Oleh pada 05 Apr 2018 kategori

Kredit foto: Astro Gempak

Seniwati Ogy atau Fauziah Ahmad Daud akui terkesan dengan penularan kisah penyanyi Aiman Tino ditampar oleh adiknya, Fazlina, baru-baru ini.

Anak kepada seniman Allahyarham Datuk Ahmad Daud dan seniwati Allahyarhamah Datin Saadiah ini juga berasa terkejut dengan video 'tampar' yang hangat didebatkan netizen di laman Youtube itu.

“Selepas menonton, saya terus hubungi Baby (panggilan mesra Fazlina) dan bertanya sejak bila dia jadi guru seni lakon. Saya ingatkan padanya, jangan buat malu nama baik Allahyarham ibu bapa kami.

“Baby terus ceritakan perkara sebenar berlaku di set penggambaran drama Mak Cun musim keempat dibintanginya dan kejadian tidaklah seperti hangat didebatkan itu.

“Selain Baby, saya ada menghubungi pihak produksi untuk mendapatkan penjelasan sebenar dan mempersoalkan bagaimana cerita di belakang tabir lokasi penggambaran boleh diketahui umum,” katanya kepada Harian Metro.

Ogy turut membuat keputusan untuk berjumpa sendiri dengan pihak yang dikatakan menjadi punca isu itu tersebar luas.

fazlina tampar aiman tino ogy ahmad daud tampil bersuara 2

Kredit foto: Instagram Aiman Tino

“Namun, Baby halang saya berbuat demikian kerana dia boleh selesaikan perkara itu sendiri. Sebagai kakak, saya sangat mengenali peribadi sebenar adik saya.

“Jadi, apabila perkara ini timbul hingga menjadi satu isu hangat, saya sangat kecewa dan sedih. Ia tidak sepatutnya berlaku kepada Baby,” katanya.

Tidak sekadar itu, pelakon Ceritaku Ceritamu ini turut bersemuka dengan penerbit drama Mak Cun musim keempat iaitu Erma Fatima semata-mata untuk merungkai kisah sebenar yang berlaku di sebalik kemelut yang timbul.

“Baby memang tidak bersalah dan Erma sendiri ada di lokasi ketika kejadian didakwa itu berlaku. Malah, saya yakin dengan penjelasan daripada Erma.

“Apapun, pada saya jangan anggap pekerjaan sebagai pelakon itu senang. Terus-terang, sebenarnya tidak mudah untuk menzahirkan lakonan berjiwa dan ia boleh turut dirasai penonton,” katanya yang berjumpa Erma beberapa hari lalu.

Sehubungan dengan itu, Ogy menyarankan agar para pelakon, baik yang baru mahupun senior, supaya menghadiri kelas bengkel lakonan sebelum memasuki set penggambaran agar tidak mendapat masalah dalam menterjemahkan emosi watak lakonan mereka.

Sebelum ini, satu 'Malaya' kecoh dengan laporan media yang mengatakan Aiman Tino ditampar Fazlina demi menghidupkan babak lakonan yang memerlukan penyanyi itu menangis.

Susulan itu, video yang menjadi tular memaparkan aksi itu menjadi perbualan hangat netizen yang rata-ratanya menyelar tindakan Fazlina kerana dianggap melampau.

Bagaimanapun, Fazlina dan Aiman sudahpun memberikan kenyataan kepada media di mana kedua-duanya tidak berniat untuk memanjangkan isu itu.




Hakcipta iluminasi.com (2017)