Kredit foto: Instagram Neelofa & Instagram Fattah Amin
Neelofa, 28, menafikan video KLCC yang dimuat naiknya ke Instagram, baru-baru ini memberi gambaran dia masih terkenangkan aktor Fattah Amin.
Video yang memaparkan menara berkembar Petronas yang dimuat naik pada 27 November lalu itu, turut menyelitkan kapsyen yang didakwa ramai seakan memberi bayangan dia gembira melihat kebahagiaan Fattah daripada jauh.
"Ini yang saya tidak faham. Gambar KLCC yang saya muat naik bukan buat pertama kali. Apa salahnya sebagai rakyat Malaysia saya nak mengagumi KLCC?
"Kebetulan hari itu saya lalu dan kereta saya betul-betul di bawah (KLCC). Dan ia sangat cantik dari sudut itu apabila kereta sedang bergerak. Kenapa orang naik kaitkan? Saya hanya tak faham.
"Tolonglah. Kalau selepas ini saya bergambar lagi di situ orang tetap nak kaitkan ke apa?" kata Neelofa atau nama penuhnya, Noor Neelofa Mohd Noor.
Kenyataan itu dibuat dalam siaran rancangan hiburan Melodi TV3, hari ini.
Terdahulu, rata-rata peminat menganggap video KLCC yang dikongsikannya itu ditujukan kepada bekas kekasihnya yang kini menjadi suami Nur Fazura.
Ia susulan salah satu petikan daripada buku 99 Kata-Kata #QalifModen Fattah Amin yang berbunyi:
“Aku dulu selalu berangan nak pergi KLCC, nak bawa kereta aku sendiri dan 'parking' Valet. Ternyata kini telah termakbul. Hahh…. kelakar kan.”
Sejak itu, KLCC seakan menjadi simbolik kepada diri Fattah.
Neelofa berkata, dia enggan lagi melayan spekulasi yang dibuat netizen kerana menganggapnya tidak berasas.
"Tak tahu nak cakap apa dah, dah banyak kali cakap macam-macam. Jadi saya rasa kena sabar banyak-banyak sebab orang nak cakap, cakap juga. Saya fikir, apa yang saya boleh lakukan dengan lebih lagi ialah bersikap baik pada semua orang dan menyebarkan positiviti. Itu saja," ujarnya.
Sumber berita: Beautifulnara