Terdapat banyak serangga dan haiwan reptilia yang berbisa di seluruh dunia seperti lipan, ular, tebuan dan sebagainya. Namun, pernahkah anda mendengar tentang spesies burung yang berbisa dan beracun?
Walaupun kedengaran pelik tetapi ia sebenarnya wujud. Spesies burung yang dinamakan Hooded Pitohui atau Pitohui Bertudung ini adalah burung bersuara merdu yang terdapat di hutan hujan New Guinea, sebuah pulau di Lautan Pasifik Selatan di sebelah timur Indonesia.
BESARKAN TEKS A- A+
Memang terdapat beberapa spesies burung yang mempunyai mekanisma tersendiri untuk mempertahankan diri daripada pemangsa tetapi spesies Hooded Pitohui ini mungkin merupakan antara paling berbahaya buat manusia.
Cantik, merdu dan berbahaya
Terdapat sebanyak enam spesies burung Pitohui yang dikenal pasti hidup di New Guinea tetapi spesies Hooded Pitohui adalah yang paling beracun dan berbisa.
Hooded Pitohui juga merupakan burung berbisa pertama yang didokumentasikan. Burung cantik ini berwarna merah di bahagian perut dan hitam di bahagian kepala.
Burung ini juga mempunyai kaki dan paruh yang kuat. Warna terang pada bulunya adalah seakan sama seperti haiwan berbisa lain di mana ia merupakan warna amaran. Hooded Pitohui juga diisytiharkan sebagai "Burung Paling Berbisa" oleh Guinness Book of World Records.
Kaki dan paruh yang kuat, boleh terbang serta berbisa merupakan satu kombinasi yang cukup bahaya. Selain tidak mempunyai pemangsa semula jadi yang memburunya, manusia dan parasit juga menjauhi burung ini.
Maka, tidak hairanlah jika Kesatuan Alam Sekitar Antarabangsa melabelkan burung ini antara spesies yang paling tidak dikhuatiri akan terancam.
Kali pertama direkodkan
Pada tahun 1989, seorang pengkaji dari Akademi Sains California bernama Jack Dumbacher telah terbang ke Papua New Guines untuk mengkaji spesies-spesies burung di sana. Bagi menangkap burung, Jack telah memasang sejumlah jaring halus di antara pokok.
Jack Dumbacher
Suatu hari, dia mendapati terdapat sejenis burung dengan suara nyaring di perangkapnya. Tanpa dia mengetahui bahawa burung itu ialah Hooded Pitohui.
Ketika Jack cuba membebaskan burung itu daripada perangkap, ia telah mencakar jarinya. Jack merasakan luka yang sedikit itu lebih sakit berbanding biasa. Jack secara spontan memasukkan jarinya ke dalam mulut untuk meredakan kesakitan tetapi menjadi bertambah buruk apabila lidahnya terasa berdenyut dan seakan melecur.
Jack cuba bertanya kepada penduduk tempatan jika mereka mengetahui apa-apa mengenai hal itu. Penduduk tempatan menggelarkan Hooded Pitohui sebagai "Burung Sampah" kerana baunya yang busuk dan tidak sedap jika dimasak.
Mereka juga menasihati Jack supaya menjauhi burung itu kerana menyentuh bulunya sahaja boleh menyebabkan kegatalan dan penyakit pada kulit.
Mengapa Hooded Pintohui begitu berbisa
Jack membawa beberapa helai bulu pelepah burung itu balik ke Amerika untuk diuji lebih lanjut. Dia memberikan kepada ahli kimia bernama John Daly di Institut Kesihatan Negara.
Keputusannya mengejutkan John apabila dia mendapati bulu pelepah burung itu mengandungi bactrachotoxin iaitu alkalois steroid neurotoksik yang sangat kuat. Dos yang tinggi boleh menyebabkan seseorang itu lumpuh, terkena serangan jantung atau maut.
Bahan yang sama juga terdapat pada kulit katak beracun yang digunakan oleh orang asli Amerika Selatan dengan cara menyapunya pada mata anak panah.
Bactrachotoxin merupakan salah satu bahan semula jadi paling toksik yang diketahui sains. Apa yang menjadi tanda tanya, bagaimana bahan ini terdapat pada Hooded Pintohui tetapi tidak pada spesies burung lain.
Punca bisa Hooded Pintohui
Jack Dumbacher meneruskan kajiannya mengenai spesies burung unik ini. Dengan bantuan penduduk tempatan Papua New Guinea, Jack akhirnya menemui jawapannya.
Burung Hooded Pintohui memperolehi toksik bahaya ini melalui diet utamanya iaitu sejenis spesies kumbang bersayap lembut dari keluarga melyrid.
Walaupun misteri telah terjawab tetapi persoalan mengapa burung ini memilih untuk makan kumbang bertoksik tinggi ini masih membingungkan pengkaji.
Boleh difahami jika katak kecil di Amerika Selatan memakan kumbang ini supaya mereka dapat menggunakan bisa yang diserap untuk mempertahankan diri. Namun, bagi burung yang boleh terbang dan mempunyai paruh serta cakar yang kuat, ia hanya akan menjadikannya lebih berbahaya lagi.