Pasti kebanyakan daripada kita pernah menonton animasi Doraemon. Dalam siri animasi ini, Doraemon mempunyai sebuah mesin masa yang boleh membawa dia dan Nobita ke masa lalu.
Namun, adakah pengembaraan masa dalam dunia realiti boleh berlaku? Bagaimana jika dimensi masa serupa dengan ruang tiga dimensi yang kita hidup ketika ini?
Bagaimana jika kita boleh mengembara ke masa depan atau masa lampau, sama seperti kita boleh bergerak ke kiri dan kanan atau ke atas dan ke bawah?
BESARKAN TEKS A- A+
Adakah kita dapat mengubah masa lalu? Dan jika ia berlaku, adakah ia akan menghasilkan paradoks masa?
Dalam seharian atau kehidupan anda, berapa banyak kali anda harap anda boleh kembali ke masa lalu untuk mengubah apa yang berlaku?
Pengembaraan masa berbunyi seperti satu fantasi liar yang hanya berlaku dalam filem-filem sains fiksyen, namun kita sebenarnya sedang mengembara dalam masa setiap hari.
Teori Albert Einstein
Albert Einstein menemukan bahawa masa bukan dalam keadaan malar tetapi sentiasa bergerak ke hadapan dan kita bergerak ke hadapan bersama-sama dengannya.
Menurut Einstein, masa adalah dimensi keempat. Bersama-sama ruang tiga dimensi, ia bergabung menjadi satu kontinum tunggal empat dimensi, dikenali sebagai ruang masa.
Jika anda fikirkan bergerak dalam ruang, bergerak ke atas adalah agak mencabar melainkan anda menggunakan alat yang dicipta manusia seperti menaiki pesawat atau menggunakan tangga.
Jadi, mungkin kita belum berjaya mencipta alat yang sesuai untuk mengembara menerusi masa?
Secara teorinya, membina mesin masa adalah tidak mustahil. Tapi ia tidak kelihatan seperti kereta dalam filem "Back To The Future" atau yang lain-lain.
Sebaliknya, ia akan kelihatan seperti gambar di bawah.
Ini disebabkan oleh rahsia untuk mengembara menerusi masa tidak berlaku dalam bentuk yang eksotik. Apa yang kita perlukan adalah sebuah kapal angkasa yang boleh bergerak menghampiri kelajuan cahaya.
Teori relativiti Einstein mengajar kita bahawa semakin laju kita bergerak di ruang angkasa, semakin perlahan kita bergerak dalam masa.
Cuba anggap anda berada di angkasa lepas bergerak dalam keadaan 99.9% kelajuan cahaya menuju ke sebuah planet yang boleh didiami terletak dalam jarak 40 tahun cahaya.
Anda menjumpai kehidupan di planet tersebut dan kembali ke Bumi untuk berkongsi tentang penemuan anda. Namun apabila anda sampai ke Bumi, anda dapati bahawa rakan sekerja anda sudah tua.
Dari perspektif anda, anda hanya mengembara ke ruang angkasa selama 2 tahun namun bagi orang di Bumi, anda hilang selama 80 tahun.
Fenomena "time dilation"
Fenomena ini dikenali sebagai "time dilation". Namun, ia tidak mungkin berlaku kepada kita kerana bergerak dalam kelajuan cahaya adalah mustahil dengan teknologi yang kita ada sekarang.
Kenderaan berpandu terpantas yang pernah dihasilkan oleh manusia adalah Apollo 10 yang mampu bergerak dengan kelajuan 11,000 meter per saat.
(Kelajuan cahaya)
Kelajuan yang diperlukan untuk mengembara menerusi masa adalah sekitar 299 juta meter per saat. Selain itu, memecut dengan kelajuan ini akan menghasilkan daya sentrifugal yang tersangat tinggi.
Wormhole
(Wormhole)
Daya yang akan menghancurkan anda sebelum sempat menghampiri kelajuan cahaya. Tapi, kita masih ada "wormhole" kan?
Einstein meramalkan bahawa terowong teori ini menghubungkan dua tempat yang berasingan dan dua masa yang berbeza. Dengan kata lain, jalan pintas ke alam semesta dan waktu yang lain.
Namun, terdapat satu masalah besar mengenai wormhole ini, iaitu saiznya yang tersangat kecil yang tak mampu memuatkan sebatang jarum apatah lagi manusia.
Jika terowong ini wujud dan kita berjaya menemukannya, mungkin kita mampu membesarkan saiznya. Bayangkan, sebuah terowong yang besar di atas Bumi yangmembuka jalan ke planet lain.
Dan secara teorinya, jika kita letakkan kedua-dua hujung wormhole di tempat yang sama tetapi pada masa yang berbeza, kita boleh menjejakkan kaki ke dalamnya dan keluar di zaman lalu.
Akan tetapi terowong ini mempunyai satu lagi masalah iaitu mempunyai jangka hayat yang pendek. Dan mengembara menerusi masa akan menghasilkan paradoks masa atau percanggahan masa.
Sebagai contoh, anda kembali ke zaman dahulu dan meyakinkan nenek anda supaya tidak berkahwin dengan datuk anda. Oleh itu, nenek anda tidak melahirkan bapa anda, membuatkan anda juga tidak lahir di dunia.
Tetapi, jika anda tidak wujud, siapa yang kembali ke masa lalu untuk berjumpa dengan nenek anda?
Masa adalah linear dan ia hanya bergerak ke hadapan. Disebabkan itu, kita hanya boleh bergerak ke hadapan dan tidak ke masa lalu.
Malah, angkasawan menghabiskan masa di angkasa lepas selama setahun di Stesen Angkasa Antarabangsa hidup di masa hadapan berbanding kita di Bumi.
Walaupun ia hanya 13 milisaat ke hadapan, mereka membuktikan bahawa mengembara menerusi masa boleh berlaku.
Dan mungkin wormhole dapat membuka jalan ke dunia baru di mana hukum fizik berfungsi dengan cara yang berlainan dan mengembara ke masa lalu boleh berlaku.
Adakah anda berani masuk ke dalam mesin masa tanpa mengetahui ke mana ia akan bawa anda?
Dan jika anda mempunyai pilihan, ke mana anda ingin pergi, dan bila?
Rujukan:
1. Whatif
2. Space
3. NASA