Pendingin hawa atau 'air conditioner' merupakan sesuatu yang sudah menjadi satu kemestian untuk dipasang dan digunakan di kawasan-kawasan yang selalu menjadi pusat aktiviti kita.

Di kediaman-kediaman pun, pemilik rumah sudah menjadikan pemasangan pendingin hawa sebagai satu perkara asas yang perlu ada dalam rumah mereka berikutan cuaca yang panas di negara kita khasnya.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Walaupun faedahnya dapat dirasai serta merta melalui penyejukan yang memberikan kita kelegaan daripada haba, tidak ramai yang mahu membincangkan kesan buruk penggunaan pendingin hawa dalam kehidupan kita. Tahukah anda majoriti kajian yang dilakukan mendapati kesan buruk pendingin hawa sebenarnya jauh lebih berbahaya berbanding faedahnya?

Tubuh manusia sebenarnya akan beradaptasi dengan haba

cuaca panas 81p54

Dapat duduk dalam suasana yang sejuk selepas berhadapan haba pasti melegakan mana-mana individu. Walaupun begitu, anda perlu tahu tubuh kita sebenarnya mempunyai sistem semulajadi yang akan membiasakan kita dengan haba, tak kiralah sepanas mana pun cuacanya.

Tubuh kita telah dibuktikan mampu berasimilasi dengan cuaca panas selepas tinggal di dalamnya selama 7 ke 14 hari dengan pendedahan pada kepanasan itu perlu berlaku konsisten 2 jam setiap hari.

Walaupun begitu, oleh kerana tubuh kita mempunyai kebolehan beradaptasi dengan kepanasan, begitu jugalah tubuh kita akan berubah apabila kita tidak mengekalkan diri kita dalam keadaan serupa.

Sekiranya seseorang itu lebih banyak duduk dalam kawasan tertutup, tubuh kita akan kehilangan kebolehan menahan haba yang telah dibentuk, sekiranya kita tidak lagi didedahkan dengan cuaca panas sebenar dalam tempoh yang sama.

Cara hidup moden yang mengubah tabii manusia

on aircond takut panas

Salah satu persepsi salah yang kerap kali dijaja pada kita semua sekarang sitgma yang muncul disebabkan perpeluhan badan.

Bagi mengelak daripada berpeluh, ramai di antara kita seakan-akan takut untuk berada di tempat panas sehinggakan badan dan minda kita secara automatik mahukan sekeliling kita sejuk. Perubahan cara hidup ini membuatkan psikologi kita berubah secara sendiri, sehinggakan ramai di antara kita mendambakan suhu dingin sebagai norma kehidupan kita.

Masalahnya, kajian sudah menunjukkan semakin lama kita membiasakan diri dengan suhu sejuk yang tidak semulajadi - tubuh kita akan akan mahu disejukkan dengan lebih lagi.

Pendingin hawa sudah diletakkan sebagai satu peranti atau perkaksan wajib ada dalam masyarakat yang hidup beriklim panas. Ini menyebabkan kebergantungan masyarakat pada teknologi penyejukan semakin lama semakin meneval sehinggakan kita takut berpeluh, sedangkan berpeluh itu tanda kita sihat.

Kesan negatif pendingin hawa pada tubuh

muka berpeluh adegan filem

Sebab utama pendingin hawa mempunyai kesan buruk jangka panjang pada badan kita adalah disebabkan salah tanggapan kita tentang kualiti udara yang dialirkan pendingin hawa. Ramai menganggap udara yang datang daripada pendingin hawa lebih bersih, sedangkan udara pendingin hawa membawa kesan negatif yang tidak dijangka.

Pendingin hawa mampu menyebabkan daya ketahanan imuniti seseorang menjadi lebih lemah, terutamanya mereka yang gagal membiasakan diri dalam pertukaran daripada suhu sejuk ke panas atau sebaliknya. Mereka yang bergantung dengan pendingin hawa juga akan kerap mengalami keletihan disebabkan sistem badan mereka akan bekerja lebih untuk memanaskan badan, semasa mereka berada dalam suhu dingin.

Udara yang datang daripada pendingin hawa juga didapati mempunyai tahap kelembapan yang lebih rendah, menyebabkan wujudnya suasana udara kering. Apabila seseorang itu berada dalam suasana sedemikian, kulit individu itu akan menjadi lebih kering menyebabkan struktur kulit menjadi lemah, mata yang kurang kelembapan serta boleh menyebabkan kegatalan.

Sistem pendingin hawa yang gagal diselenggarakan dengan baik juga mampu memerangkap bahan-bahan asing di dalamnya. Ini akan menyebabkan mudahnya penyebaran penyebab-penyebab penyakit pada individu yang menyedut udara yang dikeluarkannya. Bahan-bahan yang digelarkan sebagai 'bioaerosols' ini akan tersebar ke kawasan sekeliling, menyebabkan jangkitan pada mereka yang dijangkiti.

Tidak bolehkah kita menggunakan pendingin hawa?

servis aircond

Sekiranya anda semak manual kenderaan anda, ada disebutkan untuk setiap 45 minit perjalanan yang sudah dilalui adalah disarankan untuk kita membuka tingkap kenderaan bagi membolehkan udara luar masuk selama 15 minit.

Saranan serupa sebenarnya perlu diamalkan dalam penggunaan pendingin hawa. Mungkin anda di antara individu yang sudah terbiasa dengan pendingin hawa, cubalah minimakan penggunaannya. Biasakan tingkap dibuka bagi membiarkan udara masuk. Rajinkan diri membersihkan penapis pendingin hawa daripada habuk dan pastikan suhu yang ditetapkan pada bilik, tidaklah terlalu sejuk sehinggakan badan kita berasa letih melawan kesejukan.

Apa yang lebih penting, anda perlu memperbetulkan pemahaman anda berkenaan konsep udara yang bersih.

Udara yang bersih adalah udara yang dibiarkan masuk serta keluar secara semulajadi, bukannya udara yang datang daripada pendingin hawa - walau secanggih mana pun teknologi yang digembar-gemburkan pengeluarnya.

keluarkan kepala di luar tingkap

Sekiranya anda merasakan kesukaran menghadapi cuaca panas Malaysia, besar kemungkinan itu petanda tubuh anda sudah terbiasa dengan cuaca sejuk pendingin hawa.  Berpeluh mungkin membuatkan kita dan orang di sekeliling kita merasa tidak selesa, tetapi lama-kelamaan peluh itu akan semakin berkurangan bila badan kita sudah kembali berfungsi pada tahap sepatutnya.

Keluarlah dan hirup udara segar; bukan udara yang dikeluarkan mesin yang dikatakan lebih bersih dan segar.

Rujukan

ScienceDirect

International Journal of Clinical and Experimental Medicine

Research Gate




Hakcipta iluminasi.com (2017)