Oleh pada 03 Jun 2023 kategori

Keluhan berkenaan kadar pendapatan yang ditawarkan majikan dalam industri kreatif, khususnya bidang penghasilan animasi kerap kedengaran.

Isu ini hangat dibincangkan kerana kita semua tahu kualiti karya Malaysia sudah layak dilabel bertaraf dunia namun benarkah kejayaan itu tidak diterjemahkan ke dalam bentuk kadar gaji lebih baik untuk pembikinnya?

BESARKAN TEKS     A-  A+

Tidak kami nafikan situasi sama juga berlaku di negara luar, khususnya di Jepun yang industrinya gemar memerah pekerja sehingga ke keringat terakhir.

Cuma sampai bila kita nak terus menjustifikasikan perbandingan ini - memenangkan syarikat dan majikan di kala pekerja syarikat terkontang-kanting bekerja lebih masa untuk gaji tak setara dan setimpal mana? Pernahkah anda terfikir berapa gaji penggiat animasi - salah satu industri gah kebangaan negara kita?

Berikut adalah data yang ada berdasarkan lima syarikat paling terkenal milik anak tempatan kita.

1. Les Copaque Productions

berapa gaji animator malaysia

Les Copaque Productions merupakan rumah penerbitan yang layak dikatakan menjadi perintis penting kepada populariti industri animasi di negara kita, dengan alumni-alumni dari sini bercambah ke beberapa buah studio lain yang juga tidak kurang pengaruhnya.

Menerusi informasi yang dikompilasikan daripada laman web statistik pekerjaan Glassdoor, gaji paling rendah yang ditawarkan di sini adalah untuk jawatan pereka audio pada kadar RM1,800 sebulan dan juruanimasi 2D pada kadar RM2,000 sebulan.

Secara purata, pekerja di Les Copaque Productions menerima pendapatan median RM3,500 bergantung kepada jawatan dengan kumpulan pengarah mampu menerima imbuhan sehingga RM5,000 sebulan.

Dalam aspek purata tempoh kekal dengan syarikat, seorang pekerja di Les Copaque kekal di sana selama 2.3 tahun sebelum berpindah ke syarikat lain.

2. Inspidea

pengasas studio inspidea

Mungkin nama Inspidea kurang dikenali sebagai sebuah jenama, jika kita bandingkan dengan nama lain dalam senarai ini namun reputasi Inspidea di kalangan penggiat industri sebagai pakar animasi 2D Malaysia - tidak boleh disangkal.

Banyak terlibat dalam projek untuk tayangan tempatan dan luar negara dengan senarai client seperti Warner Bros, Cartoon Network dan Nicklodeon, Inspidea memfokuskan kepada penghasilan karya 2D.

Jawatan dengan gaji paling rendah di Inspidea adalah artis latar belakang pada kadar RM1,750 sebulan. Juruanimasi bertaraf senior pula diberikan gaji bulanan di antara RM4,000 ke RM4,500 sebulan. 

Kestabilan projek yang diperolehi menyumbang kepada kejayaan Inspidea mengekalkan barisan pekerja dalam tempoh lama, secara purata 5.8 tahun sebelum seseorang melangkah keluar dari pintu syarikat tersebut.

3. Digital Durian

pengasas digital durian

Kini sinonim dengan program hiburan kanak-kanak kecil, studio Digital Durian telah berkembang ke arah penstriman video bagi melebarkan sayap mereka yang jelas mahu memperkembangkan penghasilan kandungan berbentuk pendidikan dan keagamaan.

Tidak banyak data berkenaan kadar gaji di sini dikongsikan.

Daripada data yang dikongsikan menerusi Glassdoor, gaji permulaan artis 3D yang menjadi fokus studio ini, bermula pada tahap RM2,350 sehingga RM3,000. Tempoh purata seseorang individu bekerja di Digital Durian adalah pada tahap 3.5 tahun.

4. Animasia

pengasas animasia studio

Jangan terkeliru Animasia dengan Animonsta, kerana nama-nama kedua-dua syarikat ini hampir serupa.

Animasia Sdn. Bhd. telah ditubuhkan lebih awal sekitar tahun 2005 dengan penghasilan karya animasi 2D menjadi identiti utama.

Mempunyai sekitar 150 orang tenaga mahir di bawahnya, gaji paling rendah yang ditawarkan di Animasia menurut rekod Glassdoor adalah untuk jawatan artis latar belakang, berada di antara RM1,300 ke RM1,900.

Juruanimasi 2D di Animasia pula menerima imbuhan sekitar RM2,000 ke RM2,300 sebagai gaji permulaan.

Walaupun angka yang diperoleh kedengaran agak rendah, Animasia mempunyai kelebihan berjaya mengekalkan tempoh purata tenaga kerja kekal bekerja tertinggi dalam senarai ini - pada tahap 6.3 tahun.

5. Animonsta

animonsta studio animasi malaysia

Layak dianggap studio animasi terbaik Malaysia ketika ini berikutan sambutan yang cukup menggalakkan ahli masyarakat terhadap karya terbitan mereka - reputasi Animonsta sudah terpahat dalam sejarah kita.

Adakah reputasi ini membawa kepada imbuhan lebih besar untuk penggiat serta tenaga mahir yang berkhidmat bersama Animonsta? Seorang juruanimasi 3D di Animonsta dilaporkan menerima gaji bulanan sebanyak RM2,500 untuk permulaan.

Pengarah penerbitan pula dilapor mendapat kira-kira RM5,000 ke RM5,900 sebagai gaji asas sebulan.

Tempoh purata seseorang pekerja kekal di Animonsta pula berada pada tahap 4.1 tahun untuk seorang individu.

6. Kadar gaji industri animasi Malaysia

Untuk mengetahui adakah pendapatan ditawarkan lima studio animasi paling gah di Malaysia ini berkadaran dengan standard industri, adalah lebih mudah untuk kita merujuk purata secara am.

Menurut laman web Payscale yang merekodkan statistik berkaitan gaji, purata gaji juruanimasi di Malaysia berada pada tahap RM2,690 sebulan atau RM32,280 setahun dengan golongan 10% terendah atau B10 dalam industri animasi menerima RM2,000.

Sementara golongan T10 menerima RM5,000. Tak berapa tinggi angkanya jika kita bandingkan dengan kumpulan profesional lain.

Persoalan yang ingin kami ketengahkan di sini kepada anda;

Kami andaikan anda sudah tahu secara kasar bagaimana industri kreatif ini memerlukan seseorang mengabdikan diri dan masa kepada kerjaya; sehingga mengabaikan diri dan keluarga.

Berbaloikah dengan imbuhan yang mereka terima jika julat gaji purata yang ada hanyalah di antara RM2,000 ke RM5,000 sepanjang hayat kerjaya?

Atau perlu ada satu perubahan besar harus dilakukan, demi memastikan tangga gaji penggiat animasi di Malaysia dapat seiring dengan sektor-sektor lain yang lebih indah dan tinggi tangga gajinya?




Hakcipta iluminasi.com (2017)