Dinosaur adalah haiwan kumpulan reptilia yang hidup pada zaman prasejarah dan telah lama pupus. Haiwan ini dikatakan pertama kali wujud dalam tempoh Triassic ratusan juta tahun yang lalu.
Kita hanya mengetahui tentang kewujudan dinosaur kira-kira pada kurun ke-19 apabila fosil dan kerangka haiwan ini ditemui. Fosil dan kerangka haiwan ini menjadi tarikan utama di muzium-muzium di seluruh dunia.
BESARKAN TEKS A- A+
Pada abad ke-21, dinosaur dipopularkan semula melalui rancangan TV dan filem. Antara filem paling popular mengenai dinosaur ialah Jurassic Park arahan Steven Spielberg yang diterbitkan pada tahun 1993.
Namun, bagaimanakah kru filem ini menghasilkan bunyi dinosaur yang telah lama pupus? Ikuti kupasan bagaimana pereka bunyi, Gary Rydstrom, menghasilkan bunyi dinosaur dalam filem popular Jurassic Park.
Filem Jurassic Park
Walaupun bekerja dengan filem Jurassic Park merupakan suatu pengalaman yang menyeronokkan, Rydstrom mempunyai tanggungjawab yang berat sekali. Dia terpaksa mencipta bunyi pelbagai jenis dinosaur daripada mula kerana tiada siapa yang tahu bagaimana bunyi sebenar haiwan ini.
Dia akhirnya menghabiskan masa berbulan-bulan lamanya untuk merekod pelbagai jenis haiwan. Menggabungkan semua itu, dia mencipta suatu bunyi yang tidak pernah didengari tetapi masih bersifat seperti haiwan. Berikut adalah beberapa kaedah bagaimana Rydstrom mencipta bunyi dinosaur.
Velociraptor
Pemangsa yang bijak ini kelihatan seperti mempunyai bahasa mereka tersendiri. Menurut Rydstrom, bunyi Velociraptor ini diperolehinya dengan cara agak memalukan. Apa yang kedengaran ketika Velociraptor ini berkomunikasi antara satu sama lain sebenarnya adalah bunyi kura-kura sedang mengawan.
Rydstrom merakam bunyi itu di Marine World, California. Walaupun kedengaran kelakar tetapi merakam bunyi kura-kura sedang mengawan boleh memakan masa yang agak lama. Rydstrom menunggu sambil memerehatikan haiwan itu dan merakamnya.
Namun, ia bukanlah bunyi sebenar Velociraptor dalam filem Jurassic Park. Rydstrom mencampurnya dengan bunyi lain seperti bunyi kuda bernafas dan bunyi angsa. Menurut Rydstrom, mereka menggunakan bunyi kuda untuk beberapa jenis dinosaur lagi.
Gallimimus
Rydstrom menggunakan bunyi tapak kaki kuda dalam babak di mana sekumpulan Gallimimus sedang berlari. Bagi bunyi dinosaur itu pula, sebahagian besarnya dia menggunakan bunyi kuda betina yang sedang ghairah apabila dihampiri kuda jantan.
Menurut Rydstrom, banyak haiwan akan menghasilkan bunyi pelik ketika sedang ghairah atau ketika mengawan. Ketika babak di mana Gallimimus dimakan oleh T. Rex, Rydstrom menggunakan rakaman bunyi kuda betina tadi dicampurkan dengan bunyi seekor ikan lumba-lumba jantan yang sedang ghairah.
Tyrannosaurus rex
Tyrannosaurus rex atau T. Rex mungkin merupakan salah satu dinosaur paling besar dan menakutkan tetapi bunyinya dalam filem Jurassic Park dihasilkan melalui bunyi anjing baka Jack Russell milik Rydstrom bernama Buster.
Setiap hari, dia melihat Buster bermain dengan tali dan berpura-pura seperti ia sedang membunuh mangsanya. Dia bukan sahaja menggunakan bunyi Buster dalam Jurassic Park sahaja malah juga filem Terminator 2. Bunyi Buster sedang makan digunakan dalam salah satu babak di mana robot T-1000 mengorek mata salah seorang pegawai polis.
