Penjarakkan selamat. Kuarantin. Isolasi. Berkurung di rumah.
Istilah-istilah ini merupakan istilah yang diberitahu kepada kita sepanjang wabak Covid-19 melanda, menjadi benteng pertahanan pertama dalam memperlahankan jangkitan daripada terus berlaku.
Malangnya, satu aspek yang jarang diberikan perhatian kepada kita - adalah aspek psikologi yang akan berubah, apabila berlakunya perubahan kepada rutin harian kita secara mendadak; terkurung dalam satu kawasan atau kediaman.
BESARKAN TEKS A- A+
Kita tahu ancaman wabak memang menakutkan kepada mereka yang dijangkiti, tetapi bagi kita yang sedang berkurung - kita juga sebenarnya sedang menghadapi satu lagi ancaman psikologi.
Penyelidik menggelarkannya sebagai risiko kuaranti. Kita boleh menggelarkannya sebagai 'demam kabin' atau 'cabin fever'.
Kuarantin bukan perbuatan mudah
Dalam zaman moden, kita mungkin merasa terkurung dalam rumah tidak mencipta sebarang situasi atau tekanan yang menakutkan - kerana kita ada teknologi serta kemudahan yang mampu mengisi masa kita.
Kemudahan internet, televisyen, fasiliti dalam rumah, buku, hobi dan sebagainya diyakini mampu membuatkan kita leka sehinggalah tempoh kuarantin wajib pada kita selesai.
Walau bagaimanapun, setiap individu lama-kelamaan sedikit sebanyak pasti akan merasai kesan perubahan berbentuk fizikal dan mental apabila kita kehilangan kebebasan yang selama ini dirasai. Seminggu, dua minggu awal, mungkin kesannya tidak dirasai.
Realitinya, bukan mudah untuk kita dipisahkan daripada orang kesayangan seperti ahli keluarga, rakan-rakan dan teman.
Kita juga dibebankan dengan rasa takut dijangkiti, bimbang dengan situasi masa depan, asyik berfikir tentang kerjaya yang tidak menentu di selang-selikan dengan rasa bosan yang amat sangat.
Inilah hasil dapatan satu kajian yang diterbitkan dalam jurnal perubatan The Lancet pada 20 Mac 2020, melibatkan penyelidik daripada Jabatan Perubatan Psikologi, King's College London. Mereka telah melakukan kajian kuantitatif terhadap kajian-kajian terdahulu, berjaya menyenaraikan semua risiko tekanan yang bakal dialami oleh kita akibat proses kuarantin.
Risiko-risiko ini yang dikategorikan sebagai 'punca stres' boleh dibahagikan kepada dua, iaitu risiko mental yang berlaku semasa wabak melanda dan risiko yang akan timbul selepas wabak selesai.
4 risiko tekanan mental semasa wabak
Kajian yang dijalankan mendapati majoriti individu akan mula mengalami perubahan pada tahap mental mereka selepas 10 hari dikuarantin secara purata. Selepas melebihi 10 hari, seseorang invidiu cenderung menampakkan tanda stres, memilih memencilkan diri serta mudah marah.
Terdapat empat kategori tekanan yang didapati timbul pada individu semasa kuarantin : rasa takut yang melampau dijangkiti wabak, rasa bosan, rasa bimbang bekalan hidup tidak mencukupi dan gusar tidak dibekalkan maklumat dengan apa yang sedang berlaku.
Rasa takut dijangkiti menjadi faktor utama seseorang boleh berubah semasa terkurung, kerana majoriti peserta kajian meletakkan faktor ini sebagai faktor utama kebimbangan. Perasaan kecewa kerana tidak lagi boleh hidup seperti biasa menjadi faktor kedua paling memberikan kesan.
Perasaan bimbang dengan ketiadaan bekalan hidup mencukupi seperti air, makanan, pakaian dan tempat tinggal pula duduk di tempat ketiga.
Bagaimanapun, berbanding dengan keempat-empat faktor yang disenaraikan, hanya faktor ini saja didapati mempunyai kesan berpanjangan sehingga 4 ke 6 bulan selepas wabak diisytihar berjaya dibendung.
Risiko selepas wabak pada tahap kewangan seseorang
Sekiranya anda ingat tamat perintah kawalan pergerakan akan membolehkan kita hidup seperti sedia kala - tunggu dulu!
Ini kerana penyelidikan yang dijalankan mendapati fasa selepas tamatnya kuarantin merupakan fasa yang lebih mencabar ramai pihak.
Selepas kuarantin, kita perlu meneruskan hidup dengan menanggung beban apa saja kesan yang telah terjadi semasa kuarantin dan kesan yang dihadapi, bukan calang-calang keburukannya.
Oleh yang demikian, mereka mengkategorikan dua risiko utama yang akan menimbulkan keburukan selepas kuarantin selesai; adalah risiko yang terjadi terhadap faktor kewangan seseorang dan stigma masyarakat yang akan berlaku.
Mana-mana negara yang menjalankan pengisytiharan kuarantin pada peringkat nasional pasti akan berhadapan dengan masalah pekerja perlu diberhentikan kerja, sehingga menyebabkan seseorang hilang tempat bergantung kewangan.
Kehilangan sumber pendapatan inilah yang akan menyebabkan masalah yang lebih besar kepada individu, dalam bentuk jangka panjang.
Apa yang diketahui, penyelidik mendapati keluarga yang mempunyai pendapatan tahunan lebih rendah berbanding pendapatan purata nasional sesebuah negara, akan mengalami masalah lebih tinggi dalam usaha pemulihan kewangan mereka.
Ini mampu menyebabkan stres serta kemurungan berlaku di kalangan ahli keluarga seterusnya mewujudkan situasi yang sangat negatif di kalangan ahli masyarakat.
Dimalukan kerana membawa wabak
Satu lagi perspektif yang jarang kita ambil kira adalah penerimaan masyarakat terhadap seseorang yang sudah disahkan dijangkiti dan berjaya pulih.
Hasil kajian penyelidik mendapati tidak mengejutkan seandainya seseorang yang dijangkiti akan terpaksa berhadapan dengan stigma masyarakat, yang akan melayan individu pernah dijangkiti dengan cara berbeza.
Ada bekas pesakit wabak yang dilaporkan tidak lagi menerima jemputan ke majlis-majlis keraian, dipulaukan, dimarahi dan dipandang serong.
Kesannya besar untuk masa depan masyarakat dunia walaupun melibatkan pemulauan seorang dua.
Bagi pihak-pihak yang pernah berdepan stigma sehingga dipulaukan ahli masyarakat sendiri, individu yang menjadi mangsa dilaporkan akan mula cenderung merahsiakan tahap kesihatan mereka selepas itu. Mereka akan mula berpura-pura sihat walaupun sebenarnya sedang dijangkiti demam panas - hanya untuk menampakkan bahawa diri mereka OK.
Seandainya wabak melanda sekali lagi, mentaliti yang sama akan terus dipegang di mana mereka akan mula rasa takut melaporkan jangkitan - hanya kerana tidak mahu terus dicop sebagai pembawa wabak.
Apa yang boleh kita lakukan?
Tidak dapat kami nafikan dalam situasi sekarang, kuarantin merupakan satu-satunya pilihan yang kita ada; melalui pengisytiharan kawalan pergerakan atau PKP.
Bagaimanapun, ada beberapa cadangan yang perlu kita ambil berat sempena pelaksanaan PKP ini, dalam mengurangkan kadar risiko yang boleh berlaku semasa dan selepas wabak melanda.
Yang pertama, tempoh PKP perlulah berpadanan kerana jangkamasa atau durasi kuarantin dijalankan merupakan faktor utama penyebab perubahan tahap mentaliti seseorang.
Seperti kami nyatakan, seseorang individu akan mula berubah selepas 10 hari dikuarantin. Bagi membantu orang ramai, perlu dinyatakan satu tarikh sebagai tarikh akhir walaupun pemerintah atau kerajaan tidak mampu mengenalpasti tarikh akhir kuarantin dilaksanakan.
Ini kerana kesan kuarantin tanpa had atau 'indefinite quarantine' seperti yang berlaku di Wuhan dan beberapa negara lain, mencipta situasi lebih teruk pada psikologi masyarakat berbanding kuarantin yang diketahui ada titik akhir.
Kepentingan saluran informasi yang mencukupi perlu dikekalkan, agar tiada individu yang merasa tertekan tidak tahu apa yang berlaku. Pekalan makanan, minuman, peralatan dan sebagainya perlulah dipastikan mencukupi.
Pastikan masa anda terisi. Langkah pemberian data percuma serta saluran televisyen percuma sangat membantu dan itu satu langkah yang kami puji.
Pada pandangan peribadi kami, kami tidak bimbang sangat dengan apa yang berlaku semasa wabak. Ini kerana petugas kesihatan kita sudah diakui antara yang terbaik di dunia, dalam usaha memerangi wabak. Amalkan penjarakkan selamat dan jangan keluar rumah tanpa sebab.
Apa yang kami lebih bimbangkan adalah persoalan apa akan berlaku selepas wabak selesai? Apa kesannya pada kita, pekerjaan kita, situasi kita?
Terlalu banyak persoalan belum dapat dijawab kerana kita tidak tahu apa akan berlaku. Apa-apa pun, kita teruslah bersabar dan nantikan tarikh 15 April 2020. Harap semuanya selesai pada hari itu kerana dah lebih 10 hari kita berkurung.
Lebih 10 hari, risikonya sukar diramal. Penulis pun ada kala bercakap seorang diri.
Rujukan
The psychological impact of quarantine and how to reduce it: rapid review of the evidence