Dalam beberapa dekad kebelakangan ini, komik manga (komik atau novel bergrafik Jepun) menjadi semakin popular di seluruh dunia. Selain itu, ia juga mempunyai mempunyai peminat tegar dan jumlah mereka semakin meningkat ramai.
Sebenarnya, banyak komik Barat yang menggunakan unsur-unsur gaya manga dari Jepun ini. Ramai kartunis dan pereka animasi kontemporari yang memperolehi inspirasi daripada gaya kartun anime yang unik dan dinamik.
BESARKAN TEKS A- A+
Walaupun komik manga moden mendapat popularitinya di Jepun pada pertengahan tahun 1950-an, namun penciptaan komik manga mula dikenali ramai pada akhir abad ke-19 lagi.
Perkataan "manga" itu sendiri telah dikaitkan dengan komik jepun sejak abad ke-18 dan unsur-unsur gaya yang digunakan oleh pelukis manga telah wujud dalam sejarah seni Jepun sejak abad ke-12 lagi.
Walau bagaimanapun, gaya komik manga moden yang kita kenali hari ini telah dikembangkan dan dipopularkan oleh Osamu Tezuka yang juga dikenali sebagai "Bapa Komik Manga" atau "Tuhan Manga". Tezuka dilahirkan pada tahun 1928 dan mula melukis komik sejak sekolah rendah lagi.
Sejak kecil lagi, bapanya telah memperkenalkan Tezuka dengan komik dan kartun Disney dan dia mula menjadi obses dengan karya-karya yang dihasilkan syarikat kartun Amerika itu.
Bambi
Dia akan menonton kartun Disney sebanyak beberapa kali dalam sehari. Tezuka bukan sahaja menikmati cerita-cerita itu tetapi dia juga mengkaji cara watak-watak itu dilukis dan dianimasikan.
Kartun Disney kegemarannya ialah Bambi yang mula ditayangkan pada musim panas tahun 1942. Tezuka dilaporkan telah menonton kartun itu sebanyak lebih daripada 80 kali pada tahun itu sahaja.
Obsesi dengan kartun dan animasi Disney mempunyai kesan yang sangat positif terhadap imaginasi Tezuka dan gaya lukisannya. Walaupun dia telah menamatkan pendidikannya dan menjadi doktor perubatan tetapi dia terus memperbaiki gaya lukisan dan semangatnya untuk menghasilkan komik.
Dia telah mencantumkan unsur-unsur seni tradisional Jepun dengan gaya kartun Disney dan mencipta gaya komik manga yang tersendiri. Hasil kerja yang pertamanya diterbitkan pada akhir tanun 1940-an dan dengan serta-merta menjadi terkenal dan popular.
Hasil kerjanya ini dinamakan Jungle Emperor Leo dan Ambassador Atom. Inspirasi untuk karya-karya ini berasal daripada niat dan tujuan baik Tezuka. Dia sangat sedih dengan kemurungan yang melanda negara Jepun selepas Perang Dunia Kedua.
Ramai anak muda yang kehilangan harapan dan ada yang mengambil jalan untuk membunuh diri. Tezuka kemudian memutuskan untuk membuat satu siri komik manga yang bukan sahaja akan menghiburkan tetapi juga memberi inspirasi kepada mereka yang mencari kebahagian dan ketenteraman dalam perkara yang mereka suka.
Walaupun kartun Disney merupakan inspirasi besar untuk projek-projek awal Tezuka tetapi pada akhir 1950-an dan awal 60-an dia mula mengkritiknya kerana terlalu tidak realistik. Secara khususnya, dia sangat kecewa dengan hakikat bahawa semua kartun Disney pada masa itu berakhir dengan pengakhiran yang bahagia.
Dia berpendapat bahawa suasana kebanyakan kartun Disney boleh membahayakan penonton dan pembaca kerana membentangkan cerita yang selalu berakhir dengan baik untuk protagonis.
Tezuka juga percaya bahawa kartun dan komik harus menunjukkan sisi gelap kehidupan kerana tiada siapa yang hidup bahagia dan riang seperti yang ditonjolkan dalam watak-watak Disney.
Malah, dia percaya bahawa komponen yang tragis perlu ada dalam semua komik dan kartun agar ia mempunyai kesan jangka panjang kepada pembaca dan penonton.
Pada tahun 1958, sebuah studio animasi Jepun iaitu Toei Animation telah menawarkan untuk menjadikan manga "Son-Goku the Monkey" karya Tezuka untuk dijadikan kartun.
Tezuka bersetuju dengan cadangan itu tetapi menegaskan bahawa dia akan bekerja bersama pereka animasi dalam projek itu. Ia adalah permulaan kerjayanya dalam bidang animasi.
Walau bagaimanapun, Tezuka berhenti bekerja bersama mereka apabila pihak produksi kartun itu memutuskan untuk mengubah jalan cerita yang menyedihkan itu menjadi kisah gembira. Kartun itu telah diterbitkan pada tahun 1960 dan menampilkan pengakhiran gembira walaupun dibantah Tezuka.
Tidak lama selepas itu, hasil karya Tezuka menjadi begitu popular sehingga dia dapat melepaskan diri daripada kekangan pemain besar kartun arus perdana dan industri komik.
Dia memainkan pengaruh besar di belakang penghasilan komik manga dan kartun anime yang popular di peringkat antarabangsa seperti Astro Boy, Kimba the White Lion, Black Jack, Phoenix dan banyak lagi.
Manga Black Jack
Tezuka yang mempunyai latar belakang kelulusan dalam bidang perubatan membantunya menghasilkan kartun manga dan anime yang bertemakan perubatan dengan gambaran tepat mengenai anatomi manusia.
Dalam 40 tahun kariernya, Tezuka telah menghasilkan lebih daripada 700 siri manga dengan 150,000 muka surat lukisan kartun. Osamu Tezuka meninggal dunia akibat kanser perut pada 9 Februari 1989 ketika berusia 60 tahun di Tokyo, Jepun.
Antara kata-kata terakhirnya ialah "Saya merayu kepada awak, biarlah saya bekerja" kepada seorang jururawat yang cuba mengambil peralatan melukisnya di hospital.
Kini, hasil karya "Bapa Komik Manga" dipamerkan di kebanyakan muzium di seluruh Jepun termasuk Muzium Manga Osamu Tezuka yang terletak di bandar kelahirannya di Takarazuka, Wilayah Hyogo.
Rujukan:
1. Japan Times
2. Forbes
3. Telegraph