Sumber foto: AFP
Rakyat Malaysia bakal melihat tiga fenomena serentak terhadap bulan iaitu "Super Blue Blood-Moon" pada 31 Januari ini.
Untuk pengetahuan, fenomena gerhana bulan penuh ini kali terakhir terjadi pada 31 Mac 1866, iaitu 152 tahun yang lalu.
Menerusi kenyataan oleh pihak Planetarium Negara, fenomena tersebut adalah kombinasi fenomena "Supermoon", "Bluemoon" dan "Bloodmoon".
Fenomena "Supermoon" difahamkan berlaku susulan kedudukan bulan yang paling dekat dengan bumi dan melalui fasa penuh mengakibatkan saiz bulan yang nampak lebih besar.
Fenomena "Bluemoon" pula merupakan fasa bulan penuh yang terjadi pada tarikh sama adalah fasa bulan penuh yang kedua dalam bulan Januari tahun ini.
“Pada malam itu, bulan turut mengalami peristiwa gerhana bulan penuh yang menyaksikan fasa gerhana bermula kira-kira 7.48 malam sehingga 11.11 malam manakala fasa gerhana penuh pula akan bermula kira-kira 8.51 malam sehingga ke kemuncak pada pukul 9.29 malam dan akan tamat kira-kira 10.07 malam.
“Umumnya gerhana bulan juga dikenali sebagai ‘Bloodmoon’ kerana warna bahagian gelap gerhana yang kemerah-merahan akibat biasan cahaya Matahari oleh atmosfera bumi,” memetik kenyataan tersebut.
Sekiranya tiada aral melintang dari segi cuaca, antara tempat sesuai untuk melihat fenomena yang amat jarang terjadi ini adalah kawasan tepi pantai yang menghadap laut di sebelah timurnya, puncak bukit, tanah tinggi, atas bangunan tinggi atau sebarang kedudukan yang pandangan ke arah ufuknya dan langit di sebelah timur tidak dihalang.
Justeru itu, untuk meraikan kemunculan fenomena itu, pihak Planetarium Negara di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi menganjurkan Program Pencerapan Gerhana Bulan Penuh "Super Blue Blood-Moon" pada 31 Januari ini, bermula 7 malam hingga 12 tengah malam di hadapan pintu masuk Planetarium Negara.
Menerusi program berkenaan, orang ramai dapat merasai sendiri pengalaman menggunakan beberapa buah teleskop untuk melihat fenomena gerhana. Selain itu, terdapat juga acara taklimat dan penerangan tentang gerhana, panduan dan aktiviti astro-fotografi serta sesi solat gerhana pada malam tersebut.
Untuk informasi terperinci, anda boleh menghubungi Planetarium Negara melalui talian telefon (03-22735484), e-mel (info@planet.gov.my), serta melayari laman sesawang Planetarium Negara (www.planetariumnegara.gov.my) atau Facebook (Planetarium Negara).
Menurut Agensi Angkasa Negara (Angkasa), gerhana bulan penuh pada 31 Januari ini akan terjadi di Timur Eropah, Timur Afrika, Asia (termasuk Malaysia), Australia dan Amerika Utara.
“Fenomena gerhana bulan yang akan berlaku itu mengambil masa selama lima jam 17 minit bermula pada 6.51 petang hingga 12.08 tengah malam (1 Februari). Ini bermakna gerhana sedang berlaku ketika bulan terbit di ufuk Timur (kecuali Sabah dan Sarawak akan bermula selepas bulan terbit),” ujar kenyataan tersebut.
Oleh yang demikian, Observatori Negara Langkawi akan mengadakan aktiviti pencerapan bagi orang awam bagi melihat sendiri fenomena itu dengan menyediakan beberapa buah teleskop mudah alih untuk digunakan tanpa dikenakan sebarang bayaran.
Untuk aktiviti terbabit, lokasi-lokasi lain yang boleh dilawati orang ramai ialah di Planetarium Negara, Kuala Lumpur, Balai Cerap Teluk Kemang, Port Dickson, Negeri Sembilan, Balai Cerap Selangor, Sungai Lang Parit Baru, Sungai Ayer Tawar, Selangor, Balai Cerap Al-Khawarizmi, Tanjung Bidara, Melaka.
Lokasi selebihnya ialah Pantai Tok Jembal, Terengganu (anjuran Balai Cerap Kusza), Menara Tun Mustapha, Kota Kinabalu, Sabah (Sabah Stargazers Observatory) dan Balai Cerap Kota Bharu, Kampung Kubang Rawa, Salor, Kelantan.
Sumber berita: Bernama & Sinar Online