Masyarakat Jepun mempunyai budaya popular atau pop-culture yang unik, asli dan sukar diterjemahkan ke dalam bentuk berbeza.
Semuanya disebabkan identiti kukuh masyarakat mereka terpahat dalam setiap karya yang ada, baik yang popular atau kurang ternama. Lihat saja rekaan, watak, jalan cerita; jelas kelihatan sifat ke-Jepun-an-nya.
Walaupun begitu, pembikin filem luar tetap gigih untuk cuba mengadaptasi karya-karya popular di Jepun ke dalam bentuk filem. Ada segelintir yang berjaya. Malangnya, majoriti gagal menterjemah apa yang unik dalam setiap karya dengan kemas dan bergaya.
BESARKAN TEKS A- A+
Berikut adalah lima yang paling teruk ada. Tontonlah, kalau anda sanggup membuang masa.
1. Dragonball Evolution
Bagi peminat siri manga (komik) dan anime (animasi) Dragonball nukilan pelukis legenda Akira Toriyama, tidak ada judul lain meninggalkan impak paling besar kepada budaya pop dunia.
Dragonball atau 'Mutiara Naga' menurut peminat komik kita, adalah satu-satunya siri komik dan manga dari Jepun yang layak dikatakan RAJA kepada semua karya.
Rekaan watak dengan rambut tercacak, jalan cerita ringkas di mana perwira berhadapan penjahat yang semakin kuat kuasanya, semua itu menjadi ikutan di negara matahari terbit.
Semua itu tidak menghalang produksi Hollywood menerbitkan Dragonball Evolution, sebuah filem terbitan 2009 yang jelas menyimpang jauh berbanding karya asal. Sudahlah sesat, kualiti filem yang terhasil juga...lebih layak ditong sampahkan saja.
Menampilkan pelakon legenda Chow Yun Fatt sebagai tarikan utama gagal menyelamatkan filem ini daripada dikritik teruk. Sehinggakan Akira Toriyama sendiri MENYAMPAH dengan hasil akhir filem ini.
2. Knight of the Zodiac
Anda pernah mendengar tentang filem ini? Kami yakin tak ramai menyedari kewujudan filem ini, kerana produksi filem ini sendiri seakan segan nak mempromosikan judul terbitan mereka.
Diadaptasi daripada siri komik Saint Seiya: Knights of the Zodiac yang pernah menjadi fenomena besar sekitar dekad 80-an, Knight of the Zodiac menampilkan nama besar seperti Sean Bean (Lord of the Ring), Mark Dacascos (John Wick 4) dan Famke Janssen (siri filem X-Men) memainkan watak penting.
Namun penceritaan yang lemah, skrip seakan ditulis oleh budak sekolah rendah serta lakonan kaku menjadikan Knight of the Zodiac sebagai antara filem adaptasi Jepun paling gagal walaupun baru diterbitkan dalam tahun 2023.
3. Fist of the North Star
Siri komik dan animasi legenda Jepun 'Hokuto No Ken' atau lebih terkenal dengan nama Fist of the North Star merupakan antara judul yang kekal diingati sehingga kini. Impaknya bukan saja dirasai di Jepun, bahkan banyak produser filem Hollywood menjadikan siri ini sebagai rujukan.
Tidak menghairankanlah usaha mengadaptasi siri ini ke dalam bentuk filem dilakukan produser dari Amerika Syarikat. Bagaimanapun, langkah pertama mereka sudah jelas serong kerana menggunakan khidmat pelakon kulit putih untuk memainkan watak utama bernama Kenshiro.
Serba-serbi gagal mentafsirkan apa yang membuatkan Hokuto No Ken kekal relevan dalam era moden, filem yang terhasil adalah sebuah filem gred C yang penuh dengan lakonan melampau dan gerak pertarungan yang kurang dinamik, berbanding karya asalnya.
4. Death Note (Netflix)
Berbeza dengan Dragonball, Death Note sudah ada adaptasi filem dunia nyata yang sangat baik dibuat oleh produksi dari Jepun, terbitan tahun 2006.
Jadi sangat menghairankan kenapa Netflix memilih untuk menterjemahkan karya komik terkenal di Jepun ini...kepada versi 'baru' berlatar belakangkan Amerika Syarikat. Bukan setakat lokasinya ditukar, nama-nama watak serta latar belakang mereka juga diubah kepada versi yang jauh lari dan tak kena.
Menonton filem ini, tidak salah untuk kita membandingkan hasilnya dengan dua filem dari Jepun yang jelas jauh lebih berjaya. Skripnya lemah, pelakonnya pula tampak seperti tidak jelas apa yang dilakonkan mereka.
Kehadiran pelakon veteran Willem Defoe memainkan watak dewa kematian sekurang-kurangnya dipuji ramai...namun secara keseluruhannya, jangan buang masa tonton filem ini. Cari dua filem Jepun yang telah diterbitkan lebih awal. Kualitinya jauh lebih baik dan lebih menghormati karya komik asal.
5. Ghost in the Shell
Di antara kebanyakan karya komik sains fiksyen berpengaruh dari Jepun, Ghost in the Shell (GITS) duduk dalam kategori berbeza - menjadi salah satu nama besar sering dirujuk selain Neon Genesis Evangelion.
Siri komik GITS yang dihasilkan pelukis Masamune Shirow bermula tahun 1989, berjaya berkembang menjadi sebuah francais gergasi yang mempunyai jutaan peminat di seluruh dunia. Jadi apabila projek adaptasi GITS ke dalam bentuk filem diumumkan, memang ramailah yang teruja.
Malangnya filem yang terhasil walaupun tidaklah segagal filem-filem lain dalam senarai ini, telah melakukan kesalahan terbesar dalam 'rukun adaptasi' - mengubah banyak perkara asas yang mengundang kritikan peminat yang mengharapkan adaptasi lebih setia kepada karya asal dilakukan.
Filem Ghost in the Shell yang menampilkan Scarlett Johansson sebagai pemain watak utama, berjaya membawakan dunia siber zaman moden yang diilhamkan penciptanya sejak mula dengan berjaya - namun jika dibandingkan dengan siri komik asalnya, versi filem Hollywood ini terlalu sukar untuk diterima.
Dikategorikan gagal dari segi kutipan dan juga jalan cerita, penamat cerita ini yang benar-benar lari jauh berbanding tema asal sehingga ke hari ini dibincangkan, dek ketidakpuas hatian peminatnya.