Kita biasanya melihat snek Pringles di rak-rak kedai runcit dan pasaraya seluruh Malaysia. Dari aspek pembungkusan, Pringles lebih menonjol kerana menggunakan bekas atau tin yang cukup ikonik berbanding bungkusan plastik biasa yang digunakan oleh jenama-jenama pesaingnya.

Pada tin Pringles ini, kita boleh lihat dengan jelas tulisan "Pringles" bersama-sama dengan gambar maskot Pringles. Bagi yang tidak tahu, maskot Pringles ini secara rasminya dikenali dengan nama "Julius Pringles".

BESARKAN TEKS     A-  A+

Persoalannya, siapakah Julius Pringles ini? Adakah beliau pengasas atau pencipta snek Pringles ini?

Berasal dari prank

prank nama maskot pringles

Walaupun pemilik jenama Pringles, Kellog's telah menyenaraikan "Julius Pringles" sebagai tanda dagang mereka, mereka bukanlah pihak yang mula-mula menggunakan dan memperkenalkan maskot Pringles sebagai "Julius Pringles".

Julius Pringles atau lebih dikenali sebagai "Mr. P" sebenarnya merupakan nama ciptaan 2 orang pengguna internet yang melakukan troll dengan menyunting artikel di laman Wikipedia mengenai topik Pringles.

Semuanya bermula pada tahun 2006 di asrama hostel mereka. Ketika itu, mereka sedang menikmati Pringles perisa Sour Cream & Onion Pringles. Salah seorang pelajar ini yang menggunakan katanama "Platypus222" telah menceritakan bagaimana semuanya bermula.

Justin Shillock yang menggunakan katanama "Platypus222" telah mendedahkan di akaun Twitternya pada ketika itu beliau telah menyunting artikel berkaitan Pringles dengan menambah nama "Julius Pringles" sebagai nama maskot Pringles.

Lama-kelamaan, nama tersebut melekat untuk maskot Pringles walaupun jenama Pringles ini sudah banyak kali bertukar pemilik. Lebih lucunya, pemilik sekarang Pringles turut mendakwa mereka adalah pemilik nama tersebut bagi maskot produk mereka. 

Namun, adakah dakwaan ini betul?

Sejarah suntingan artikel Wikipedia

maskot pringles

Bagi yang tidak tahu, anda boleh melihat sejarah suntingan untuk setiap artikel yang disenaraikan di Wikipedia. Nama penyunting juga turut disertakan bersama-sama setiap suntingan yang dilakukan mereka.

Lihat sahaja gambar di atas, suntingan bertarikh 4 Disember 2006 yang dibuat oleh seorang penggunakan yang menggunakan akaun "Platypus222". Beliau menambah satu frasa ayat yang berbunyi "*The man depicted in the Pringles logo is actually named Julius Pringles.".

Ketika itu, suntingan ini tidak disertakan dengan mana-mana sumber. Walau bagaimanapun, Justin Shillock berjaya memberikan bukti bahawa beliau merupakan pemilik akaun yang menggunakan katanama "Platypus222" di Wikipedia dan masih mempunyai akses ke akaunnya sehingga kini. 

Sementara itu, Michael Wiseman merupakan kawan kepada Justin Shillock dan mereka berdualah yang memulakan prank meletakkan nama maskot Pringles dengan menyunting artikel berkenaan Pringles di Wikipedia. Siapa sangka, nama tersebut masih melekat sehingga ke hari ini!

Idea prank

tanda dagang masot pringles

Kedua orang individu ini merupakan sahabat sejak di Gred 3 lagi dan mereka berdua di tinggal di bilik yang sama ketika di kolej. Idea untuk menamakan maskot Pringles ini tercetus ketika keduanya berada di tahun pertama (2006).

Justin Shillock ketika itu dikatakan sedang memakan Pringles perisa "Sour Cream & Onion" sementara rakannya pula sedang menonton  perlawanan yang melibatkan pasukan Carolina Panthers. Justin Shillock bertanyakan kepada rakannya mengenai apakah nama maskot popular yang ada pada tin bungkusan Pringles.

Michael Wiseman yang baru melihat Julius Peppers (salah seorang pemain Carolina Panthers) dengan spontannya menjawab "Julius Pringles". Maka lahirlah nama bagi maskot popular Pringles ini.

Tapi bagaimanakah prank mereka ini tidak kantoi?

Ketika itu, Justin Shillock merupakan seorang penyumbang dan penyunting yang aktif di Wikipedia, jadi suntingan yang dilakukannya mudah diterima. Selain itu, proses suntingan di Wikipeda ketika itu juga tidak seketat pada masa kini, menyebabkan suntingan yang dilakukan mereka mudah diterima. 

Pada tahun 2007, suntingan yang dibuat mereka telah dibuang oleh seorang moderator lain. Namun, Justin Shillock telah menambah kembali nama Julius Pringles dan disebabkan beliau merupakan seorang penyunting Wikipedia yang mempunyai reputasi yang baik, maka suntingannya menambah kembali nama Julius Pringles telah diterima. 

Selain itu, disebabkan kedua mereka berada di kampus kolej, maka lebih mudah bagi kedua-dua mereka menyembunyikan alamat IP mereka kerena mereka boleh bertukar-tukar alamat IP dengan melayari internet dari lokasi berbeza di kampus kolej mereka.

Kedua-dua mereka ternyata masih terkejut apabila pihak Pringles sendiri secara rasminya menggunakan nama Julius Pringles sebagai nama maskot mereka dan mendaftarkan tanda dagang baginya. 

Kredit:




Hakcipta iluminasi.com (2017)