, pihak Perancis telah membawa banyak pakaian terpakai dari sekitar Eropah untuk diberikan kepada penduduk tempatan.
Pemberian pakaian ini juga dikatakan sebagai hadiah bagi memupuk sifat taat setia penduduk tempatan kepada pemerintahan Perancis. Bandar Brazzaville mula menjadi popular sebagai tempat pilihan orang Barat yang datang ke Congo kerana mereka beranggapakan penduduk di bandar Brazzaville lebih bertamadun kerana kebanyakan daripada penduduknya sudah berpakaian.
Oleh kerana pakaian yang dibawa oleh Perancis merupakan pakaian dari negara-negara Eropah, maka penduduk setempat lebih mahir berfesyen mengikut gaya Eropah. Selain itu, para pekerja juga biasanya hanya diberikan sedikit upah berbentuk wang sebaliknya diberikan hadiah berupa pakaian apabila sudah selesai melakukan sesuatu kerja.
Sanggup berhutang demi fesyen
Bagi golongan La Sape, fesyen adalah segala-galanya. Mereka tidak kisah berbelanja besar malah sanggup membuat pinjaman kredit daripada bank semata-mata ingin membeli pakaian baru yang berjenama. Jenama popular seperti Giorgio Armani, Yves Saint Laurent, Kenzo serta beberapa jenama popular lain adalah antara beberapa jenama yang digemari mereka.
Bagi seorang Sapeur, berusaha untuk memajukan dan meningkatkan taraf hidup mereka bukanlah satu keutamaan sebaliknya mereka mestilah kelihatan lebih menyerlah dan segak berbanding rakan-rakan Sapeur yang lain.
Tidak dinafikan sesetengah orang di Malaysia sanggup membeli barangan tiruan tidak kiralah beg tangan, baju, topi, seluar dan sebagainya. Walau bagaimanapun, seseorang Sapeur tidak akan sesekali membeli barangan berjenama yang tiruan. Barang berjenama daripada pereka-pereka fesyen dari Eropah seperti Itali dan Perancis sentiasa menjadi buruan golongan Sapeur.
Dalam video dokumentari di atas, golongan La Sape ini dengan bangganya akan menunjukkan pakaian mewah yang mereka miliki. Ada yang harganya mampu membeli sebidang tanah! Malah, ada juga yang secara terbuka dan bangga mengatakan mereka akan berhutang dengan bank semata-mata untuk membeli pakaian koleksi terbaru. Bagi mereka, berpakaian kemas dan mewah sudah membuatkan mereka berasa seperti seorang yang sangat kaya.
Kritikan terhadap golongan La Sape
Gaya hidup La Sape ini telah dipopularkan oleh seorang ahli muzik bernama Papa Wemba yang berasal dari bandar Kinshaha sekitar tahun 1970-an. Beliau mempromosikan La Sape sebagai satu golongan yang sangat menghormati orang lain dan sangat mementingkan keterampilan diri walaupun berlainan taraf sosial. Populariti kelab malam dan muzik pada zaman tersebut terus menaikkan populariti gaya hidup La Sape.
Walau bagaimanapun, fenomena La Sape ini juga mempunyai kesan buruk terhadap gaya hidup dan pemikiran golongan Sapeur ini. Majoriti penduduk di Congo hidup dalam keadaan miskin dan hanya mempunyai duit untuk membeli makanan untuk terus hidup. Bagi golongan Sapeur, mereka sanggup mencari duit lebih semata-mata mahu membeli pakai daripada pereka-pereka pakaian terkenal terutamanya buatan Perancis dan Itali.
Bagi golongan Sapeur, fesyen adalah satu keutamaan melebihi keperluan harian untuk terus hidup. Mereka sangat berbangga mampu mengekalkan kebersihan dan membasuh pakaian-pakaian yang dipakai walaupun negara Congo sangat kekurangan bekalan air bersih untuk diminum.
Terdapat juga segelintir golongan Sapeur yang sangat obses terhadap fesyen. Mereka ini sanggup melakukan kerja haram bagi mendapatkan wang untuk membeli pakaian yang dihajati sehingga ada diantaranya yang terpaksa meringkuk di dalam penjara. Bagi mereka, meningkatkan taraf hidup, membeli kenderaan ataupun membayar yuran bagi mendapat pendidikan bukanlah satu keutamaan.
Gaya hidup La Sape dalam golongan muda di Malaysia
Sebenarnya jika diperhatikan, golongan muda di Malaysia juga ada yang mengamalkan gaya hidup "biar papa kedana asalkan bergaya" ala-ala La Sape ini. Statistik peratusan yang tinggi golongan muda yang diisytiharkan bankrap di Malaysia jelas membuktikannya. Golongan muda di Malaysia segelintirnya lebih gemar membeli kereta mewah, makan di kedai atau kafe mahal, bercuti di tempat yang mewah dan sebagainya sehingga akhirnya diisytiharkan bankrap.
Kredit: