Beberapa hari lalu ketika rakyat Malaysia sedang menyambut kehadiran Syawal, kita telah dikejutkan dengan berita seorang ibu di Temerloh yang sanggup mengelar anak bongsunya yang berusia 19 bulan. Menurut suaminya, wanita itu dilihat kerap termenung dan kemurungan sejak awal Mei lalu, namun tidak ke hospital untuk mendapatkan rawatan.
Ini bukanlah kes pertama seorang ibu meroyan dan membunuh bayinya sendiri, namun masih ramai para suami yang jahil atau memandang ringan tentang isu meroyan. Teruskan membaca untuk memahami lebih lanjut apa itu meroyan.
BESARKAN TEKS A- A+
Apakah sebenarnya fenomena meroyan? (Postpartum Depression)
Dalam bahasa mudah, Postpartum Depression (PPD) atau meroyan menurut masyarakat Melayu, adalah sebuah perubahan kompleks dari segi fizikal, emosi dan tingkah laku selepas seseorang wanita menjalani proses melahirkan anak.
Berlakunya meroyan juga sebenarnya dikaitkan dengan perubahan kimia, sosial dan psikologi seseorang ibu. Sejenis penyakit kemurungan, meroyan sebenarnya boleh diubati dengan pengambilan ubatan dan kaunseling.
Punca berlakunya meroyan (Postpartum Depression)
Selepas proses kelahiran, hormon dalam badan seseorang ibu akan berubah sama sekali. Hubungan antara perubahan hormon dengan meroyan sebenarnya masih tidak jelas. Namun, yang diketahui adalah tahap hormon pembiakan wanita (estrogen dan progesterone) yang melalui peningkatan sehingga 10 kali ganda ketika proses kehamilan.
Selepas kelahiran, hormon-hormon turun mendadak. Dalam masa 3 hari selepas kelahiran, hormon ini mencapai tahap normal seperti sebelum seseorang wanita hamil. Bagi sesetengah wanita, perubahan hormon yang mendadak ini berupaya menyebabkan mereka berasa murung, dan akhirnya kepada tahap yang lebih serius iaitu meroyan.
Sekiranya seseorang ibu yang baru sahaja melahirkan anak itu mempunyai sejarah kemurungan, sama beliau sendiri pernah melaluinya, atau salah seorang ahli keluarga sendiri mengalaminya, kebarangkalian untuk beliau meroyan adalah tinggi.
Terdapat beberapa sebab lain mengapa seseorang ibu itu meroyan. Antaranya termasuklah penggunaan alkohol atau dadah, perasaan bercampur baur atau tidak bersedia untuk mempunyai anak, dan tidak mempunyai sistem sokongan yang kuat oleh keluarga sama ada daripada suami sendiri mahupun keluarga kedua ibu bapa.
Simptom-simptom Postpartum Depression atau meroyan
Selepas melahirkan anak, seseorang ibu selalunya akan susah untuk tidur, tidak lalu makan, keletihan berlebihan, kurangnya ransangan seksual dan perubahan mood yang kerap. Ini adalah normal kerana proses kelahiran adalah sesuatu sangat menyakitkan. Namun, sekiranya seseorang ibu turut merasai tanda-tanda seperti di bawah, kemungkinan besar beliau sedang mengalami meroyan:
- Perasaan sedih dan kemurungan melampau.
- Merasakan diri tidak berguna, kerana tidak mampu untuk menjaga bayi atau melakukan tugasan harian seperti biasa.
- Kerap menangis, walaupun tanpa sebarang sebab.
- Kerap tidur, dan berlebihan.
- Mempunyai masalah untuk fokus, mempelajari sesuatu atau mudah lupa.
- Wujudnya perasaan untuk membunuh diri atau mencederakan orang lain termasuklah bayi sendiri.
Jenis-Jenis Postpartum Depression / Meroyan
Terdapat 3 jenis penyakit meroyan, iaitu 'baby blues', 'postpartum depression' dan 'postpartum psychosis'. Memahami perbezaan antara ketiganya adalah penting supaya kejadian yang tidak diingini dapat dielakkan dengan rawatan yang sewajarnya.
Baby Blues
Baby blues selalunya berlaku dalam masa beberapa hari dalam kalangan kebanyakan ibu yang baru sahaja melahirkan bayi, dan ia sebenarnya normal. Buat ibu baru, yakni yang pertama kali menjadi ibu, mereka lebih terkesan dengan perubahan mood yang ketara, kadang kala sangat gembira, dan pada waktu lain berasa sangat sedih.
Perasaan baby blues ini boleh berlaku sehingga beberapa jam, dan dalam sesetengah kes, sehingga berminggu-minggu. Baby blues dilihat sebagai meroyan yang kurang tidak serius, dan selalunya tidak memerlukan rawatan kesihatan. Sekadar sokongan daripada rakan-rakan ibu, suami dan keluarga sudah mencukupi untuk menghadapinya.
Postpartum Depression (PPD)
Postpartum depression adalah meroyan pada tahap yang sederhana serius, dan seseorang ibu boleh merasainya untuk beberapa hari, sehingga beberapa bulan selepas proses kelahiran.
PPD boleh berlaku kepada mana-mana ibu, bukan terhadap ibu kali pertama sahaja. Seseorang ibu yang mengalami PPD akan merasai perubahan mood yang ketara, berasa sedih, putus asa dan bimbang, pada tahap yang lebih serius berbanding baby blues.
Sekiranya seseorang ibu mengalami PPD, bertemulah dengan doktor untuk mendapatkan nasihat dan rawatan yang sepatutnya. Sekiranya tidak mendapatkan rawatan, ibu tersebut boleh terdedah kepada meroyan yang lebih serius.
Postpartum Psychosis (PPP)
Postpartum psychosis adalah meroyan pada tahap yang paling serius. Kemurungan meroyan pada tahap ini boleh berlaku dengan pantas, selalunya dalam masa 3 bulan selepas proses kelahiran.
Para ibu yang menghidapinya boleh hilang 'sentuhan' dengan dunia realiti, dan mengalami halusinasi pendengaran, khayalan dan visual. Maksudnya, mereka akan mendengar dan melihat sesuatu yang tidak wujud, dan terpengaruh dengan perkara-perkara yang tidak masuk akal buat manusia normal.
Bagi ibu yang mengalami PPP, rawatan perlu dilakukan secepat mungkin. Bertemulah dengan doktor untuk rawatan yang bersesuaian. Kadangkala penghidap PPP akan dinasihatkan untuk dirawat di hospital untuk suatu tempoh kerana mereka mempunyai kecenderungan yang tinggi untuk mencederakan diri sendiri, dan orang lain termasuklah bayi yang baru dilahirkan.
Kesimpulan tentang meroyan
Sebagai suami, jangan sesekali memandang remeh sekiranya para isteri dilihat mengalami kemurungan, sama ada selepas melahirkan anak mahupun tidak. Meroyan adalah perkara yang serius, dan sebagai suami mainkan peranan anda untuk membawa isteri mendapatkan rawatan yang selanjutnya.
Kemurungan pada lain-lain waktu walaupun bukan meroyan juga turut harus diberikan perhatian. Jiwa wanita sangat lembut dan sensitif, mudah terguris dan mengalami kemurungan dan tekanan. Sudah pasti anda tidak mahu sesuatu yang tidak diingini berlaku.
Sebagai suami, mainkan peranan anda dalam hidup isteri. Mereka telah melahirkan anak anda, jaga isteri dengan sebaik mungkin.
Rujukan:
- my.theasianparent.com
- bharian.com.my
- webmd.com [1, 2]