Setiap negara mempunyai sistem trafik jalan rayanya sendiri yang mungkin sedikit berlainan dengan negara lain. Ada negara yang mengamalkan peraturan memandu di sebelah kiri jalan seperti di Malaysia dan ada yang mengamalkan peraturan memandu di sebelah kanan jalan seperti di Amerika Syarikat.

Setiap negara mempunyai sebab yang tersendiri mengapa sesuatu peraturan itu diamalkan dan biasanya ia akan terpakai buat selama-lamanya. Pernahkah anda terfikir apa akan jadi sekiranya kerajaan bertindak menukar sistem trafik secara drastik, contohnya anda perlu memandu di sebelah kanan jalan berbanding memandu di sebelah kiri jalan seperti yang diamalkan pada masa kini?

BESARKAN TEKS     A-  A+

Tentulah akan timbul huru-hara dan kesesakan yang amat dahsyat. Namun, itulah tindakan pelik yang telah diambil oleh kerajaan Sweden puluhan tahun dahulu.

Peristiwa Dagen H

dagen h 556

Sekitar pukul 5 pagi pada 3 September 1967, jalan raya di kebanyakan tempat di Sweden langsung tidak bergerak. Secara perlahan-lahan, pemilik kereta dan motosikal perlahan-lahan mengalihkan kenderaan mereka ke lorong bersebelahan. Bermula tarikh itu, Sweden secara rasminya mula mengamalkan pemanduan kenderaan sebelah kanan jalan berbanding sebelah kiri jalan sebelum itu.

Keadaan menjadi huru-hara memandangkan pada ketika itu orang ramai sudah mula memandu ke tempat kerja masing-masing. Masing-masing terkeliru dengan peraturan jalan raya, seolah-olah mereka berada di tempat yang asing.

Paling sukar tentulah mengingat kembali laluan-laluan biasa yang digunakan yang mungkin berubah. Ditambah lagi dengan pemilik kenderaan yang tersalah masuk lorong sehingga menyebabkan keadaan panik kepada pengguna jalan raya yang lain. Sekiranya fungsi Google Maps dan Waze sudah wujud pada ketika itu, keduanya mungkin tidak dapat digunakan pada ketika itu.

Penentangan terhadap cadangan penukaran sistem trafik

memandu sebelah kanan

Walaupun tindakah mengubah laluan trafik ini dikuatkuasakan pada tahun 1967, ianya bukanlah dibuat secara drastik oleh kerajaan Sweden. Malah, cadangan mengenai perkara ini telah diusulkan sejak tahu 1950-an lagi.

Dalam sebuah referendum yang dianjurkan pada tahun 1955, 83% rakyat Sweden telah menolak cadangan ini. Walau bagaimanapun, kerajaan bertindak untuk meneruskan cadangan ini bagi menyeragamkan sistem aliran trafik disini dengan negara-negara Eropah yang lain.

Sejarah penggunaan sistem memandu sebelah kiri dan kanan

undang jalan raya dunia

Majoriti negara di dunia memandu di belah kanan jalan walaupun suatu ketika dahulu kerajaan Roman dan Greek menggunakan jalan sebelah kiri yang seterusnya mempengaruhi sistem jalan raya di kebanyakan negara Eropah.

Pada ketika dahulu, orang Roman dan Greek akan memandu kuda di sebelah kiri. Ini membolehkan penunggang berkuda memegang tali kendali dengan tangan kiri dan memegang pedang dengan tangan kanan bagi mempertahankan diri daripada musuh.

Perubahan daripada penggunaan kenderaan di sebelah kiri ke kanan bermula di Amerika Syarikat apabila pasukan tentera mula menggunakan beberapa ekor kuda untuk menarik gerabak besar. Gerabak ini tidak mempunyai tempat duduk oleh itu pemandunya akan duduk di atas kuda paling belakang di belah kiri.

