Kuasa nuklear bukanlah satu penyelesaian iklim. Ia mungkin boleh menghasilkan tenaga berkarbon rendah, tetapi tenaga ini menyebabkan banyak risiko dan keburukan. Kuasa solar, kuasa angin, kuasa geoterma, kereta hibrid dan elektrik, serta kecekapan tenaga yang agresif adalah penyelesaian iklim yang lebih selamat, murah, cepat, terjamin dan kurang membazir berbanding kuasa nuklear.
BESARKAN TEKS A- A+
Ketika ini, terdapat sekitar 444 loji kuasa nuklear di 30 negara di seluruh dunia, dengan 63 loji lagi sedang dalam pembinaan. Dan menurut pakar, loji-loji baru ini tidak patut dibina.
iluminasi.com kongsikan 10 sebab kenapa tenaga nuklear patut ditentang.
1. Sisa nuklear
Sisa dan bahan buangan yang dihasilkan oleh reaktor nuklear kekal radioaktif untuk puluhan ke ratusan ribu tahun.
Ketika ini, tiada penyelesaian penyimpanan jangka panjang untuk sisa radioaktif dan kebanyakannya disimpan dalam kemudahan sementara yang terletak di atas tanah.
Kemudahan ini semakin kehabisan ruang penyimpanan, jadi industri nuklear beralih ke jenis penyimpanan lain yang lebih mahal dan kurang selamat.
2. Percambahan nuklear
Terdapat kebimbangan besar bahawa pembangunan program tenaga nuklear meningkatkan kemungkinan percambahan senjata nuklear.
Apabila bahan api nuklear dan teknologi menjadi tersedia di seluruh dunia, risiko untuk jatuh ke tangan yang salah semakin meningkat.
Untuk mengelakkan percambahan senjata nuklear, adalah penting bahawa negara-negara yang mempunyai tahap korupsi dan ketidakstabilan yang tinggi tidak digalakkan untuk membuat program nuklear.
Amerika Syarikat pula dilihatkan harus menjadi pemimpin dalam hal ini dengan tidak mendorong lebih banyak tenaga nuklear dihasilkan di negara mereka.
3. Potensi serangan pengganas
Loji kuasa nuklear adalah sasaran yang berpotensi untuk operasi pengganas.
Satu serangan boleh menyebabkan ledakan besar, meletakkan pusat penduduk berisiko tinggi serta mengeluarkan bahan radioaktif berbahaya ke atmosfera dan kawasan sekitarnya.
Kemudahan penyelidikan nuklear, loji pengayaan uranium dan lombong uranium juga berpotensi berisiko untuk diserang yang dapat menyebabkan pencemaran meluas dengan bahan radioaktif.
4. Kemalangan melibatkan nuklear
Di samping risiko yang ditimbulkan oleh serangan pengganas, kesilapan manusia dan bencana alam boleh membawa kepada kemalangan yang berbahaya dan menelan kos yang tinggi.
Bencana Chernobyl 1986 di Ukraine meragut nyawa 30 pekerja dalam letupan awal dan mempunyai pelbagai kesan kesihatan negatif ke atas ribuan di seluruh Rusia dan Eropah Timur.
Tsunami besar-besaran melangkaui mekanisme keselamatan beberapa loji kuasa pada tahun 2011, telah menyebabkan tiga kemalangan nuklear di kilang kuasa di Fukushima, Jepun.
Tragedi ini telah menyebabkan pengeluaran bahan radioaktif ke kawasan sekitarnya.
Dalam kedua-dua bencana, beratus-ratus ribu orang telah dipindahkan, berjuta-juta ringgit dibelanjakan dan kematian berkaitan radiasi sedang dikira sehingga ke hari ini.
Kadar kanser di kalangan populasi yang tinggal berdekatan dengan Chernobyl dan Fukushima, terutamanya dalam kalangan kanak-kanak telah meningkat dengan ketara pada tahun-tahun selepas kemalangan tersebut berlaku.
5. Risiko kanser
Selain daripada risiko kanser yang berkait rapat dengan bencana nuklear, kajian juga menunjukkan peningkatan risiko bagi mereka yang tinggal di dekat loji kuasa nuklear terutamanya untuk kanser kanak-kanak seperti leukemia.
Para pekerja dalam industri nuklear juga terdedah kepada paras radiasi yang lebih tinggi daripada biasa dan hasilnya adalah risiko kematian yang lebih tinggi akibat kanser, iaitu pada kadar yang sama dengan mangsa bom nuklear Jepun yang terselamat.
6. Pengeluaran tenaga
444 loji janakuasa nuklear yang wujud kini menyediakan kira-kira 11% daripada tenaga dunia.
Kajian menunjukkan bahawa untuk memenuhi keperluan tenaga semasa dan masa depan, sektor nuklear perlu membina sehingga sekitar 14,500 loji janakuasa.
Uranium, bahan bakar untuk reaktor nuklear, adalah tenaga intensif untuk lombong dan deposit yang ditemui pada masa akan datang mungkin lebih sukar untuk diperoleh.
Akibatnya, banyak jumlah tenaga yang dicipta akan diimbangi oleh input tenaga yang diperlukan untuk membina dan menutup loji, serta melombong dan memproses bijih uranium.
7. Lokasi yang tidak mencukupi
Peningkatan sehingga 14,500 loji nuklear adalah mustahil disebabkan oleh pembatasan tapak yang sesuai.
Loji nuklear perlu terletak berhampiran dengan sumber air untuk proses penyejukan dan tidak terdapat lokasi yang cukup di dunia yang selamat dari kemarau, banjir, taufan, gempa bumi, atau potensi bencana lain yang boleh mencetuskan kemalangan nuklear.
Peningkatan peristiwa cuaca yang melampau yang diramalkan oleh model iklim hanya menambahkan risiko ini.
8. Kos yang tinggi
Tidak seperti tenaga boleh diperbaharui, kos tenaga nuklear semakin meningkat. Banyak loji-loji sedang ditutup atau dalam bahaya kerana alasan ekonomi.
Kos modal, kos bahan bakar dan kos penyelenggaraan permulaan adalah lebih tinggi bagi loji nuklear berbanding angin. Malah, projek nuklear cenderung mengalami kos berlebihan dan penangguhan pembinaan.
Harga tenaga boleh diperbaharui telah jatuh dengan ketara sepanjang dekad yang lalu, dan ia dijangka terus jatuh.
9. Pertandingan dengan tenaga boleh diperbaharui
Pelaburan dalam loji nuklear, keselamatan, infrastruktur perlombongan dan lain-lain telah menarik dana dari pelaburan dalam sumber bersih seperti angin, suria, dan geoterma.
Dengan ini, pembiayaan untuk tenaga boleh diperbaharui semakin berkurangan dan peningkatan kapasiti nuklear hanya akan menambah persaingan untuk pembiayaan tenaga bersih.
10. Kebergantungan tenaga oleh negara-negara miskin
Menyokong tenaga nuklear bermakna bahawa negara-negara miskin, yang mana tidak mempunyai sumber kewangan untuk melabur dan membangunkan kuasa nuklear, menjadi bergantung kepada negara-negara kaya dan maju dari segi teknologi.
Sebagai alternatif, negara-negara miskin tanpa pengalaman dalam membangunkan dan menyelenggara loji nuklear mungkin akan membuat keputusan untuk membinanya di negara mereka.
Negara-negara dengan sejarah penggunaan tenaga nuklear telah mempelajari kepentingan peraturan, pengawasan, dan pelaburan dalam keselamatan apabila melibatkan nuklear.
Dr. Peter Bradford dari Vermont Law, bekas ahli Suruhanjaya Pengawalseliaan Nuklear AS, menulis, "Sebuah dunia yang lebih bergantung pada kuasa nuklear akan melibatkan banyak loji di negara-negara yang tidak berpengalaman dengan tenaga nuklear, tidak ada latar belakang peraturan dalam bidang ini dan beberapa rekod yang dipersoalkan mengenai kawalan kualiti, keselamatan dan rasuah."
Amerika Syarikat harus memimpin perkara ini dan menggalakkan negara miskin untuk melabur dalam teknologi tenaga selamat berbanding nuklear.
Rujukan: