Oleh pada 02 Feb 2023 kategori

Kadar tarif elektrik kerap menjadi isu besar setiap kali kedengaran desas-desus akan berlakunya perubahan kepada tarifyang kita bayar.

Kenaikan tarif pasti memberi kesan kepada beban kewangan yang ditanggung setiap isi rumah, apatah lagi dalam era sekarang di mana barangan elektronik dan elektrik sudah menjadi keperluan kehidupan.

Dek kerana kebimbangan, ada di antara kita memilih jalan berbeza; contohnya membasuh baju di dobi layan diri dengan tanggapan perubahan itu membawa penjimatan kepada kita.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Adakah telahan ini benar?

Berikut adalah anggaran kasar kos penggunaan elektrik perkakasan rumah yang biasa kita ada, diharapkan dapat membantu anda memahami adakah anda sedang melakukan penjimatan atau sedang menambah beban perbelanjaan.

1. Peti Sejuk

kos elektrik peti sejuk

Sebuah peti sejuk dua pintu yang mempunyai kapasiti di antara 350 ke 450 liter secara purata akan menggunakan 150 ke 250 watt (W) tenaga sejam untuk beroperasi bergantung kepada tahap penggunaannya.

Dengan menggunakan kiraan 24 jam sehari selama 30 hari, peti sejuk 150W menggunakan kira-kira 3600W (150W x 24 jam) setiap hari

Untuk mengira berapa kos bil berdasarkan tarif TNB, kita perlu menukarkan unit W tadi kepada kW. Ini bermakna amaun dalam W perlu dibahagikan dengan 1000, jadi 3600W bersamaan dengan 3.6kW. Amaun ini apabila didarabkan dengan 30 hari penggunaan, memberikan kita 108kW. 

Berdasarkan tarif paling rendah yang disediakan kalkulator rasmi TNB, sebuah peti sejuk 150W akan menggunakan kira-kira RM23.54 kos elektrik sebulan. 

2. Mesin basuh

kira kos penggunaan elektrik anda

Setiap mesin basuh mempunyai penggunaan elektrik yang berbeza, bergantung kepada saiz dan mod basuhannya, menggunakan di antara 400W bagi model biasa hingga 1500W bagi model berspefisikasi tinggi. 

Kita andaikan mesin basuh milik penulis sebagai standard, yang menggunakan 490W untuk sekali basuhan selama satu jam menerusi kitaran biasa (normal wash). Setiap hari, dua kali basuhan diperlukan menjadikan jumlah dua basuhan 980w atau 0.98kW.

Dalam 30 hari, sebanyak 28.8kW diperlukan untuk basuhan dan kos penggunaan elektriknya adalah RM6.28. 

3. Televisyen

televisyen penggunaan elektrik

Televisyen sudah semakin berkembang kemampuannya, disebabkan teknologi yang mampu menghubungkannya dengan internet. Lagi kerap terpasanglah TV zaman sekarang berbanding era pra-smart TV.

Sebuah televisyen LED 40 inci secara purata dianggar menggunakan kira-kira 50 ke 60W dipasang sejam dan 1W semasa dalam mod sedia (standby). Semakin besar saiz, semakin tinggi kadar penggunaannya.

Kita ambil 60W sebagai standard dengan kadar guna 8 jam setiap hari, menjadikan penggunaannya memakan 14.4kW sebulan. Ini memberikan kita kos RM2.85 sen untuk tempoh 30 hari.

Masih ada 1W yang dipakai semasa mod sedia kan? 1W kita darabkan dengan 16 jam TV tidak terpasang, memberikan kita 16W atau 0.16kW. Dalam 30 hari, untuk membiarkan TV kita bersedia...kita membelanjakan kos RM0.95 atau 4.8kW. 

Jumlah anggaran keseluruhan penggunaan elektrik TV adalah RM4.19.

4. Mesin pengering

pengering pakaian tinggi guna elektrik

Anda ada mesin pengering pakaian di rumah?

Penulis setakat ini masih setia menggunakan 'alatan pengering berkuasa solar' atau lebih dikenali sebagai ampaian, dek bimbang bil elektrik mesin pengering.

Adakah ketakutan penulis berasas? 

Sebuah mesin pengering mempunyai tahap penggunaan purata di antara 1.05kW ke 1.75kW satu jam dan biasanya, proses pengeringan pakaian memerlukan masa lebih 120 minit bergantung kepada tahap isian pakaian.

Kita ambil angka kasar 1.25kW penggunaan dengan 2 jam diamalkan, sekali sehari. Untuk setiap pusingan, 2.5kW jumlah elektrik diperlukan.

