Salah satu masalah yang bakal dihadapi oleh tamadun manusia pada zaman mendatang, adalah jumlah populasi kita yang semakin lama semakin bertambah.
Pertambahan ini pula disebabkan oleh faktor penduduk bumi yang berjaya menggunakan sains dan teknologi dalam merawat penyakit-penyakit yang memendekkan umur, seterusnya menaikkan purata usia kita. Oleh kerana faktor kesihatan yang semakin baik, pengeluaran makanan untuk kegunaan orang ramai juga perlu dipertingkatkan.
BESARKAN TEKS A- A+
Bagaimanapun, usaha meningkatkan pengeluaran makanan khasnya bahan-bahan mentah seperti daging kerap kali diganggu faktor seperti penyakit dan kos yang sangat tinggi. Oleh yang demikian, banyak pihak ketika ini sedang berusaha mencipta produk-produk baru yang dapat menggantikan bahan mentah - salah satunya adalah daging versi palsu.
Populariti daging tiruan yang meningkat
Daging sintetik, sekiranya anda belum sedar - semakin mendapat tempat di kalangan masyarakat barat sebagai bahan yang boleh diterima sebagai makanan sebenar. Berbeza dengan pelbagai cubaan yang dilakukan sebelum ini, 5 tahun kebelakangan ini menampakkan usaha kajian benar-benar membawakan hasil yang dimahukan dalam mencipta alternatif kepada daging.
Dalam istilah sebenar, daging tiruan digelarkan sebagai 'daging analog' atau 'meat analogue,' merupakan bahan gantian kepada daging yang dicipta agar mempunyai ciri-ciri dan karakter sama seperti daging.
Kebanyakan daging analog sebelum ini dibuat dengan menggunakan produk berasaskan soya atau gluten, membolehkan pengamal makanan sayur sahaja turut sama merasai keenakan makanan seakan daging.
Bagaimanapun, bagi penggemar daging sejati - produk-produk ini dikatakan gagal memenuhi permintaan sebenar seorang pencinta daging sejati. Ini kerana produk yang ada tidak mempunyai rasa daging yang diinginkan, selain tekstur daging yang unik dan hanya dimiliki oleh daging.
Membiakkan daging dalam makmal
Selain daripada membina produk alternatif kepada daging menggunakan bahan-bahan lain, satu lagi kaedah yang jarang diperkatakan adalah kaedah pembiakan daging secara pembiakan vitro yang dilakukan dalam makmal.
Berbeza dengan daging yang diperolehi daripada haiwan yang disembelih, daging kultur ini dibiakkan berasaskan daripada tisu-tisu daging yang disokong dengan bantuan sains perubatan, hanya daripada sel-sel yang diambil.
Sebuah syarikat Belanda bernama Mosa Meat mengumumkan pada penghujung tahun 2018 bahawa mereka mahu memasarkan produk berasaskan kepada daging yang dikulturkan pada tahun 2021.
Satu kajian oleh University of Bath yang dilaporkan pada awal tahun 2019 pula telah berjaya membiakkan sel daging yang diambil daripada khinzir dan lembu, dengan bantuan ejen pembiak iaitu rumput. Sel-sel yang dipilih diberikan glukosa, asid amino, vitamin dan mineral dan hasilnya - sel itu berjaya membesar menjadi sel otot daging matang.
Setakat ini, kajian yang dijalankan mendapati tidak wujud sebarang perbezaan dalam struktur daging kultur berbanding daging sebenar, apabila dilihat melalui mikroskop dan kumpulan penyelidik mensasarkan tempoh 5 tahun untuk pengeluar merealisasikan hasil kajian mereka, dalam bentuk produk jualan pasaran awam.
Populariti Beyond Meat dan Impossible Foods
Buat masa sekarang, kebanyakan daging tiruan atau analog ini dijual dalam bentuk daging burger, dengan dua nama paling terkenal iaitu Beyond Meat dan Impossible Foods menjadi sebutan ramai. Ini kerana burger mereka yang tidak diperbuat daripada daging, dikatakan berjaya menyerupai daging burger sebenar.
Beyond Meat misalnya mempunyai makmal kajian sendiri di El Segundo, California yang hanya mempunyai satu matlamat saja - cipta daging replika terbaik untuk pasaran orang ramai. Bermula sebagai sebuah syarikat permulaan yang kecil sejak tahun 2016, Beyond Meat kini berdepan kesukaran memenuhi permintaan kerana jumlahnya terlalu tinggi.
Setiap kepingan daging burger Beyond Meat dihasilkan dengan menggunakan kacang hijau yang digabungkan dengan kanji kentang. Setiap produk mereka dihasilkan hanya selepas mematuhi rasa, aroma, rupa dan tekstur daging burger sebenar.
Impossible Foods yang beroperasi dari Redwood City, California pula menggunakan hasil kajian seorang saintis Stanford sebagai asasnya dan menggunakan bahan berasaskan soya dengan kentang yang digabungkan untuk menghasilkan kepingan burger. Bagi mendapatkan rasa lemak yang ada dalam daging, minyak kelapa yang digabungkan dengan gandum digunakan dan akan mencair ketika dimasak, bagi menghasilkan lapisan minyak yang menjadi identiti daging burger.
Pada penghujung tahun 2018, semua produk Impossible Food mendapat pengiktirafan halal bagi dimakan penggemar burger Muslim.
Teknologi sintetik demi masa depan
Wujud satu persamaan yang nyata dalam operasi kedua-dua syarikat - kos yang mereka perlukan lebih rendah, tidak ada haiwan yang perlu dikurung dan hidup terseksa dan kesan buruk penghasilan produk pada alam sekitar juga dapat dikawal, lebih baik berbanding dengan kilang-kilang burger berasaskan daging sebenar.
Jumlah air yang diperlukan bagi menghasilkan burger berasaskan sayuran ini juga lebih rendah, kerana pengeluar tidak lagi perlu menguruskan haiwan hidup yang memerlukan penjagaan rapi.
Selain itu, khasiat dalam setiap kepingan daging burger juga dapat dikawal dengan lebih baik. Kandungan bahan seperti lemak dapat ditentukan sejak awal, kerana produk dagingnya dihasilkan berasaskan sayuran. Masa yang diperlukan daripada mula sehingga siap kepingan daging burger juga jauh lebih singkat.
Pengguna juga bakal mempunyai alternatif yang lebih rendah harganya. Buat masa sekarang, harga bagi Beyond Burger dan Impossible Burger lebih tinggi berbanding daging biasa, tetapi dijangkakan beberapa tahun lagi selepas proses pembangunan sistemnya benar-benar matang - harga yang ditawarkan dapat dikurangkan sehingga lebih rendah berbanding daging burger sebenar.
Ketika ini, daging sintetik masih lagi terhad kepada bentuk kepingan daging burger yang diperbuat daripada bahan tumbuhan. Lima ke 10 tahun lagi, mungkin kita dapat merasai daging yang dihasilkan di dalam makmal tanpa ada seekor pun haiwan perlu disembelih. Persoalannya di sini - bagaimana penerimaan anda kelak? Untuk daging burger yang dibuat menggunakan bahan tumbuhan, senang sikit untuk diterima perut.
Bagaimana pul dengan daging yang dibiakkan dalam makmal, ttidak datang daripada haiwan hidup? Yang itu agak seram memikirkan kemungkinannya.