Kredit: Instagram @fazrenrafi
Diuji dalam perniagaan, pelakon Fazreen Rafi berkongsi masalah kewangan yang dihadapi sebagai seorang majikan sehingga stafnya terpaksa dibayar lambat dari kebiasaan.
"Pertama kali sepanjang 6 tahun bergelar peniaga di kantin sekolah, Faz berjumpa dengan semua pekerja untuk meminta supaya bayaran gaji mereka dilewatkan.
"Nasib baiklah mereka okey dan memahami. Sekarang ini, duit masuk pun susah, apatah lagi jika duit tidak masuk," tulisnya.
Mengetahui dirinya tidak keseorangan, beliau berharap supaya usahawan sepertinya akur dengan turun naik dalam bidang perniagaan.
"Faz yakin ramai peniaga di luar sana pasti melalui perkara yang sama. Tidak cukup duit untuk pusing balik modal, sukar untuk mendapatkan pekerja, gaji pekerja yang tinggi dan pendapatan turun naik.
"Harga barangan pula tidak dapat dijangka. Barangan kering dan basah di luar juga boleh naik mendadak.
"Ada yang sukar untuk diperolehi seperti minyak paket dan sekarang telur juga boleh tiada stok. Inilah cabaran berniaga," ceritanya.
Biarpun pahit untuk ditelan, demi kebaikan perniagannya itu, beliau mengarahkan pekerjanya supaya berjimat semasa memasak.
"Paling Faz tidak suka ialah ketika mahu mengira bil kerana bimbang akan berkira dengan makanan.
"Ayam yang diletakkan tidak boleh terlalu besar, sambal dikurangkan dan masakan juga perlu cair sedikit," luahnya.
Komen Pilihan
"Sangat difahami apabila melibatkan perniagaan makanan, lebih-lebih jika di kantin sekolah.
"Harga jualan terkawal, memang sangat mencabar," komen seorang netizen.
Sumber: Instagram Fazreen Rafi