Kredit foto: Instagram Ernie Zakri & Instagram Astro Gempak
Penyertaan penyanyi Andi Bernadee dalam program realiti Big Stage terhenti apabila diumumkan tersingkir di konsert ketiga yang berlangsung di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), malam tadi.
Dalam minggu yang bertemakan 'Cover Sama-Sama Up' itu, Andy, 27, mempertaruhkan lagu 'Tak Pernah Hilang' bersama artis undangan, Indah Ruhaila, dendangan asal Amylea dan Kaer.
Keputusan penyingkirannya secara tidak langsung membuka ruang kepada lapan bintang yang lain melangkah ke konsert minggu hadapan. Mereka ialah Tajul, Syafiq Farhain, Afieq Shazwan, Ariff Bahran, Baby Shima, Sissy Iman, Sarah Suhairi dan Wani Kayrie.
Penjurian markah dilakukan oleh dua juri tetap, Datuk Seri Siti Nurhaliza dan Faizal Tahir, bersama juri jemputan, Mark Adam.
Sementara itu, guru vokal pertandingan, penyanyi Ernie Zakri, ketika diminta mengulas tentang penyingkiran Andi, akui berasa kecewa.
Kredit foto: Instagram Ernie Zakri
"Sebagai orang yang bekerja rapat dengannya saya terkejut dan berasa sedih serta kecewa apabila namanya diumumkan tersingkir.
"Dia mempunyai bakat besar dan saya anggap antara peserta yang boleh ke peringkat akhir dalam pertandingan itu.
"Andi seorang yang sentiasa bersungguh-sungguh dalam melakukan sesuatu dan ia kualiti yang saya lihat dalam dirinya," katanya kepada Mstar.
Manakala, Andi sendiri menyifatkan apa yang berlaku sebagai penyingkiran yang bermaruah kerana telah memberikan sehabis baik.
"Apa-apa pun saya sudah buat yang terbaik dan rasanya saya keluar dengan cara bermaruah... Tiada apa yang saya sesalkan.
"Malah saya tak melihat Indah seolah-olah 'makan' saya di atas pentas kerana kami memberi tenaga yang sama untuk menjayakan lagu itu.
"Jika itu berlaku mungkin juri sudah memberikan komen negatif kepada persembahan kami," katanya.
Big Stage dikemudikan Alif Satar dan Sherry Alhadad selaku hos bersama, ditayangkan secara langsung di saluran Astro Ria, setiap Ahad, jam 9 malam.
Juara pertandingan peringkat akhir (minggu kelapan) akan mendapat ganjaran berupa wang tunai RM100,000 berserta trofi sumbangan Astro, manakala tangga kedua dan ketiga masing-masing menerima habuan wang tunai RM50,000 dan RM25,000 bersama trofi, diikuti pemenang keempat dan kelima RM10,000 dan RM5,000 berserta trofi.