Kredit foto: Instagram Caprice
Penyanyi rap, Caprice mendapat perhatian meluas selepas memuat naik sebuah video di laman Instagram, baru-baru ini.
Ia berikutan buat pertama kalinya penyanyi lagu Sedar itu bertutur dalam bahasa Melayu sepenuhnya.
Caprice atau nama sebenarnya Ariz Ramli, 30, menjelaskan apa yang dilakukannya itu adalah atas cabaran peminat yang ingin melihat dia berbahasa ibunda.
“Perkara ini bermula apabila saya menegur sesetengah peminat yang sering merungut tentang ketiadaan kerja walaupun mereka mempunyai pendidikan taraf tinggi. Saya mencabar mereka untuk mencipta peluang sendiri daripada terus menunggu tawaran pekerjaan.
“Mungkin sebab itu mereka pula mencabar saya untuk keluar dari zon selesa saya dengan bercakap sepenuhnya dalam bahasa Melayu,” katanya memetik laporan portal Sinar Harian.
Menjelaskan kemampuannya berbahasa Melayu, Caprice memberitahu, meskipun lebih selesa berkomunikasi menggunakan bahasa Inggeris, itu tidak bermakna cabaran bercakap dalam bahasa ibunda menjadi kesukaran kepadanya.
“Saya faham dengan situasi mereka yang masih tidak bekerja. Selain terus menunggu tawaran pekerjaan, saya cadangkan mereka untuk meneroka pelbagai peluang yang telah disediakan oleh kerajaan atau pihak-pihak tertentu.
“Contoh terbaik yang saya nampak ialah melalui program ‘YouCanDuit’ di bawah Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC). Mereka membuka peluang untuksesiapa sahaja mencipta sumber pendapatan sendiri,” katanya.
Video bintang hip hop itu terus menjadi bualan hangat apabila turut dilakonkan dalam versi parodi oleh beberapa rakan artis.
Antaranya termasuk Syuk SYJ, Azrul Cham, Bell Ngasri dan Zulin Aziz.