Mempertahankan diri adalah sesuatu yang sangat penting dan ia kadang-kala dikaitkan dengan alatan atau senjata. Namun, tidak semua peralatan atau senjata boleh dimiliki dan dibawa di tempat awam.
Pada Julai 2017, seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara 5 tahun kerana memiliki sebilah parang ketika ditahan ditepi sebuah rumah.
Terbaharu dan lebih aneh, Mahkamah Seksyen Pasir Mas menjatuhi hukuman penjara 5 tahun ke atas seorang lelaki kerana kesalahan memiliki ekor ikan pari yang dikategorikan sebagai senjata bahaya.
BESARKAN TEKS A- A+
Sudah tentunya ramai daripada kita yang tidak tahu bahawa memiliki ekor ikan pari sepanjang 114 sentimeter tanpa tujuan yang dibenarkan di tempat awam adalah satu kesalahan yang agak berat, kan?
(contoh ekor ikan pari)
Jadi, apakah jenis senjata yang dibenarkan dan diharamkan dari sisi undang-undang, tidak kiralah sama ada ia bertujuan untuk melindungi diri atau tidak?
Sebelum itu kita perlu mengecualikan senjata api dari kategori ini kerana umum mengetahui bahawa memiliki senjata api tanpa Lesen Membawa dan Mengguna di bawah Akta Senjata 1960 adalah menyalahi undang-undang.
Dan dalam hal senjata yang tidak dibenarkan, senarai beberapa senjata yang tidak dibenarkan untuk dibawa oleh orang awam telah dinyatakan dalam Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 (CESOWA).
iluminasi.com kongsikan 12 senjata yang tidak dibenarkan dibawa oleh orang awam seperti yang termaktub dalam akta tersebut.
1. Sebarang pisau, kadang-kala dikenali sebagai "flick knife" atau pisau lipat, yang mempunyai mata pisau yang terbuka secara automatik apabila butang ditekan menggunakan tangan atau spring, atau alat lain di dalam atau terpasang pada pemegang pisau.
2. Sebarang pisau, kadang-kala dikenali sebagai pisau graviti, yang bilahnya dikeluarkan dari pemegang atau sarungnya dengan daya graviti.
3. Sebarang cambuk diperbuat daripada rantai basikal atau motosikal, atau dari jenis rantai yang serupa.
4. Semua jenis knuckleduster atau buku lima.
5. Sebarang pisau atau alat lain yang melekat atau membentuk bahagian pam basikal, paip logam atau tongkat, dan tersembunyi di dalamnya, yang dapat digunakan untuk memotong atau menusuk.
6. Sebarang alat seperti pisau dengan tiga penjuru yang tajam dan hujung yang tajam, kadang-kala dikenali sebagai "Bearing scraper"
7. Sebarang kapak kecil yang biasanya digunakan sebagai senjata.
8. Sebarang pedang, keris, parang atau atau pisau lain yang di mana-mana bahagiannya bertulis atau yang mempunyai ayat, perkataan berkaitan dengan agama atau kepercayaan apa pun.
9. Sebarang pedang atau parang yang biasanya dimaksudkan untuk digunakan sebagai senjata dan bukan sebagai alat pertanian atau peralatan dalam rumah atau kebun.
10. Lembing, mata lembing atau tombak.
11. Sebarang panah-silang atau crossbow.
12. Senjata elektrik mudah alih seperti Patrolite, Stun Gun, Taser, Control Club atau sebarang alatan serupa, peranti atau peralatan yang berkuasa bateri atau elektrik atau sebarang bentuk tenaga.
Dalam kata mudah, pengharaman semua senjata ini adalah kerana dikategorikan sebagai tidak mempunyai tujuan lain selain daripada digunakan untuk mencederakan atau membawa bahaya kepada orang lain.
Jika disabitkan kesalahan kerana memiliki atau membawa senjata di atas di tempat awam, hukuman penjara selama 5 hingga 10 tahun dan sebatan, di bawah Seksyen 7(1).
Senjata apa yang dibenarkan untuk mempertahankan diri?
Seksyen 6 (1) CESOWA adalah menyalahi undang-undang untuk membawa senjata berbahaya di tempat umum tanpa kuasa yang sah atau tujuan yang dibenarkan undang-undang. Jika didapati bersalah, hukuman penjara hingga 10 tahun serta sebatan boleh dikenakan.
Namun, apa sebenarnya yang dimaksudkan dengan senjata berbahaya? Seksyen 2 menyatakan bahawa ia adalah "apa-apa alatan yang jika digunakan sebagai senjata boleh menyebabkan kecederaan".
Berbeza dengan kepercayaan yang ada dalam masyarakat, tiada undang-undang yang menyatakan bahawa pisau kurang daripada 3 inci atau 7.6 cm dibenarkan di tempat awam.
Walaupun begitu, adalah sangat kurang jelas dari aspek apa sebenarnya yang salah dan tidak disebabkan oleh kenyataan undang-undang yang amat luas boleh digunakan untuk mendakwa mereka yang membawa alatan yang boleh digunakan sebagai senjata.
Dalam erti kata mudah, topi keledar pun boleh digunakan sebagai senjata, tetapi tidak menyalahi undang-undang untuk membawanya di tempat awam, kan?
Pengecualian memiliki "senjata"
Menurut undang-undang, adalah dibenarkan untuk membawa alatan atau senjata yang boleh digunakan untuk menyerang dengan kebenaran (lawful authority) atau dengan tujuan yang dibenarkan undang-undang (lawful purpose).
Sebagai contoh, jika anda kayu besbol ditemui dalam kereta anda ketika sekatan jalan raya, anda perlu membuktikan bahawa kayu besbol ini bersama anda kerana anda bermain besbol, dan sebagainya.
Di bawah Seksyen 6(3), anggota tentera, polis ataupun pegawai kerajaan yang memerlukan senjata boleh membawa senjata di bawah undang-undang dan ia juga boleh digunakan sebagai pakaian untuk upacara rasmi.
Selain daripada ini, anda perlu mempunyai alasan sah untuk memiliki "senjata berbahaya".
Jadi, bolehkah anda membawa senjata untuk tujuan mempertahankan diri?
Secara teknikalnya, membawa senjata dengan tujuan mempertahankan diri masih dikategorikan sebagai jenayah kerana tiada pengecualian untuk mempertahankan diri dalam CESOWA.
Namun, anda mungkin tidak akan ditahan atau ditangkap kerana memiliki senjata sekiranya pekerjaan anda melibatkan risiko diserang (seperti peguam), pekerjaan anda memerlukan anda bergerak pada lewat malam atau sebarang situasi yang membuatkan anda berhadapan dengan risiko bahaya.
Untuk mengelakkan sebarang kesulitan, pastikan anda tidak membawa apa-apa alatan yang boleh disalah anggap sebagai senjata dalam keadaan apa sekalipun, melainkan anda benar-benar terdesak dan boleh menjelaskan dengan baik tujuan senjata tersebut jika ditahan.
Dan perlu diketahui bahawa pihak polis mempunyai hak untuk menahan dan memeriksa anda atau kenderaan anda jika dirasakan mencurigakan.
Rujukan:
1. CESOWA
2. Ask Legal
3. SSO