"Bosan nak mati lah!". Kita semua biasa terdengar malah pernah menyebut ayat ini di kala bosan melanda, kan?
Dalam situasi pandemik ketika ini dan Malaysia yang sedang melaksanakan PKP 3.0, pastinya ramai berasa bosan asyik terperap di rumah.
Persoalannya, bolehkah kita mati disebabkan bosan?
BESARKAN TEKS A- A+
Pada tahun 2013, 3 remaja iaitu James Francis Edwards, 15, Chancey Allen Luna, 16, and Michael Dewayne Jones, 17 disabitkan kesalahan membunuh seorang warga Australia, Christopher Lane.
Ketika kejadian, Chistopher yang sedang jogging di tepi jalan ditembak oleh salah seorang daripada 3 remaja tersebut dan kemudiannya dibiarkan terlantar, sebelum disahkan meninggal dunia.
Setelah disiasat, mereka memberitahu melakukan perbuatan demikian hanya kerana bosan.
Mengapa kita bosan?
Kebosanan hanyalah satu situasi emosi minda dan secara langsung, ia mungkin tidak boleh membunuh anda. Setakat ini, masih belum dilaporkan kes di mana seseorang itu mati akibat kebosanan.
Namun, kebosanan dapat menyebabkan tingkah laku anda menjadi berbahaya.
Bosan merupakan salah satu keadaan mental yang kompleks yang diatur oleh hormon dopamin dalam otak. Tahap kebosanan seseorang itu dengan yang lain adalah tidak sama.
Sesetengah orang kurang menghasilkan hormon dopamin atau mempunyai reseptor di otak yang kurang sensitif terhadapnya, ini membuatkan mereka ini kurang berasa bosan.
Secara amnya, bosan telah terbukti memberi tekanan kepada sistem imun, namun ini masih belum cukup bahaya.
Apa yang lebih bahaya adalah perkara yang anda lakukan untuk menghilangkan bosan.
Orang yang mudah bosan lebih cenderung terlibat dalam sukan berbahaya, merokok, melakukan seks bebas, terlibat dalam penyalahgunaan dadah dan alkohol serta tidak menjaga pemakanan. Malah, ia boleh menyebabkan pembunuhan seperti dalam kes di atas.
Dari segi statistik, kebosanan lebih banyak dialami oleh wanita, orang muda dan mereka yang berada di tahap pekerjaan rendah, serta individu yang kurang melakukan aktiviti fizikal.
Dalam satu kaji selidik, lebih 7,500 penjawat awam di London berusia antara 35 dan 55 tahun ditemuramah pada akhir tahun 1980-an.
Antara soalan yang ditanyakan adalah sama ada mereka berasa bosan bekerja dalam tempoh sebulan yang lalu.
Kemudiannya, orang yang sama dikesan untuk mengetahui jika ada di antara mereka yang meninggal menjelang bulan April 2009.
Apa yang para penyelidik dapati adalah bahawa penjawat awam yang dilaporkan berasa sangat bosan mempunyai kemungkinan untuk mati disebabkan oleh masalah jantung 2.5 kali ganda lebih tinggi berbanding mereka yang tidak berasa bosan.
Bagaimana ini boleh berlaku?
Ketika kita berasa gembira dan teruja dalam satu situasi baharu, satu mesej kimia atau neurotransmitter dikenali sebagai dopamin akan mencetuskan tindak balas di otak kita.
Dan orang yang berisiko tinggi dan mudah bosan mungkin mempunyai tahap dopamin yang lebih rendah secara semula jadi, yang bermaksud bahawa mereka memerlukan rasa baharu yang lebih menyeronokkan untuk merangsang otak mereka.
Dalam kata mudah, mereka cenderung untuk berasa bosan berbanding orang lain.
Hubungan antara kebosanan dan kematian pramatang masih belum difahami sepenuhnya. Walaupun begitu, penyelidik percaya bahawa kebosanan jangka panjang boleh menyebabkan masalah kesihatan yang kemudiannya dapat mengurangkan jangka hayat anda.
Ini kerana kebosanan dapat meningkatkan hormon stres di dalam badan, yang boleh menyebabkan risiko penyakit kardiovaskular yang lebih tinggi.
Seperti stres, kebosanan boleh memberi tekanan yang tidak sepatutnya pada jantung dan sistem peredaran darah anda. Ini boleh meningkatkan risiko anda mengalami serangan jantung.
Anda juga mungkin berhadapan lebih banyak penyakit kerana kekurangan imuniti.
Malah dalam beberapa kes, kebosanan berterusan boleh menyebabkan kemurungan dan jika tidak dirawat, ia dapat meningkatkan risiko penyakit jantung.
Cara memerangi kebosanan
Salah satu cara untuk melawan kebosanan adalah dengan mengikut rutin harian.
Walaupun anda tidak semestinya melakukan aktiviti yang sama setiap hari, satu idea yang baik adalah mengkhaskan waktu tertentu untuk bekerja, bersenam, melakukan kerja rumah, hobi dan bersosial.
Namun, walaupun anda mempunyai rutin harian, kadang-kala kita masih akan mengalami kebosanan sekali-sekala.
Sekiranya anda merasa bosan dengan kekurangan rangsangan atau persahabatan lebih-lebih lagi di kala pandemik COVID-19 melanda, cuba pertimbangkan untuk mencuba aktiviti berikut setiap kali berasa bosan:
- Membaca buku atau majalah baharu
- Terlibat dalam rutin senaman kegemaran anda, atau mencuba sesuatu yang baru, seperti kelas tarian.
- Masak resipi baru.
- Mencuba hobi baru.
- Menelefon atau panggilan video dengan rakan atau orang tersayang.
- Cari peluang sukarelawan atau kerja amal di komuniti anda.
- Menjaga pemakanan
- Dapatkan tidur yang cukup supaya mempunyai tenaga yang cukup untuk aktif di siang hari
Rujukan:
2. Healthline