Salah satu lagi kaedah yang digunakan Rydstrom ialah dengan memperlambatkan bunyi yang dirakamnya. Ia diilhamkan oleh mentornya, Ben Burtt, yang bekerja dalam filem Star Wars.
Elemen utama yang digunakan Rydstrom bagi bunyi T. Rex mengaum adalah bunyi anak gajah. Dia memperlambatkan bunyi anak gajah itu supaya ia menjadi sesuatu yang besar dan kasar tetapi berbeza dengan bunyi gajah dewasa.
Brachiosaurus
Bunyi Brachiosaurus adalah salah satu bunyi kegemaran Rydstrom dalam filem Jurassic Park. Namun, tiada siapa menyangka bunyi dinosaur itu diperolehi dari sumber bunyi paling jelik iaitu bunyi keldai.
Walaupun bunyi keldai agak jelik tetapi ia menjadi satu bunyi yang sedap didengar apabila Rydstrom memperlambatkannya. Ini sesuai dengan watak Brachiosaurus yang kelihatan jinak.
Dalam salah satu babak, Brachiosaurus telah bersin kepada salah seorang pelakon kanak-kanak. Bunyi bersin dinosaur itu dihasilkan Rydstrom menggunakan gabungan bunyi hembusan air ikan paus dan pili bomba.
Triceratops
Rydstrom berkata, sebelum ini dia pernah bekerja di salah sebuah ladang ternak di California yang mempunyai banyak lembu. Ini memberikannya ilham untuk menghasilkan bunyi Triceratops menggunakan suara lembu.
Dalam salah satu babak di mana seekor Triceratops yang sakit bernafas dengan panjang dan perlahan, Rydstrom menggunakan satu-satunya elemen yang tidak organik.
Dia telah menggunakan tiub kadbod yang panjang untuk dia bernafas, dicampurkan peranti reverb supaya bunyi itu kedengaran lebih dalam dan pelik. Dia kemudian mencampurkan bunyi itu dengan bunyi lembu di ladang ternakan.
Selain itu, Rydstrom juga mengaku bahawa dia memasukkan lagi satu bunyi manusia ke dalam filem itu. Ketika rakannya datang melawat, Rydstrom telah menghidupkan mikrofon dan meminta agar rakannya itu membuat apa-apa sahaja bunyi aneh dan pelik. Dia merasakan seperti telah menipu kerana menggunakan suara manusia untuk dijadikan suara dinosaur.
Anak dinosaur
Dalam salah satu babak di mana anak Velociraptor baru menetas dari telurnya, Rydstrom telah menggunakan bunyi yang lebih serasi supaya ia tidak kedengaran seperti dinosaur dewasa.
Untuk itu, Rydstrom telah merakam banyak bunyi anak-anak haiwan seperti anak burung hantu, anak musang dan beberapa jenis haiwan lain lagi.
Dilophosaurus
Rydstorm menjelaskan, dia telah menggunakan suara angsa untuk bunyi Dilophosaurus. Ini kerana suara angsa kedengaran lucu dan pelik. Suara angsa digunakan untuk sebahagian besar babak melibatkan Dilophosaurus ini. Sebelum Jurassic Park, Rydstrom sebenarnya tidak tahu secara tepat bagaimana bunyi angsa yang sebenar.
Ketika babak Dilophosaurus mengembangkan kulit di kepalanya dan menyembur cecair hitam kepada mangsa, Rydstrom telah menggunakan bunyi ular orok-orok (rattlesnake) dicampurkan dengan suara burung helang.
Rujukan:
1. Dari mana bunyi dinosaur dalam filem dicipta
2. Bagaimana bunyi dinosaur dalam Jurassic Park dihasilkan
3. Pereka bunyi kongsi bagaimana dia hasilkan bunyi dinosaur