Semasa musim panas tahun 2008, seorang senator muda dari Illinois tiba di Berlin. Senator Barack Obama ketika itu baru sahaja dikenali mencuba untuk mendapatkan jawatan di Rumah Putih namun kehadiran hampir suku juta orang untuk mendengarnya bercakap membuatkan ramai pihak terkejut, termasuklah Obama sendiri.
Seorang lelaki bernama Vitali Shkliarov turut hadir ketika itu di dalam lautan manusia yang mendengar ucapan Obama. Skhliarov berasa amat kagum dengan calon presiden demokrasi itu walaupun tidak memahami walau sebutir pun ucapan Obama.
BESARKAN TEKS A- A+
Lelaki yang berasal dari Belarus dan berpindah ke Jerman untuk melanjutkan pelajaran itu tidak tahu langsung berbahasa Inggeris. Namun demikian, dia tetap terpesona dengan gaya dan karisma yang ditonjolkan oleh Obama. Pemimpin seperti Obama tidak pernah dilihat sepanjang kehidupannya di Belarus iaitu sebuah negara yang lama berada di bawah pemerintahan Kesatuan Soviet.
Terinspirasi dengan ucapan di Berlin itu, 4 tahun kemudian Shkliarov akhirnya menuju ke Amerika Syarikat untuk menjadi sukarelawan bagi kempen pemilihan semula Presiden Barack Obama.
Ia bagaikan mimpi menjadi kenyataan bagi Shkliarov walaupun dia hanya bekerja di ruang bawah tanah dengan membuat panggilan meminta supaya orang keluar mengundi. Ketika itu, dia masih menghadapi masalah dengan penguasaan bahasa Inggerisnya. Dia tidak begitu memahami apa yang orang katakan dan kerap meminta calon pengundi mengulangi ayat mereka sehingga merasakan dirinya seperti "Borat" versi Belarus dan menyebabkan calon pengundi berang dengannya.
Kemudian satu keajaiban berlaku. Semasa mencuba memenangi hati calon-calon pengundi itu, Shkliarov mula bercerita mengenai kisah hidupnya di Belarus. Walaupun tersangkut-sangkut akibat rintangan bahasa, namun ia tulus dan jujur yang akhirnya memberikan hasil.
Shkliarov menceritakan bagaimana membesar di negara yang tidak ada sesiapa pun pernah mengambil berat untuk bertanya kepadanya apa perasaan berkaitan pilihan raya atau presiden mana yang ingin diundi. Ceritanya membuatkan calon pengundi berasa insaf dan bersyukur dapat hidup di Amerika Syarikat.
Tidak lama selepas itu, Shkliarov menyertai pula satu lagi pilihan raya presiden dengan menjadi pekerja barisan hadapan bagi Senator Vermont iaitu Bernie Sanders. Shkliarov menjadi pekerja kempen Sanders sehinggalah Sanders kalah pencalonan parti Demokratik kepada Hillary Clinton. Walaupun kekalahan itu amat mengecewakan namun ia telah mengajar Shkliarov banyak perkara penting dalam berpolitik. Pada ketika ini, Shkliarov sudahpun menjadi seorang operator politik yang mahir dengan pemahaman meluas tentang peranan teknologi dalam politik akar umbi.
Kemahiran itu terbukti apabila mendapat panggilan dari Moscow pada tahun 2017. Parti pembangkang Russia yang berharap untuk menang kerusi semasa pilihan raya bandaran telah memilih untuk menggunakan khidmat Shkliarov bagi membangunkan sebuah kempen berasaskan teknologi yang kreatif.
Pendekatan Shkliarov adalah apa yang dipanggil "Penguberan" (Uberization) politik Rusia. Shkliarov dan pasukannya membangunkan aplikasi dalam talian yang membolehkan beratus-ratus calon pembangkang - yang majoritinya adalah muka baru dalam politik - untuk mengatasi proses pendaftaran pilihan raya Rusia yang membebankan. Hasilnya mengejutkan apabila kemenangan berpihak kepada pembangkang mengatasi calon pro-Kremlin di beberapa daerah utama.
Dan ini membawa kita ke masa kini dan mungkin tugas Shkliarov yang paling sukar. Beliau kini menjadi penasihat utama kepada sosialis Rusia (parti pembangkang) yang menjadi calon presiden, Ksenia Sobchak, yang membuat percubaan sukar untuk merebut kerusi presiden Rusia dalam pilihan raya Mac tahun ini.
Pencalonan Sobchak telah terpalit tuduhan yang beliau merupakan boneka Kremlin untuk menarik minat pengundi. Salah satu teori konspirasi itu adalah mungkin disebabkan Presiden Rusia sekarang iaitu Vladimir Putin telah dijangka menyapu bersih pilihan raya di sana selepas ketua pembangkang, Alexey Navalny yang merupakan pengkritik Putin paling digeruni dilarang daripada bertanding. Jadi, Kremlin hanya inginkan bilangan rakyat Rusia secukupnya keluar mengundi untuk mengesahkan pengundian dan disebabkan itulah pencalonan Sobchak dibuat secara tiba-tiba.
Namun Shkliarov menidakkan dakwaan tersebut. Hal ini demikian kerana Sobchak menggunakan kempennya untuk menentang Kremlin secara terbuka berkenaan pelbagai perkara yang kebiasaannya tidak dapat diketahui oleh rakyat, termasuklah perihal larangan Navalny daripada bertanding.
Menurut Shkliarov, pilihan raya di Rusia adalah palsu semata-mata. Walaupun secara realitinya mereka sedar yang mereka akan mengalami kekalahan, namun mereka masih boleh cuba untuk berbuat sesuatu bagi perubahan masa depan dalam 20 atau 30 tahun yang mendatang.
Shkliarov berterima kasih kepada Obama kerana menjadikan dirinya seorang yang optimis dan percaya dengan kata-kata Martin Luther King Jr. yang sering dipetik Obama dalam ucapannya. "Lengkungan sejarah adalah sangat panjang namun ia sering membengkok ke arah keadilan."