Oleh pada 17 Dec 2021 kategori

Ada orang yang gemar mengumpul barangan antik. Kebanyakan barangan antik boleh dikatakan agak tinggi harganya, maka tidak hairanlah jika ia menjadi hobi bagi segelintir orang kaya.

Namun, ia berbeza bagi seorang bilionair bernama Michael Steinhardt. Walaupun sangat meminati barangan antik dan mempunyai wang yang banyak, dia telah diharamkan daripada membeli barangan antik.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Ini disebabkan perbuatan Michael sendiri yang membeli barangan antik yang dicuri dan diseludup selama berpuluh-puluh tahun lamanya. Michael telah diarahkan untuk menyerahkan kembali 180 barangan antik curi yang bernilai kira-kira RM 294 juta.

Malah, bilionair itu turut bersetuju tidak akan membeli barangan antik lagi.

Selera yang rakus

Kesalahan yang dilakukan oleh Michael Steinhardt itu telah dibongkarkan oleh pejabat peguam daerah Manhattan yang melakukan siasatan selama empat tahun atas semua pembelian barangan antik bilionair itu.

artifak curi michael steinhardt

Antara artifak curi yang perlu dipulangkan semula

Michael didapati menghabiskan masa puluhan tahun membina koleksi artifak yang dicuri daripada seluruh dunia seperti Bulgaria, Mesir, Greece, Iraq, Palestin, Itali, Jordan, Lubnan, Libya, Syria dan Turki.

Peguam Daerah Manhattan iaitu Cyrus Vance Jr. berkata, bilionair itu mempunyai selera yang rakus terhadap artifak yang dirompaknya tanpa mengambil berat tentang kesan perbuatannya atau kerosakan budaya di seluruh dunia yang telah dilakukannya.

Tambah Vance lagi, Michael Steinhardt menunjukkan sikap tidak bermoral kerana sanggup berurusan dengan penjenayah, penyeludup artifak dan penjarah kubur bagi menambah koleksinya atau menjual barangan antik miliknya.

Tiada rasa bersalah

Bagi Michael Steinhardt pula, dia mengaku tidak bersalah. Melalui peguamnya, bilionair itu mengaku berpuas hati dengan hasil siasatan peguam daerah Manhattan tetapi meletakkan semua kesalahan pada penjual artifak.

mangkuk iraq

Mangkuk purba yang dicuri Iraq ini dibeli oleh Michael Steinhardt dengan harga RM 630,000

Bilionair itu juga gembira kerana tidak didakwa dan akan memulangkan semua barangan antik dan artifak yang diambil secara tidak sah ke negara asalnya semula.

Tambah peguamnya lagi, Michael Steinhardt mendakwa dia ditipu oleh peniaga-peniaga barangan antik yang mengatakan bahawa mereka miliki barangan itu secara sah.

Malah, Michael juga ingin menuntut haknya dengan mendapatkan ganti rugi daripada peniaga-peniaga barangan antik kerana terpaksa memulangkan semula semua artifak curi ini.

Rekod panjang dengan barangan curi

Sebenarnya, Michael sudah lama dikaitkan dengan tuduhan membeli dan mengumpul artifak curi. Pada tahun 1992, bilionair itu membeli mangkuk emas bertarikh 450 SM dari Itali.

michael steinhardt bilionair

Seorang hakim telah memutuskan bahawa bilionair itu telah mengimport artifak itu secara haram dan menafikan dakwaan Michael bahawa dia hanyalah sebagai "pemilik yang tidak bersalah".

Para penyasat juga telah beberapa kali merampas barangan antik curi dari rumahnya pada tahun 2017 dan 2018 termasuklah patung marmar yang dicuri di Lubnan ketika perang saudara pada 1980-an di sana.

Malah, bilionair itu dengan bongkaknya berkata kepada penyiasat pada 2017 sambil menunjukkan ke arah sebuah mangkuk kecil. "Anda nampak ini? Jika saya lihat sesuatu dan saya menyukainya, saya akan membelinya."

Pelbagai barangan curi dirampas

Rampasan terbaru objek curi yang dimiliki Michael adalah seperti tempat upacaya penyembelihan dari Turki (dipinjamkan oleh Michael kepada Muzium Seni Metropolitan), lukisan dinding Hercules tahun 50 SM dari Itali dan topeng batu bertarikh 6000 SM dari Palestin.

artifak curi bilionair 505

Sebahagian artifak yang dirampas di kediaman Michael Steinhardt

Kebanyakan barangan antik dan artifak yang dimiliki Michael Steinhardt ini dicuri semasa perang atau pergolakan di sesebuah negara itu.

Menurut Ejen Khas Keselamatan Dalam Negeri New York iaitu Ricky J. Patel, Michael hanya melihat barangan curi ini sebagai satu komoditi yang boleh dikumpul dan dimiliki.

Michael tidak menghormati bahawa barangan curi yang dimilikinya adalah khazanah yang mewakili warasan dan budaya di seluruh dunia. Bilionair itu hanya mengambil kesempatan daripada peperangan dan pergolakan yang berlaku di negara-negara ini.

Keadilan terlaksana

Menurut Peguam Daerah Manhattan iaitu Cyrus Vance Jr., tidak dinafikan Michael Steinhardt adalah seorang dermawan yang terkenal. Dia banyak menyokong institut pembelajaran seperti New York Universiti dan muzium seperti Metropolitan Museum of Art.

cyrus vance jr

Cyrus Vance Jr.

Namun, keadilan tetap perlu dilaksanakan. Sebab mengapa pihak peguam daerah Manhattan memilih untuk membuat perjanjian dengan bilionair itu bukannya meneruskan pertuduhan adalah agar artifak curi itu dapat dikembalikan ke negara asal dengan segera.

Jika kes pertuduhan diteruskan, artifak berharga ini mungkin akan digunakan sebagai bukti dan perkara itu boleh merosakkan keadaan fizikal barangan itu.

Pihak mahkamah merasakan adalah lebih penting untuk memperbaiki semula kerosakan budaya yang telah Michael Steinhardt lakukan selama berdekad-dekad lamanya dengan mengembalikan artifak penting ke negara asalnya.

Keadilan akhirnya dapat ditegakkan dengan bantuan pelbagai pihak termasuklah beberapa ahli arkeologi yang sekian lama cuba untuk mendedahkan salah laku Michael Steinhardt.




Hakcipta iluminasi.com (2017)