Oleh pada 02 Feb 2018 kategori

Sumber foto: BH Online

Sebuah bas kepunyaan Rapid KL dijilat api berdekatan susur keluar Jalan Templer di Kilometer 31, Lebuhraya Persekutuan menuju ke Subang, di Petaling Jaya petang kelmarin. 

Menerusi insiden pukul 4.50 petang tersebut, kesemua mangsa terselamat meskipun bas itu terbakar secara mengejut semasa sedang dipandu. Kemudian, pemandunya memberhentikan bas itu dan menyuruh semua penumpangnya keluar menyelamatkan diri.

Menurut Ketua Balai Petaling Jaya, Pegawai Bomba Kanan II Hishamuddin Mustafa, pihaknya dihubungi melalui telefon pada pukul 4.50 petang, lalu pasukan mereka yang terdiri daripada 14 anggota berserta 3 jentera dikerahkan ke tempat insiden. 

"Setibanya di lokasi, kami mendapati api sedang marak membakar sebuah bas di bahu jalan. 

"Kebakaran kemudian dapat dikawal sepenuhnya 10 minit kemudian," ujarnya dalam sebuah keterangan kelmarin.

Dalam pada itu, jurucakap Rapid KL menyatakan penghargaan terhadap langkah segera yang diambil kapten bas tersebut dalam menguruskan keadaan bahaya menerusi kejadian terbabit.

"Tindakan pantas kapten bas Rapid KL laluan 772 Pasar Seni - Mah Sing itu harus dipuji, daripada laporan awal, sebelum kejadian kapten bas terdengar bunyi pelik di bahagian belakang bas.

"Secara kebetulan terdapat sebuah kereta peronda polis yang mengekori dari belakang bas telah membunyikan siren dan kapten memberhentikan bas di tepi jalan serta mengarahkan tujuh orang penumpang turun," jelasnya.

Beliau memberitahu, pihak bomba yang sampai di tempat itu berjaya memadamkan kebakaran setelah usaha terlebih dahulu bagi melakukannya dengan alat pemadam api gagal.

"Rapid KL akan bekerjasama dengan pihak berkuasa bagi mengenal pasti punca kebakaran dan jumlah kerugian. Keselesaan dan keselamatan pengguna adalah keutamaan kami.

"Kapten bas Rapid KL diberi latihan dan pendedahan simulasi dalam mengendalikan keadaan cemas atau luar jangkaan.

"Tindakan kapten bas yang segera memberhentikan bas dan mengarah penumpang keluar dari bas adalah satu prosedur operasi standard yang diamalkan oleh semua. 

"Penumpang yang terkandas meneruskan perjalanan dengan menaiki bas yang seterusnya," katanya.

bas rapid kl laluan 772 pasar seni mah sing terbakar 1

Sumber foto: Pembaca Astro Awani

Sumber berita: BH Online




Hakcipta iluminasi.com (2017)