Oleh pada 08 Dec 2017 kategori

Kredit foto: Instagram Neelofa

Enggan lagi dikaitkan dengan bekas kekasihnya, Fattah Amin, aktres Neelofa percaya mereka masing-masing telah mempunyai kehidupan sendiri.

Meskipun sudah tidak ada kisah yang boleh dikongsi, pelakon yang membawa watak Helena dalam drama rantaian Red Velvet ini berkata, dia keliru apabila sesetengah pihak bagai sengaja memanaskan kisah silamnya dengan aktor itu.

"Saya sendiri tak tahu nak sentuh apa dan bahagian mana lagi. Tapi biasalah, ada sekumpulan tertentu yang suka memanaskan hal ini hingga ia terus diperkatakan.

"Saya fikir, jelas masing-masing ada kehidupan sendiri. Yang menjadi perdebatan adalah dalam kalangan orang luar dan bukannya kami. Saya sendiri memilih untuk berdiam diri dan tak hiraukan semua ini," katanya memetik portal Berita Harian Plus.

Dalam pada itu, Neelofa dikatakan sudah menemui pengganti Bintang Paling Popular, Anugerah Bintang Popular BH 3.0 itu. Gosip tersebut mula hangat selepas gambarnya bersama seorang anak VIP tersebar luas baru-baru ini.

Menjawab dakwaan dirinya sedang diulit bahagia bersama pemuda berkenaan, Neelofa bagaimanapun menegaskan pendiriannya untuk tidak berkongsi hal peribadi.

foto dengan anak vip tersebar ini jawab neelofa 2

Kredit foto: Instagram Neelofa

"Sejak awal lagi, sudah banyak hal peribadi menerjah dalam kanvas seni diri ini. Saya sendiri sudah jelaskan daripada banyak segi. Dulu, tunjuk sikit hal peribadi pun tak boleh. Apatah lagi memberi bayangan terus berkenaan hal itu. Jadi, saya ambil pendekatan untuk tidak langsung berkongsi mengenainya.

"Selepas apa yang saya lalui, pengalaman mematangkan diri. Ikutkan, dengan kawan pun, hanya mereka yang tertentu sahaja saya bercerita sisi peribadi. Namun, apabila tiba masanya saya akan berkongsi.

"Maaf, memang saya tak boleh kongsi fasal bersama orang lain atau sebaliknya, walaupun sedikit. Tapi, andai saya ingin umumkan hal peribadi, pasti ia akan dilakukan secara sewajarnya. Saya akan jemput teman media ketika itu," katanya.

Neelofa menyempurnakan perjalanan tahun 2017 dengan meninggalkan detik indah dan manis dalam variasi bidang kerjaya yang diceburinya.

Merumus jadual karier seni dan perniagaan sepanjang tahun ini, cerita Neelofa:

"Ikutkan, awal tahun ini saya tidaklah sibuk sangat. Saya gunakan ruang itu bagi melakukan penstrukturan terhadap perniagaan dan kempen akan datang, termasuk untuk bulan puasa. Pada masa sama, kakak saya (Noor Nabila) juga berkahwin dengan Sharnaaz Ahmad. Selain itu, saya ada komitmen dengan Maharaja Lawak.

"Hanya selepas Aidilfitri, saya kembali sibuk. Saya juga terikat dengan komitmen di luar negara. Saya terbang ke sana-sini, termasuk ke Manila, Boston, Milan, Paris hinggalah baru-baru ini ke Shanghai, China, kerana memenuhi undangan pertunjukan fesyen Victoria's Secret. Gangguan ritma harian dan penat itu bagai sudah menjadi teman karib.

"Pada masa sama, saya melunaskan komitmen penggambaran drama, Red Velvet. Bulan ini, kira ada juga ruang untuk saya bernafas, bercuti dan memenuhi komitmen kerja membabitkan produk diwakili. Apa pun, saya bersyukur dengan semua nikmat dan peluang ini."

Sumber berita: BH Plus 




Hakcipta iluminasi.com (2017)