Usia bukan penghalang. Kata-kata itu mudah diungkapkan tetapi realitinya, tak ramai yang berjaya mempraktikkannya dengan betul. Tahap kesihatan yang menurun selalu menjadikan seseorang itu mengambil jalan mudah membiarkan sahaja kekuatan tubuh menurun mengikut usia.

Bagaimanapun, ada ramai individu-individu dalam dunia yang membuktikan usia memang benar-benar bukan penghalang, dengan menjadikan sukan sebagai salah satu motivasi paling kuat untuk terus mengekalkan kekuatan badan.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Berikut adalah lima individu di dunia yang membuktikan usia hanyalah nombor semata-mata, yang patut menjadi inspirasi kepada kita semua.

1. Gimnas tertua di dunia

gimnas paling tua di dunia

Johanna Quaas adalah seorang warga Jerman yang dinobatkan sebagai gimnas tertua di dunia yang masih aktif ketika ini. Berapakah usia beliau? Beliau lahir pada 1925 menjadikan usia beliau ketika ini adalah 93 tahun. Memulakan karier dalam gimnastik pada awal usia serta sudah menyertai pertandingan semenjak 1934, Johanna memang menjadikan sukan gimnastik sebagai karier panjang.

Sepanjang kerjayanya, beliau juga pernah terpaksa bertukar kepada sukan bola baling buat sementara ketika sukan gimnastik dilarang di Jerman, semasa perang dunia. Beliau jadi popular bermula pada tahun 2012 selepas didapati melakukan latihan untuk menyertai kejohanan gimnastik amatur di Saxony, Jerman. Sehingga ke hari ini, Johanna masih menyertai pertandingan yang diadakan.

2. Pelari marathon tertua dunia

pelari marathon paling tua

Rekod pelari marathon tertua dunia sebelum itu dipegang oleh seorang wanita bernama Gladys Burrill atau nama gelarannya, Gladyator. Rekod yang dibuat dalam satu acara marathon di Honolulu pada tahun 2011, menjadikan Gladys pemegang rekod peserta marathon tertua menamatkan perlumbaan 42 kilometer. Dalam 7 kali penyertaan, Gladys berjaya menamatkan perlumbaan 5 kali.

Rekod itu kemudiannya dipecahkan pada tahun 2015 apabila Herriette Thompson berjaya menamatkan satu larian marahon di San Diego, 74 hari lebih tua berbanding rekod Gladys. Rekod itu dicatat ketika Herriette berusia 92 tahun. Bagaimanapun malangnya, Harriette meninggal dunia pada 16 Oktober 2017. (rujukan)

3. Penyelam skuba paling tua

penyelam skuba paling tua

Bagi menyambut sambutan ulangtahun kelahirannya yang ke 94, Wallace Raymond Woolley cuba melakukan sesuatu yang unik bagi dirinya. Dia ingin melakukan selaman dalam yang memang menjadi hobinya sebelum itu dan memilih untuk menjelajah salah satu lokasi selaman skuba terkenal dunia, kawasan tenggelamnya kapal Zenobia pada tahun 1980.

Wallace berjaya menyelam sehingga kedalaman 38.1 meter di bawah aras laut sambil menyambut hari jadi beliau. Lahir pada 28 Ogos 1924, Wallace memecahkan rekod yang dipegang oleh Erwin Paul Staller, yang lahir pada 14 Mei 1921. Rekod Wallace dicatatkan pada tahun 28 Ogos 2017 sementara Erwin mencipta rekod itu pada tahun 2014.

4. Atlit paling tua dunia

atlit paling tua dunia

Lahir pada 14 April 1910, Stanisław Kowalski adalah pemegang rekod atlit paling tua yang masih lagi bertanding dalam kategori yang dinamakan Masters Athletics, khas untuk golongan veteran. Oleh kerana umurnya yang panjang dan masih lagi bertanding, dia diletakkan dalam kategori atas 105 tahun semasa bertanding pada 2015, menjadi satu-satunya atlit dalam kategori tersebut.

Stanisław mencatatkan masa 34.50 saat untuk acara 100 meter, jarak 4.27 meter untuk lontar peluru dan 7.50 meter untuk acara lempar cakera. Selepas kematian individu paling tua di Poland pada 20 Mac 2018, Stanisław kini bukan saja bergelar atlit paling tua di dunia pada usia 108 tahun malahan bergelar individu paling tua di Poland.

5. Atlit bina badan wanita paling tua

ahli bina badan wanita paling tua

Dengan diet sarapan 10 biji telur putih sehari, setengah liter air dan kacang walnut, Ernestine Shepherd memulakan harinya setiap hari. Dikenali sebagai atlit bina badan wanita paling tua di dunia, Ernestine sebenarnya hanya mula membina badan pada usia 56 tahun dan menyertai kejohanan pertama pada usia 71 tahun!

Jadual beliau setiap hari dipenuhi dengan latihan sukan. Dia bangun untuk berlari sejauh 16 kilometer pada awal pagi, bersenam 4 hari seminggu dan hanya mempunyai 10 peratus kadar lemak dalam badan. Walaupun masih mengekalkan rutin sehingga ke hari ini, Ernestine sudah tidak lagi bertanding dalam kejohanan. Untuk seorang individu yang lahir pada 16 Jun 1936, kami akui tak ramai wanita seusia beliau mampu melakukan apa yang beliau lakukan. Kami yang jauh lebih muda ni pun tengok dengan rasa tak percaya.




Hakcipta iluminasi.com (2017)