Dalam sebulan 75kW digunakan memakan kos RM14.85. Jika anda basuh baju dua kali sehari, gandakan angka itu; 150kW bersamaan RM32.70.

5. Pengecas telefon

pengecas telefon kuasa kuat

Perlumbaan pengeluar mengeluarkan pengecas berkelajuan tinggi mendorong peningkatan tahap penggunaan elektrik dalam memastikan bateri peranti telefon kita berisi. 

Pengecas tertinggi ketika artikel ini ditulis direka untuk menggunakan 240W tenaga, mampu mengecas telefon secepat 9 minit. Namun majoriti di antara kita rasanya seperti penulis, masih menggunakan pengecas lebih perlahan dengan tahap kelajuan standard di antara 5, 10 dan 15W. 

Kita andaikan 5W sejam adalah standard dengan tempoh pengecasan 3 jam diperlukan. Ini bermakna untuk mengecas telefon kita sehingga penuh sekali sehari, kita menggunakan 15W atau 0.015kW.

Untuk 30 hari, kita menggunakan hanya 0.45kW sebulan atau RM0.10.

Murah sangat kalau kita jenis dah penuh terus tutup plag! Sekiranya kita jenis selalu membiarkan telefon yang dah di cas penuh tapi plag masih menyala...anda kira sendirilah berapa jumlah pembaziran anda.

6. Pendingin hawa

pendingin hawa makan elektrik

Ramai melihat pendingin hawa perlu ada dalam kediaman mereka.

Tetapi harus kami ingatkan dengan memasang perkakasan inilah, majoriti pemilik kediaman akan mula menyaksikan pertambahan mendadak pada bil mereka. Khususnya kalau yang dipasang adalah jenis bukan inverter.

Sebuah pendingin hawa dengan fungsi inverter menggunakan di antara julat 250 ke 1250W sejam yang tidak tetap, jadi agak sukar untuk mengiranya melainkan dengan anggaran.

Kita ambil 750W (0.75kW) sebagai titik tengah purata penggunaan sejam dengan unit dipasang 8 jam sehari memberikan kita 6kW jumlahnya.

Didarabkan dengan 30 hari, kita memperolehi 180kW penggunaan hanya untuk satu pendingin hawa. Berdasarkan tarif paling rendah sebuah pendingin hawa sahaja kosnya sudah mencecah RM39.24.

Tak boleh penulis bayangkan berapa bil elektrik jiran penulis, yang setiap biliknya ada pendingin hawa sendiri.

Berapa jumlah kos keseluruhan? 

cara kira meter tnb watt barang elektrik

Dengan berpandukan kenam-enam peranti di atas, kita mendapati penggunaan 30 hari elektriknya adalah seperti berikut

Peti sejuk (24 jam terpasang)108 kW 
Mesin basuh (2x pusingan biasa sehari)28.8 kW
Televisyen (8 jam sehari)14.4kW (guna) + 4.8kW (bersedia)
Mesin pengering (1/2 kali sehari)75kW/150kW
Pengecas telefon (3 jam cas sekali sehari)0.45kW
Pendingin hawa (8 jam sehari)180kW
JUMLAH411.45kW/486.45kW

Kos keseluruhan penggunaaan keenam-enam peranti elektrik di atas adalah RM134.51 untuk sekali operasi mesin pengering atau RM173.21 untuk dua kali pusingan mesin pengering, jika dikira pada tarif penuh tanpa rebat.

Bagaimanapun harus diperjelaskan - kiraan kasar ini agak tinggi jumlahnya kerana keperluan kuasa perkakasan dikira dalam unit W yang konsisten. Sekiranya alat elektrik anda mempunyai sistem inverter, kuasa yang digunapakai akan bertukar-tukar semasa beroperasi.

Tetapi harus juga kami ingatkan - kiraan ini belum mengambil kira lampu, kipas, periuk nasi, cerek pemanas air, penapis air dan sebagainya. Kita baru kira 6 perkakas! 

Sebelum mengundur diri, kami harap artikel ini juga sudah menjelaskan kepada anda yang mana lebih untung; basuh dan keringkan sendiri baju di rumah atau menggunakan perkhidmatan dobi layan diri di kedai.

Kos kasar membasuh dan mengeringkan sendiri pakaian hanyalah sekitar RM22.63 sebulan, untuk dua kali basuhan dan sekali keringan. Tak tinggi kan sebenarnya kos basuh baju sendiri? Jika mesin pengering diguna dua kali sehari pun, kosnya hanya sekitar RM38.98 sebulan. 

Sekiranya anda macam penulis, setia menggunakan alatan pengering berkuasa solar lagilah tinggi penjimatan anda.




Hakcipta iluminasi.com (2017)