Mungkin anda pernah mendengar frasa "fesyen maut". Kini, kasut tumit tinggi stiletto dan seluar spandex yang terlampau ketat mungkin boleh membunuh si pemakai, namun tahukah anda fesyen dan pakaian yang "membunuh" ini sebenarnya telah lama wujud? Seawal kurun ke-18 dan ke-19 lagi pakaian dan aksesori seperti topi, kasut dan kain dalam telah mengorbankan ramai mangsa tidak berdosa.
BESARKAN TEKS A- A+
Kami kongsikan beberapa trend fesyen yang pernah meragut nyawa pada zaman dahulu:
1. Topi "top hat"
Pada awal kurun ke-18 sehingga kurun ke-19, topi jenis top hat sememangnya popular. Namun tahukah anda, topi top hat ketika itu dilapik menggunakan merkuri sehingga memberikan kesan kepada sistem saraf pekerja yang menghasilkan aksesori ini. Pendedahan kepada merkuri telah menyebabkan ramai pekerja menjadi agresif, angin kerap bertukar, bersikap anti sosial dan juga telah membunuh beberapa pekerja yang lain.
2. Korset
Atas nama fesyen, golongan wanita pada zaman Victoria tidak boleh bernafas terlalu banyak untuk memastikan pinggang mereka sentiasa dicerut dan dada diluaskan. Ketika inilah korset mula dihasilkan. Pada tahun 1903, seorang wanita mati secara mengejut setelah dua keping besi dari korset yang dipakai menusuk jantungnya. Pada tahun 1912 pula, seorang penghibur pengajuk bernaa Joseph Hennella terbaring kaku di atas pentas akibat tali korsetnya dicerut terlalu kuat.
3. Kolar baju yang tinggi dan ketat
Dalam abad ke-18, kekerasan kolar baju sering dikaitkan dengan sifat kejantanan seorang lelaki. Disebabkan itulah kolar ini menjadi fesyen popular pada zaman itu. Namun pada masa yang sama, ia juga berupaya membunuh si pemakai. Pada penghujung 1800-an, seorang lelaki nyaris terkorban apabila dia tersilap langkah semasa hendak keluar dari kenderaan dan hampir dipenggal leher oleh kolar yang keras dan tajam.
4. Mengikat kaki
Juga dikenali sebagai kaki bunga teratai, trend ini menjadi sangat popular pada kurun ke-8 di China. Segalanya bermula apabila seorang penari bernama Yao Niang mengikat kakinya menjadi bentuk anak bulan. Amalan yang dikatakan membuatkan seorang wanita kelihatan lebih menawan ini menghasilkan lengkungan kaki yang bergantung hanya kepada otot paha dan punggung sebagai penyokong apabila berdiri atau berjalan. Namun demikian, perbuatan mengikat kaki ini menyekat aliran darah ke bahagian jari kaki dan menyebabkan penyakit seperti gangren dan pelbagai jangkitan yang membawa maut.
5. Krinolin
Kain dalam yang diperbuat daripada krinolin keras dan berstruktur memberikan ilusi pinggang pada baju seorang wanita. Pada pertengahan 1850-an, krinolin sangkar yang dihasilkan daripada tulang ikan paus dan besi mula diperkenalkan. Golongan wanita menjadi tidak keruan tergila-gilakan fesyen itu. Trend baju bersangkar itu bagaimanapun menjadi punca lebih 3,000 kes kematian akibat kebakaran krinolin.
6. The Fontange
Hiasan kepala ini popular selepas gundik Raja Louis XIV iaitu Duchesse de Fontagne memakainya. Raja Louis menyukainya dan ia kemudian terus tular menjadi satu trend di Perancis dan England.
Pada mulanya ia hanyalah hiasan rambut keriting yang diikat riben. Lama-kelamaan aksesori ini menjadi semakin tinggi, lebih gah dan lebih berbahaya. Masalah mula timbul kerana pada ketika trend hiasan kepala ini menjadi popular, lilin chandelier juga turut sama digilai ramai. Maka, ramai wanita mengalami kebakaran rambut akibat tersangkut pada lilin sehingga mengalami kecederaan teruk di bahagian muka dan leher.
7. Ubat titik mata Belladonna
Sementara wanita di negara lain sibuk menggunakan celak untuk mencantikkan mata, wanita di Renaissance Itali pula menggunakan ubat titik Belladonna untuk kelihatan lebih anggun dan menawan. Hanya dengan satu titis sahaja, ubat itu boleh membesarkan anak mata agar lebih bersinar dan boleh memukau sesiapa sahaja yang melihat. Walau bagaimanapun, penggunaan belladonna secara konsisten boleh menyebabkan buta, peningkatan degupan jantung dan penglihatan menjadi kabur.
8. Gaun muslin
Pada penghujung kurun ke-18, trend fesyen berubah secara drastik. Golongan wanita tidak lagi memakai gaun yang berlebih-lebihan dan bertukar gaya yang lebih seksi dengan memakai gaun yang nipis ibarat kain simis (kain dalam wanita) yang adakalanya terlalu jarang.
Gaun nipis daripada kain muslin menjadi pilihan wanita ketika itu kerana fabrik yang ringan dan mudah diwarnakan. Walau bagaimanapun, fabrik muslin itu adalah sangat mudah terbakar. Disebabkan hal itu dan juga keinginan dilihat lebih jarang, para wanita mula membasahkan baju masing-masing apabila dipakai. Lama-kelamaan, ramai yang diserang pneumonia dan mati disebabkan gaun yang basah.
Hendak berfesyen, biarlah ala kadar dan kena pada tempat. Jangan terlalu ghairah mengikut trend sehingga sanggup menanggung derita atau lebih teruk lagi - menjadi mangsa korban fesyen.