Setakat apa yang kita tahu sehingga 1 April 2020, belum terdengar lagi apa-apa berita dikongsikan berkaitan kekerasan taktik pihak penguasa negara kita, dalam memastikan arahan kawalan pergerakan dipatuhi.
Bagaimanapun di beberapa negara lain - berikutan daripada keengganan orang ramai menuruti arahan ini, pihak berkuasa khasnya pihak polis dan tentera terpaksa menggunakan taktik yang agak ganas dalam mendidik masyarakat, agar faham situasi yang sedang dihadapi.
BESARKAN TEKS A- A+
Berikut adalah empat negara paling keras setakat ini melaksanakan kawalan, ibarat matlamat menghalalkan cara. Pada pandangan anda, adakah tindakan ini wajar atau tidak wajar? Kami ingatkan; video-video yang kami sertakan dalam artikel ini, mungkin akan membuatkan anda tersinggung.
1. Perancis
Arahan supaya setiap warga Perancis mengurungkan diri di dalam rumah secara suka rela pada awalnya langsung tidak diendahkan. Restoran masih penuh, bar masih dikunjungi dan orang ramai masih tenang seakan tiada apa berlaku. Pihak polis juga seakan takut untuk mengambil tindakan.
Bimbang dengan situasi yang melanda serta keengganan orang ramai memberikan kerjasama, kerajaan Perancis memperkenalkan sistem dokumen yang dinamakan attestation de déplacement dérogatoire bagi menjadi pas kebenaran perjalanan semua individu.
Hasil daripada perintah kawalan yang ditambahbaik -pihak polis Perancis mula keras dalam usaha mereka. Setiap individu yang gagal membawa pas akan didenda RM630 untuk satu kesalahan dan satu pas yang perlu dicetak sendiri oleh orang ramai, hanya laku untuk satu hari saja. Esoknya, perlu dicetak pas baru untuk hari tersebut. Ini menyukarkan situasi orang ramai.
Kes-kes ketiadaan pas mula menyebabkan tindakan keras dijalankan dan malangnya kelihatan sengaja mensasarkan kumpulan minoriti Perancis. Seorang remaja kulit hitam berusia 17 tahun ditekan atas tanah sambil ibunya menjerit di sebelah. Seorang pemuda Arab diterajang semasa menyerahkan pas. Seorang gadis berusia 18 tahun diserang entah apa sebabnya.2. Afrika Selatan
Arahan kawalan pergerakan baru mula dilaksanakan di negara Afrika Selatan, namun masyarakat dunia tidak perlu menunggu lama untuk mendapat bukti taktik agresif yang digunakan oleh pihak tentera Afrika Selatan (SANDF) dalam menangani situasi.
Beberapa insiden berlaku melibatkan orang ramai dan pihak berkuasa yang menggunakan apa saja kaedah yang dirasakan perlu, dalam memastikan semua orang patuh dengan perintah kurungan rumah yang dilaksanakan.
Selepas serbuan ke atas sebuah rumah menemui sekumpulan lelaki masih lagi enak minum-minum, anggota tentera terpaksa menggunakan kekerasan bagi menyuraikan mereka.
Kekeliruan melibatkan arahan juga menyebabkan berlakunya pergaduhan. Beberapa orang pihak penguatkuasa gagal memahami bahawa arahan kurungan hanya melibatkan ruangan awam, bukannya laman rumah kediaman - menyebabkan ada anggota polis dan tentera yang menyerang orang awam dalam kawasan kediaman mereka, kerana beranggapan arahan itu memerlukan semua individu duduk di dalam rumah sahaja.
Selain itu, tentera Afrika Selatan juga sudah mula menggunakan meriam air dan peluru getah dalam mengawal situasi, sejak hari pertama perintah kawalan dilaksanakan. Peluru getah itu khas disediakan untuk individu yang masih keluar membeli belah seperti biasa. Menakutkan bukan?
3. Kenya
Di negara Kenya, beberapa kes melibatkan keganasan yang dilakukan oleh pihak berkuasa terhadap individu yang ingkar arahan kawalan sudah mula disebarkan.
Apa yang paling menakutkan adalah tindakan yang diambil oleh pasukan polis Kenya selepas menyerang penumpang yang menunggu sebuah feri hadir beberapa jam sebelum tempoh kawalan bermula, dengan tembakan gas pemedih mata.
Ini menyebabkan ratusan orang yang berada dalam feri tersebut mula mengalami masalah penglihatan, muntah dan pengsan. Tidak cukup dengan itu, ramai individu yang ada di kawasan itu diserang dengan belantan. Wanita, lelaki tak kira usia - semua menjadi mangsa.
4. India
Jika anda rajin menyelusuri internet seminggu dua ini, pasti anda sudah menonton sekurang-kurangnya satu video melibatkan kaedah ganas polis India dalam memastikan arahan berkurung dipatuhi.
Tidak dapat dinafikan di antara semua negara, India mempunyai pasukan keselamatan paling keras menjalankan tanggungjawab mereka.
Kerajaan India menutup sepenuhnya rangkaian jalan keretapi serta perkhidmatan bas antara bandar. Ini menyebabkan banyak pihak yang berada dalam keadaan tiada sumber pendapatan terpaksa berjalan kaki untuk pulang ke rumah masing-masing. Seorang jurutera yang khayal disebabkan medikasi ditembak pihak polis selepas didakwa cuba mencetuskan kekacauan.
Apa yang menakutkan, situasi huru-hara yang berlaku di India turut sama diambil kesempatan oleh anggota penguatkuasa yang korup, seperti satu insiden di Bihar. Seorang pemandu yang membawa muatan ubi kentang diminta membayar amaun untuk dibenarkan melalui laluan yang ditutup. Enggan membayar, pemandu itu ditembak di bahagian kaki. Ketiga-tiga polis yang terlibat sedang digantung tugas, bakal didakwa atas cubaan membunuh.
Selain memukul dengan belantan mana-mana individu yang ingkar arahan, pesalah juga didenda dengan bermacam jenis hukuman lain seperti tekan tubi, bangkit tubi atau mencangkung dalam tempoh tertentu.
Banyak kes kematian dilaporkan berlaku, seperti kes seorang pemandu ambulans yang mengejarkan pesakit ke hospital ditemani ayahnya. Didakwa melanggar peraturan, polis menyerang anak beranak itu sebelum kedua-duanya dilepaskan selepas membayar habuan rasuah.
Bagaimanapun, ayah pemuda itu meninggal dunia selepas hilang kesedaran diri beberapa minit selepas melepasi lokasi kawalan polis itu.
Seorang lelaki di Bengal yang keluar rumah untuk membeli susu semasa tempoh kurungan berjalan, meninggal dunia selepas dipukul oleh sekumpulan polis yang menahannya. Pihak polis menyifatkan pemuda berusia 32 tahun itu mati akibat serangan jantung.
Teruk situasi di negara luar. Sama-samalah kita doakan agar semua pihak di negara kita dapat memberikan kerjasama, agar kesejahteraan orang ramai dan juga pihak penguatkuasa dapat dijaga.