Pemandu ini akan memegang tali cemeti pada tangan kanannya untuk mengawal kuda-kuda penarik gerabak. Kerana kedudukan penunggang kuda yang berada di sebelah kiri, maka adalah lebih mudah sekiranya penunggang kuda lain berselisih dengan kenderaan pada sebelah kiri bagi memastikan laluan di hadapan selamat untuk dilalui. Oleh itu, penunggang kuda ini akan membawa kudanya di bahagian kanan jalan.

Sementara itu, orang British pada ketika itu kekal menggunakan jalan kiri kerana mereka masih menggunakan gerabak yang lebih kecil dan tiada masalah untuk meneruskan penggunaan jalan di sebelah kiri.

Negara-negara yang pernah berada di bawah pemerintahan British telah menggunapakai sistem yang sama, contohnya kita di Malaysia. Walau bagaimanapun, Kanada telah menukar sistem pemanduan sebelah kanan jalan bagi memudahkan urusan keluar masuk ke Amerilka Syarikat memandangkan ianya terletak bersebelahan Amerika Syarikat.

Penukaran sistem trafik di Sweden

trafik sweden

Negara Sweden mempunyai alasan yang hampir sama dengan Kanada mengapa mereka mengambil keputusan menukar sistem trafik mereka. Kesemua negara bersebelahan dengannnya termasiuk Norway dan Finland memandu di sebelah kanan jalan. Penukaran sistem trafik ini semestinya akan memudahkan urusan keluar masuk ke negara-negara jirannya.

Walau bagaimanapun, ini bukanlah sebab utama mengapa perubahan ini dilakukan sebaliknya faktor keselamatan merupakan sebab kerajaan mengambil tindakan ini walaupun ditolak oleh rakyatnya.

Pada ketika itu, 90% kereta yang digunakan di Sweden diimport daripada Amerika Syarikat yang sememangnya dicipta untuk pemanduan sebelah kanan jalan. Malah, banyak pengeluar kereta tempatan termasuklah Volvo turut menjual kenderaan yang dikhaskan untuk memandu di sebelah kanan jalan. Akibatnya, terlalu banyak kemalangan yang direkodkan.

Persediaan untuk hari Dagen H

persediaan dagen h

Maka, pada 1963, kerajaan telah mengumumkan perubahan sistem trafik di negara tersebut. Peristiwa ini dikenali sebagai “Högertrafikomläggningen” atau singkatannya Dagen H yang bermaksud perubahan lalu lintas ke sebelah kanan.

Persediaan untuk pertukaran sistem yang akan mempengaruhi 8 juta rakyatnya pada ketika itu bukanlah sesuatu yang mudah. Lampu isyarat perlu diterbalikkan, tanda jalan perl diubah, persimpangan perlu direkabentuk semula, garisan di jalan perlu dicat semula dan banyak lagi.

Selain itu, pengangkuatan awam seperti bas juga perlu diubahsuai untuk diubah kedudukan pintu bagi penumpang dan perhentian bas juga perlu dipindahkan. Segala perubahan ini telah dilakukan berbulan-bulan lebih awal dan disiapkan sebelum hari bersejarah Dagen H.

Perubahan positif daripada pertukaran sistem trafik

kadar kemalangan

Secara keseluruhannya, kos untuk membuat pertukaran sistem trafik ini telah menelan belanja sekitar 628 million kronor, iaitu sekitar $316 million pada masa kini. Walaupun idea ini pada awalnya ditentang dan melibatkan kos yang tinggi, ia akhirnya menampakkan perubahan yang positif.

Beberapa bulan selepas perubahan sistem trafik ini, kadar kemalangan jalan raya telah turun secara mendadak memandangkan pengguna lebuh raya lebih berhati-hati dengan sistem jalan raya yang baru ini. Selain itu, penggunaan kenderaan yang sememangnya dicipta untuk pemanduan sebelah kanan jalan memudahkan pemandu melihat persekitaran kenderaan mereka dengan lebih jelas seterusnya mengurangkan risiko kemalangan.

Kredit:

  1. Wikipedia
  2. BBC News
  3. Drive Mag



Hakcipta iluminasi.com (2017)