Kredit foto: justjaredjr.com
Penyanyi Ed Sheeran memaklumkan dia mungkin akan membatalkan beberapa persembahan selepas mengalami kecederaan akibat kemalangan sewaktu berbasikal.
Pendedahan itu dibuat di laman Instagram dengan kapsyen berbunyi, "Saya mendapat kemalangan kecil dan kini sedang menunggu nasihat perubatan yang mungkin akan menjejaskan beberapa persembahan saya akan datang."
Kredit foto: Instagram Ed Sheeran
Menurut laporan Daily Mail, penyanyi lagu Thinking Out Loud itu mengalami kemalangan di London dua hari lalu (Ahad).
Mengikut jadual, Sheeran bakal melakukan persembahan di Taipei, Ahad ini sebagai permulaan konsert jelajah Asia yang turut melibatkan negara Jepun, Korea Selatan, Hong Kong, Filipina, Malaysia, Singapura, Thailand dan India.
Malah siri konsert itu turut dirancang berlangsung di Emiriah Arab Bersatu.
Sheeran merupakan antara penyanyi paling laris di dunia ketika ini. Album terkininya, Divide memecah rekod Spotify apabila dimainkan oleh 57 juta pendengar pada hari pertama disiarkan, yang mana kira-kira dua kali ganda jumlah rekod tertinggi yang dicatatkan sebelum ini.
Penyanyi yang mengumpul pengalaman menyanyi di jalanan dan bar itu mula mendapat perhatian arus perdana menerusi lagu The A Team.
Sumber berita: BH Online