Kafe-kafe "hipster" adalah perkara biasa yang kita lihat hari ini. Hampir setiap pusat bandar mempunyai kafe hipster dengan pelbagai tema yang menarik. Ia menjadi tempat kegemaran bagi pasangan bercinta atau mereka yang gemarkan berswafoto kerana latar belakangnya yang cantik.

Walaupun begitu, tahukah anda bahawa Korea Selatan boleh dikatakan pusat kepada kafe hipster?. Di sana terdapat begitu banyak kafe yang menarik, unik dan pelik. Berikut adalah senarai beberapa antara kafe hipster paling unik dan pelik di Korea Selatan.

BESARKAN TEKS     A-  A+

1. Kafe Kartun

kafe kartun

Beberapa kafe berkonsep begini direka untuk membuatkan anda merasa seolah-olah anda sedang makan dalam dunia kartun. Kafe yang sangat sesuai dimuatkan dalam instagram ini membolehkan anda melangkah ke dunia yang dikelilingi persekitaran dua dimensi.

Segala-gala benda yang terdapat di kafe ini seperti dinding, kerusi dan pinggan mangkuk telah dirancang dengan telili supaya kelihatan seperti kartun dua dimensi. Barang dan hiasan dalam kafe ini dicat dengan warna putih dan garisan hitam untuk memberikan kesan yang nyata.

kafe kartun 2

Konsep kafe ini diilhamkan oleh drama Korea "W" lakonan Lee Jong-suk dan Han Hyo-joo. Dalam drama itu, watak-watak itu bertembung antara dua dunia sebenar dan dunia fiksyen kartun. Usaha pemilik dan artis yang menjayakan kafe ini membuatkan pengunjung terngaga sepanjang masa. (sumber)

2. Dreaming Camera Café

dreaming camera caf

Lebih kurang 10km di sebelah timur Seoul terletaknya Dreaming Camera Café, bangunan dua tingkat yang berbentuk seperti sebuah kamera Rolleiflex. Di dalamnya adalah sebuah kedai kopi dan sebuah muzium kamera kecil.

Kafe unik ini adalah satu-satunya yang seumpama ini dan benar-benar seperti sebuah mimpi, apatah lagi apabila ia terletak dikawasan desa yang indah. Jika anda seorang yang sukakan kopi dan fotografi, Dreaming Camera Café adalah tempat yang wajib anda kunjungi.

dreaming camera caf 2

Idea rekaan kafe itu diilhamkan oleh bekas juruterbang helikopter Angkatan Tentera Udara Korea Selatan. Dia memang meminati bidang fotografi dan ingin membangunkan satu tempat di mana keluarganya boleh berehat dan menenangkan fikiran.

Kepada peminat kamera kecil dan vintage, kafe ini adalah tempat yang paling sesuai untuk anda kunjungi sambil menikmati kopinya yang enak. (sumber)

3. Kafe bertemakan najis

kafe ddo ong

Kafe seterus mungkin akan membuatkan anda lebih terkejut berbanding kagum. Di Korea, terdapat kafe yang bertemakan najis. Walaupun ia mungkin kedengaran jijik dan tidak menyelerakan tetapi kafe ini sebenarnya agak cantik dan menawan.

Di Kafe Ddo-Ong ini, kopi mereka disediakan dalam bekas cawan yang berbentuk seperti tandas duduk. Selain itu, mereka juga menyediakan makanan sampingan berbentuk atau bertemakan najis. (sumber)

ddo ong 2

Maka tidak hairanlah sekiranya kafe ini mempunyai dekorasi yang dipenuhi najis dan tandas. Pasu bunganya berbentuk mangkuk tandas, manakala dindingnya pula dipenuhi lukisan najis. 

4. Kafe Rakun

kafe rakun

Di Malaysia, anda pasti pernah mendengar atau melawat kafe yang bertemakan haiwan peliharaan seperti kucing. Kafe bertemakan haiwan peliharaan ini adalah perkara biasa dan banyak terdapat di seluruh dunia.

Walau bagaimanapun, Kafe Blind Alley di Korea Selatan ini cuba membuat kelainan apabila memperkanalkan kafe bertemakan haiwan selain kucing atau anjing iaitu rakun.

kafe rakun 2

Seperti kafe lain, kafe ini mempunyai pengkhususan dalam kopi dan kek yang enak. Pengunjung kafe ini dapat bermain-main dengan rakun yang ditempatkan dalam bilik berasingan, agar haiwan itu tidak memakan makanan yang disediakan untuk pelanggan.

Walaupun rakun pada dasarnya adalah haiwan nocturnal (aktif pada waktu malam), namun rakun di kafe ini ada yang aktif pada waktu siang untuk bermanja dengan para pengunjung. (sumber)

5. Kafe Get & Show

get and show cafe

Kafe Get & Show di Seoul ini merupakan tempat terbaik bagi mereka yang menyukai Lego kerana kafe ini adalah bertemakan permainan itu. Kafe ini mempunyai koleksi Lego yang sangat banyak. Selain itu, kafe ini juga menyediakan mesin layan diri yang menjual Lego untuk pelanggan.

Selain menikmati kopi yang enak di kafe ini, pelanggan juga boleh menjadi kreatif dengan bermain permainan Lego. Kafe ini dipenuhi dengan patung, istana, rumah dan watak-watak terkenal yang diperbuat daripada Lego.

get and show cafe 2

Malah, makanan di sini seperti coklat dan biskut juga dihasilkan berbentuk permainan terkenal daripada Denmark ini. Pengunjung kafe ini pasti dapat mengimbau semula kenangan zaman kanak-kanak mereka. (sumber)

6. Kafe Thanks Nature

thanks nature cafe

Kafe Thanks Nature ini adalah satu lagi kafe yang bertemakan haiwan. Namun, ia bukanlah haiwan peliharaan seperti kucing atau anjing tetapi haiwan ternakan biri-biri.

Pemilik kafe yang menempatkan dua ekor biri-biri comel ini ingin membawakan suasana alam semula jadi ke bandar sebagai salah satu cara untuk mendapatkan ketenangan. Biri-biri yang diberi nama "Honey" dan "Sugar" ini ditempatkan dalam kandang bersebelahan tempat duduk pelanggan.

thanks nature cafe 2

Kafe yang terletak berhampiran kampus Universiti Hongik di kejiranan Hongdae ini juga dipenuhi dengan pelbagai hiasan seperti patung, gambar dan permainan biri-biri. (sumber)




Hakcipta iluminasi.com (2017)