Pendidikan formal masih terus dilihat menjadi tunjang utama penambahbaikan masyarakat dunia, walaupun banyak pihak mula mempertikaikan tahap relevan sistem pendidikan itu sendiri.
Kursus pengajian yang ditawarkan sama ada secara bersemuka atau secara maya terus popular di kalangan orang ramai dalam mempertingkatkan kemahiran, dengan bermacam jenis tawaran dibuka bergantung kepada keperluan industri dan ekonomi negara.
BESARKAN TEKS A- A+
Namun ada juga masanya wujud kursus aneh yang ditawarkan secara formal, mengakibatkan tawaran itu nampak agak cool daripada satu perspektif tetapi boleh jadi karut daripada sesetengah pandangan.
1. Pengajian Harry Potter
Durham University yang terletak di Durham, England menawarkan kursus yang dinamakan sebagai 'Harry Potter and the Age of Illusion' sebagai kursus elektif, melalui Fakulti Pendidikan mereka.
Ditawarkan sejak tahun 2010, kursus dengan 20 jam kredit ini mensasarkan kajian mendalam terhadap fenomena siri Harry Potter dan kesannya kepada masyarakat dunia, daripada aspek sosial, kebudayaan dan pendidikan.
Antara topik yang akan dibincang dan dihuraikan dalam kursus ini adalah berkait dengan hubungan antara elemen-elemen penting dalam siri popular itu dengan bidang pendidikan, aspek psikologi watak-watak filem/novel yang dipaparkan serta isu-isu moral yang timbul dalam pembentukan kisah fantasi itu.
Bagi mereka yang mengharapkan ada kelas silap mata atau bagaimana menaiki penyapu terbang, maaflah - kursus ini tidak menawarkan topik tersebut.
2. Kursus permainan golf profesional
Anda memasang impian untuk menjadi seorang pemain golf terkenal?
Sertai kursus Ijazah sarjana muda Golf (Kejohanan) yang ditawarkan oleh Duchy College di mana anda bukan saja dilatih untuk menjadi pemain golf, anda akan turut diajar bagaimana nak menguruskan perniagaan berasaskan sukan golf.
Kekuatan kursus ini terletak pada tawaran yang diberikan pada akhir kursus, di mana pelajar yang layak akan diberikan peluang menyertai kejohanan Portugal Pro Golf Tour untuk mencuba nasib secara profesional.
Kursus selama setahun ini memerlukan masa 1 tahun keseluruhannya, di mana pelajar akan dibenarkan menggunakan semua fasiliti resort golf yang ada untuk latihan tanpa had.
Prospek pelajar yang menamatkan kursus ini dikatakan cerah; sama ada sebagai seorang pemain golf profesional ataupun sebagai orang penting penganjuran kejohanan golf.
3. Urus industri bola sepak walaupun kaki bangku
Sekiranya anda menyaksikan gelagat peminat bola sepak, anda dapat melihat sendiri bagaimana ramainya individu yang kaki bangku (sebenarnya) tapi kerap mengutuk pemain yang beraksi, seolah-olah dia lebih handal daripada pemain berstatus profesional.
Jika anda salah seorang daripada kumpulan individu itu, jadikan impian anda kenyataan dengan menyertai kursus Ijazah Sarjana Muda Pengajian Bola Sepak yang ditawarkan di Solent University, Southampton.
Setiap pelajar akan dibimbing tentang semua aspek pengurusan bola sepak antarabangsa, serta didedahkan kepada pelbagai topik yang berkait dengan ke-bola-sepak-an. Pelajar juga akan menyertai program yang disertai pemain-pemain profesional.
Lima aspek utama yang akan dititikberatkan adalah pengurusan latihan, pembangunan, psikologi, penyelidikan serta sosiologi bola sepak. Memang jelas program ini dibina untuk individu peminat bola sepak yang kurang berbakat dalam sukan ini seperti penulis.
4. Fahami sains sukan luncur air
Buka laman web Cornwall University berkait dengan Kursus Asas Sains dan Teknologi Sukan Luncur Air, anda akan mendapati pihak universiti secara jelas menyebut kursus itu tidak memerlukan seseorang pandai meluncur untuk menyertainya.
Tetapi dengan menyertai kursus ini, anda akan diberikan peluang untuk menyertai industri luncur air secara mendalam; di mana anda akan diajar dari perkara seperti merekabentuk sendiri papan luncur anda sehinggalah penganjuran kejohanan luncur air yang berjaya.
Selain itu pelajar juga akan menyertai rombongan untuk melawat lokasi-lokasi luncur air yang terbaik di dunia, bagi memahami topgrafi kawasan tersebut serta faktor-faktor yang menjadikannya tarikan utama peluncur dunia.
Pada akhir kursus ini, selain daripada memiliki kelulusan berkait industri popular ini, pelajar juga secara langsung akan dianugerahkan persijilan kemahiran pertolongan cemas dan sijil penjaga pantai bertauliah. Bolehlah berlakon filem Baywatch selepas itu.
5. Ijazah pemain begpaip
Begpaip (bagpipe) yang merupakan alatan muzik tradisional masyarakat Scotland, memerlukan pemain yang benar-benar mahir untuk memainkannya. Jika pemainnya kurang mahir - bunyi yang terhasil bukan setakat sumbang, malah menyakitkan pendengar.
Berdasarkan kepada aspek tradisi unik ini serta keturunan dua pengasas mereka, Carnegie Mellon University yang terletak di Pittsburgh, Pennsylvania, Amerika Syarikat telahpun melancarkan kursus ijazah sarjana muda Permainan Begpaip sejak tahun 1990 - bagi memperkembangkan lagi kemahiran ini.
Walaupun begitu, berbeza dengan kursus pengajian bola sepak atau luncur air yang kami utarakan di atas - kursus ini memerlukan pelajar yang sudah berkemahiran tinggi sebagai peserta program. Pemilihan akan dilakukan bagi menentukan kemasukan.
Kursus 4 tahun ini tidak disertai ramai pelajar, dengan tahun 2018 hanya menyaksikan 5 graduan menamatkan pengajian. Namun bagi mereka yang berjaya, mereka akan secara automatik layak menyertai kumpulan pancaragam universiti - membuka prospek karier sebagai seorang pemain begpaip profesional.
Bayangkan - orang ramai bertanya "kau degree apa?" Anda jawab "permainan begpaip." Stail habis.