Sekitar awal tahun 2000an, serangan virus seperti ILOVEYOU dan Code Red telah menyebabkan impak yang binasa kepada banyak pihak. Namun harini, dengan penciptaan antivirus seperti Kaspersky dan AVG, virus-virus seperti ini mudah sahaja 'dibunuh'. Teruskan membaca untuk mengetahui lebih lanjut tentang 5 virus komputer yang paling bahaya di dunia.
BESARKAN TEKS A- A+
5. Stuxnet
Dipercayai dicipta oleh Pasukan Pertahanan Israel dengan kerjasama kerajaan Amerika Syarikat, Stuxnet adalah satu contoh virus yang dicipta dengan tujuan perang siber, bagi mengganggu usaha nuklear oleh kerajaan Iran. Virus ini telah dianggarkan berjaya merosakkan satu per lima sentrifugal nuklear Iran dan hampir 60 peratus jangkitan disasarkan ke seluruh Iran.
Cacing (worm) komputer ini direka untuk menyerang industri Programmable Logic Controllers (PLC) yang membolehkan proses mesin diautomatikkan. Ianya secara khusus mensasarkan perisian PLC ciptaan Siemens, dan disebarkan melalui USB drives yang dijangkiti virus berkenaan.
Sekiranya komputer yang dijangkiti tidak mempunyai perisian Siemens, virus tersebut akan menjadi tidak aktif, namun akan menjangkiti lain-lain komputer dengan cara yang terhad. Sekiranya perisian tersebut wujud, ia kemudiannya akan mengubah kelajuan mesin, menyebabkannya hancur. Siemens akhirnya menemui cara untuk membuang malware tersebut daripada perisian mereka.
4. Melissa
Dinamakan sempena dengan seorang penari eksotik dari Florida, virus Melissa dihasilkan oleh David L. Smith pada tahun 1999. Ianya bermula sebagai sebuah dokumen Word yang dijangkiti, dimuatnaik ke laman sesawang alt.sex, dengan dakwaan ianya adalah kata laluan (password) kepada laman-laman pornografi. Selepas dimuat turun dan dibuka, dokumen tersebut akan membebaskan virus berkenaan.
Virus ini akan menghantar email dokumen tersebut kepada 50 orang di dalam senarai alamat email individu terbabit. Hal ini menyebabkan peningkatan trafik email yang mendadak, mengganggu perkhidmatan email kerajaan dan syarikat-syarikat. Smith akhirnya berjaya ditangkap selepas pihak berkuasa berjaya menjejaki bahawa dokumen Word tersebut adalah daripadanya.
Fail tersebut sebenarnya telah dimuat naik menggunakan sebuah akaun AOL yang dicuri, dan dengan bantuan syarikat AOL, pihak berkuasa hanya mengambil masa kurang daripada seminggu untuk menahan Smith selepas wabak itu disebarkan. Dia memberi kerjasama kepada FBI dalam membantu menangkap pencipta-pencipta virus yang lain, dan antara yang berjaya ditahan termasuklah pencipta virus Anna Kournikova.
Di atas kerjasama yang diberikannya, hukuman penjara ke atas Smith dikurangkan daripada 10 tahun kepada 20 bulan, dengan denda sebanyak $USD5000. Virus ciptaannya itu telah dilaporkan menyebabkan kerugian sebanyak $USD80 juta.
3. Conficker
Turut dikenali sebagai Downup atau Downadup, Conficker adalah sejenis virus yang tidak diketahui siapa penciptanya, pertama kali dikesan pada tahun 2008. Namanya diambil daripada sebuah perkataan Inggeris, iaitu configure. Virus ini menyerang komputer menggunakan kelemahan dalam sistem operasi bagi menghasilkan botnet. Botnet adalah sebuah rangkaian komputer peribadi yang telah dijangkiti dengan perisian jahat tanpa pengetahuan pemiliknya.
