Pada tahun 1800-an, masalah memandu semasa mabuk tidak pernah dibicarakan. Namun, apabila Carl Benz memperkanalkan kepada dunia kereta komersial pertama pada tahun 1880-an, dalam satu dekad kemudian masalah memandu dalam keadaan mabuk mula menjadi masalah yang serius. 

Kemudian, pada 1954, dari makmal bawah tanah Robert F. Borkenstein, terhasillah alat yang dipanggil Breathalyzer. Breathalyzer merupakan alatan yang membolehkan kandungan alkohol dalam seseorang individu diketahui melalui nafasnya. Mudah dan mempunyai peratusan ketepatan yang tinggi.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Peralatan yang hebat ini hanya menggunakan konsep kimia sederhana untuk menyelamatkan ribuan nyawa setiap tahun. Di negara Barat, sudah menjadi kebiasaan polis akan melakukan sekatan jalan raya bagi mengenalpasti tahap kandungan alkohol seseorang.

Di Malaysia, kita pun menggunakan alatan sebegini (Breathalyzer hanyalah salah satu jenama, terdapat banyak lagi jenama lain). Dengan kes pemandu mabuk terlibat dengan kemalangan sehingga membunuh orang awam di Malaysia semakin meningkat, diharapkan pihak polis lebih kerap membuat ujian sebegini terutamanya pada malam minggu.

Kesan alkohol pada otak

kesan alkohol pada otak

Memandu memerlukan kita melakukan banyak tugas - berwaspada setiap masa, mengetahui keadaan sekeliling kita, memproses maklumat, dan bertindak dengan pantas. Kesimpulannya, pemandu perlu mempunyai kawalan penuh terhadap pancaindera mereka tetapi alkohol mengurangkan fungsi dan kecekapan pancaindera tersebut.

Alkohol tidak dicerna seperti makanan sebaliknya meresap ke dalam aliran darah melalui dinding perut dan usus. Sebaik sahaja di dalam badan kita, ia pergi ke mana sahaja darah masuk dan diserap ke mana sahaja air berada (kerana alkohol sangat larut dalam air).

Oleh itu, semua organ utama, termasuk jantung, otak, paru-paru dan otot akan mencapai kepekatan alkohol yang sama dengan darah kita.

Setelah memasuki otak, alkohol meningkatkan kesan neurotransmitter penghambat penting dikenali sebagai GABA. Akibatnya, sel otak kita menunjukkan tindak balas dan komunikasi yang lambat atau perlahan. Alkohol juga mengurangkan kecekapan bahagian cerebellum, sehingga mengganggu penglihatan dan pergerakan anggot badan.

Evolusi penganalisis alkohol melalui nafas

ujiaan pernafasan alkohol

Pada awal tahun 1900-an, satu-satunya cara untuk mengesan pemandu mabuk adalah dengan mencari tanda-tanda memandu dalam keadaan mabuk, seperti hilang keseimbangan badan, memandu secara merbahaya, menggigil berlebihan, mata merah, dll. Seseorang juga boleh melakukan "Ujian Sobriety Lapangan", yang masih digunakan sehingg ke hari ini.

Namun, sistem ini bergantung sepenuhnya pada intuisi atau persepsi polis. Tidak ada standard saintifik untuk menentukan tahap kemabukan seseorang. Para saintis dan pihak berkuasa akhirnya berjaya menetapkan piawaian untuk mencari cara bagaimana seseorang dapat didakwa kerana "memandu di bawah pengaruh alkohol".

Terdapat banyak penguji alkohol melalui nafas yang bagus dan tepat yang terdapat di pasaran hari ini, tetapi kita akan melihat bagaimana alat yang dikenali sebagai Breathalyzer ini berfungsi.

Pencipta alat penyedut nafas ini, Robert F. Borkenstein, adalah seorang kapten di makmal polis negeri Indiana dan kemudiannya menjadi profesor di Indiana University. Sebelum mencipta Breathalyzer, beliau bekerja bersama dengan pencipta Drunkometer (sejenis alat dengan fungsi sama) dan dilatih bagaimana mengoperasikannya.

Latihan ini meningkatkan minatnya terhadap penganalisis alkohol melalui nafas. Oleh kerana beliau bekerja dengan pasukan polis, beliau ingin mencipta sesuatu yang lebih tepat dan lebih mudah dikendalikan, sesuatu yang dapat membuktikan kandungan alkohol dengan lebih tepat dan pengganti Drunkometer yang lebih mudah digunakam

Setelah bertahun-tahun mencuba, akhirnya pada tahun 1954, beliau menghasilkan Breathalyzer™ - teknologi yang mencetuskan revolusi untuk memeriksa kandungan alkohol pemandu jalan raya sehigga kini.

Bagaimanakah tahap kandungan alkohol dikesan?

alat pengesan alkohol

Di Malaysia, tahap kandungan alkohol yang dibenarkan tertakluk pada Seksyen 45G(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. Had kandungan alkohol yang ditetapkan untuk pemandu adalah 35 mikrogram alkohol dalam 100 milimeter nafas, 80 miligram alkohol dalam 100 milimeter darah atau 107 miligram alkohol dalam 100 milimeter air kencing.

Bagi ujian yang dilakukan melalui pernafasan, subjek (orang yang disyaki mabuk) diminta meniup satu tiub khas yang bersambung dengan alasan ujian bernafasan. Mereka diminta untuk memberikan nafas paling dalam untuk mendapatkan nafas dari paru-paru alveolar, iaitu bahagian paru-paru dalam.

Udara dari paru-paru pemandu memasuki botol ujian yang mengandungi campuran oren kemerahan yang terdiri daripada cecair kalium dikromat, asid sulfurik, dan perak nitrat (pemangkin). Campuran ini, bersama dengan etanol (jenis alkohol yang terdapat dalam minuman beralkohol) dari nafas seseorang akan membentuk sistem reaksi redoks.

Sekiranya nafas pemandu tersebut mengandungi kadar alkohol tertentu, maka cecair ini akan bertukar warna hasil daripada tindakbalas kimia ini.

  ujian kandungan alkohol

Alat penganalisis nafas kemudian akan memberikan pengukuran anggaran kandungan alkohol dalam darah seseorang (dikenali sebagai “Blood Alcohol Content" atau "BAC”). Sekiranya kandungan alkohol darah melebihi had yang ditetapkan 80 miligram alkohol dalam 100 mililiter darah, pemandu tersebut akan disabitkan atas kesalahan memandu bawah pengaruh alkohol.

Menurut laporan status global 2018 mengenai keselamatan jalan raya yang diterbitkan oleh WHO, 1.35 juta nyawa terkorban akibat kemalangan jalan raya setiap tahun. Dan 5 -35% dari kemalangan tragis seperti itu berkaitan dengan pengaruh alkohol, yang bermaksud bahawa sekitar 270,000 orang mati kerana pemandu yang mabuk.

Angka ini mungkin jauh lebih tinggi jika pihak keselamatan jalan raya tidak melakukan penguatkuasaan dan denda yang berat kepada pesalah. Malah, penciptaan alat pengesan alkohol melalui nafas juga sangat penting untuk mengesan pemandu yang memandu di bawah pengaruh alkohol, seterusnya menyelamatkan nyawa orang awam.

Kredit:

  1. WebMD
  2. Wikipedia
  3. Hoow Stuff Works



Hakcipta iluminasi.com (2017)