Kredit foto: Instagram Haqiem Rusli
Dalam menikmati kenikmatan Aidilfitri, penyanyi Haqiem Rusli tidak terlepas untuk kembali mengimbau kenangan raya yang sukar dilupakannya.
Sebagai menjawab pertanyaaan yang diajukan, anak muda yang kencang meniti di bibir pengikut dunia hiburan ini, akui terkenang dugaan getir ketika pemergian ahli keluarga yang disayanginya.
"Insan paling saya rindu adalah datuk saya kerana dia menjaga saya sejak dari kecil lagi. Hari raya pun saya dah biasa bersamanya. Jadi kehilangan arwah betul-betul terasa," katanya kepada Sinar Harian dalam emosi sebak.
Di sebalik keperitan yang ditanggung, Haqiem atau nama sebenarnya, Ridzuan Haqiem Rusli masih mampu tersenyum girang mengenangkan impian yang akhirnya termakbul untuk menggembirakan keluarga tersayang berkat rezeki pendapatan nyanyian.
Haqiem, 20, berkongsi, tahun ini dia sudah mampu membeli pakaian raya dan perabot buat keluarga, berbanding Syawal tahun lalu.
Kredit foto: Instagram Haqiem Rusli
“Sambutan raya pada tahun ini agak berbeza kerana saya sudah mampu berbelanja untuk hari raya seperti perabot dan baju raya untuk mak serta buat adik-adik, tak berbelanja besar tapi cukuplah.
“Jadi itu satu kepuasan buat saya sebagai seorang anak apatah lagi dapat melihat wajah mak tersayang tersenyum," katanya.
Mengenai perkembangan lain, penyanyi Jatuh Bangun ini memberitahu, dia bakal terbit dengan single baharu yang ketika ini masih dalam proses perbincangan.