Malware (virus) ini telah menjangkiti lebih daripada 9 juta komputer di seluruh dunia, menjejaskan aktiviti kerajaan, perniagaan dan individu. Ianya adalah antara jangkitan virus komputer yang paling teruk pernah berlaku, menyebabkan kerugian sekitar $USD9 bilion.
Virus ini berfungsi dengan mengeksploitasi kelemahan perkhidmatan rangkaian. Sekali dijangkiti, virus ini akan menetapkan semula (reset) polisi lockout akaun, menyekat akses kemas kini Windows dan perisian antivirus, mematikan beberapa perkhidmatan tertentu dan mengunci akaun pengguna.
Ia kemudiannya akan memasang (install) perisian yang akan mengubah komputer seseorang kepada botnet slave dan scareware sebagai helah untuk mencuri duit pemilik komputer. Kegiatan virus ini berjaya dipatahkan setelah Microsoft membekalkan patch kepada vendor antivirus untuk dikemaskini.
2. Sasser
Cacing Windows ini pertama kali ditemukan pada tahun 2004, di mana ianya dihasilkan oleh seorang pelajar sains komputer iaitu Sven Jaschan. Sven adalah individu yang sama bertanggungjawab menghasilkan virus Netsky. Komputer yang dijangkiti virus Sasser akan menjadi sangat perlahan, dan merosakkan perkakas elektronik tersebut.
Kesan virus ini adalah sangat menggusarkan. Cacing virus mengambil kesempatan ke atas kelemahan penimbal limpahan dalam Local Security Authority Subsystem Service (LSASS), yang mengawal polisi keselamatan akaun pemilik, menyebabkan operasi komputer terganggu dan terhenti.
Ianya akan turut menggunakan sumber-sumber sistem untuk menyebarkan dirinya secara automatik ke komputer-komputer lain melalui Internet. Virus ini telah dilaporkan berjaya menjangkiti lebih daripada sejuta komputer, memberi impak negatif kepada operasi kritikal dunia seperti syarikat penerbangan, agensi berita, pengangkutan awam, hospital dan lain-lain.
Secara keseluruhannya, virus ini telah menyebabkan kerugian sebanyak $USD18 bilion. Sven telah didakwa, namun disebabkan dia masih bawah umur, dia hanya digantung selama 21 bulan daripada institusi pendidikannya.
1. Mydoom
Mula muncul sekitar tahun 2004, Mydoom adalah sejenis virus Windows yang menjadi salah satu cacing penyebar email paling pantas selepas ILOVEYOU. Pencipta virus ini tidak diketahui identitinya, namun sesetengah pihak percaya bahawa penciptanya itu dibayar untuk menghasilkan virus tersebut memandangkan ia mengandungi mesej, "Andy, saya hanya buat kerja saya, tiada apa-apa yang peribadi, maaf."
Virus ini dinamakan oleh seorang pekerja McAfee, Craig Schmugar salah seorang individu awal yang berjaya mengesannya. 'Mydom' sebenarnya adalah sebahagian daripada baris teks di dalam kod program, iaitu 'my domain'. Merasakan bahawa virus ini akan memberi impak yang binasa, Craig menambah perkataan 'doom' kepada virus ini. Doom membawa maksud azab.
Seperti virus-virus lain dalam senarai ini, mydoom tersebar melalui email. Apabila diklik, ianya akan menyebarkan dirinya (virus) kepada semua alamat di dalam buku alamat email pengguna, dan menyalinkan dirinya ke dalam folder program P2P melalui rangkaian tersebut.
Virus ini dipercayai dihasilkan bagi menyerang SCO Group (sebuah syarikat perisian Amerika) kerana konflik dalaman berkenaan hak pemilikan kod Linux. Virus ini telah menyebabkan kerugian sebanyak $USD38.5 bilion, dan ianya masih aktif dalam bentuk-bentuk tertentu sehingga hari ini.
Sumber & Bacaan Tambahan: