Buka mana-mana portal berita dan media, kebanyakan wartawan dan penulis (termasuklah kami di Iluminasi) akan menggunakan istilah 'wabak' dalam merujuk kepada jangkitan penyakit Covid-19.
Agak sukar sebenarnya untuk kita mendifinisikan istilah sebenar yang akan digunakan dalam penulisan formal, kerana wujud beberapa percanggahan dari segi bahasa dalam mengklasifikasikan apa itu wabak dari segi Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris.
BESARKAN TEKS A- A+
Mungkin ramai melabelkan Covid-19 sebagai wabak, tetapi dari segi kajian perubatan - wabak atau 'plague' sebenarnya mempunyai takrifan yang jauh berbeza. Covid-19 bukanlah satu wabak, kalau dinilai daripada bahasa Inggeris.
Definisi 'plague'
Cuba terjemahkan 'plague' ke dalam bahasa Melayu! Majoriti orang kita pasti akan menyebut terjemahannya adalah wabak. Istilah 'plague' sebenarnya datang dari istilah lama Yunani 'plaga' yang membawa makna memukul.
Dalam penyelidikan perubatan bahasa Inggeris - 'plague' tidak digunakan sewenang-wenangnya seperti mana kita menggunakan 'wabak' dalam bahasa Melayu. Ini kerana 'plague' mempunyai kriteria yang tetap dalam penggunaannya sebagai kriteria yang perlu dipenuhi, merujuk kepada jangkitan sesuatu penyakit.
Seandainya anda merujuk kamus bahasa Inggeris, istilah 'plague' sebenarnya merujuk kepada semua wabak jangkitan yang pernah berlaku disebabkan oleh jangkitan bakteria, yang dikenali sebagai 'yersinia pestis'.
Ini bermakna penggunaan istilah 'plague' daripada sudut sains, lebih sesuai digunakan bagi mewakili tiga jenis jangkitan yang berlaku disebabkan oleh bakteria tersebut iaitu 'bubonic plague, septisemic plague' dan 'pneumonic plague.'
Tidak meliputi jangkitan virus.
Kepercayaan masyarakat lama yang dihormati
Apabila berlaku wabak-wabak besar seperti wabak Black Death dan wabak Justinian yang berpunca daripada bakteria tersebut, masyarakat Eropah menamakan kedua-dua bencana itu sebagai 'plague' dan istilah itu masih terus dipakai sehingga kini.
Disebabkan oleh stigma masyarakat lampau serta kajian yang berjaya mengenalpasti peranan bakteria yang sama dalam wabak-wabak sebelum itu, penyelidik sains mengistilahkan 'plague' meletakkan kriteria sesuatu 'plague' mestilah disebabkan jangkitan bakteria tersebut sahaja.
Selain itu, 'plague' juga digunakan masyarakat Eropah zaman dahulu bagi mewakili bala yang dipercayai menimpa mereka disebabkan oleh balasan Tuhan - seperti apa yang direkodkan sebagai 'Plague of Egypts'; di mana berlakunya serangan serangga dan katak yang terlalu besar jumlahnya kepada masyarakat.
Setiap kali disebutkan perkataan 'plague', ada pihak menganggap bahawa istilah itu lebih sesuai dirujuk kepada bencana dan jangkitan penyakit yang telah berlaku lama dahulu, sehingga mengorbankan jutaan nyawa manusia.
Bagi menghormati semua kejadian yang lampau, definisi 'plague' dalam bahasa Inggeris dikekalkan seperti kepercayaan awalnya sementara penggunaan istilah lebih moden seperti pandemik (pandemic), endemik (endemic) dan epidemik (epidemic) digalakkan.
Tiga istilah itu bersifat lebih khusus dan tepat - berbanding 'plague' yang bersifat terbuka dari segi skop, tetapi terlalu eksklusif dari segi punca penyakitnya yang masih menyebut bakteria sebagai punca utamanya.
Atas dasar itu, majoriti penulis jurnal saintifik jarang sekali menamakan Covid-19 sebagai 'plague' sebaliknya menamakannya sebagai satu 'pandemic.'
Lebih senang untuk difahami.
Penggunaan istilah 'wabak'
Asal-usul perkataan 'wabak' sebenarnya diambil daripada perkataan Bahasa Arab وباء (waba') yang membawa makna sebuah jangkitan yang berlaku dalam peringkat global, mirip dengan pandemik.
Sekiranya anda rajin menelaah, pasti anda sedar banyak artikel bahasa Melayu yang menggunakan istilah 'wabak' dalam penulisan apabila merujuk Covid-19. Sekali lagi, kami mengangkat tangan mengaku kami pun serupa.
Pernahkah anda buka kamus dan melihat apakah definisi sebenar 'wabak' dalam kamus Dewan Bahasa dan Pustaka? Jika anda buka kamus, definisi wabak turut mempunyai masalah yang sama dengan istilah 'plague' - skopnya terlalu mencapah tanpa ada pengkhususan diberikan kepadanya dan bezanya, 'wabak' lebih bersifat terlalu umum.
Wabak boleh bererti 'kejadian diserang penyakit menular yg merebak dgn cepat di kalangan penduduk sesuatu kawasan' yang lebih mirip dengan sesuatu endemik atau epidemik.
Wabak juga boleh dikategorikan sebagai 'sejenis penyakit menular, berjangkit yang merebak.' Atas ketiadaan definisi yang jelas, banyak pihak mudah mencampur adukkan istilah; ada pihak menulis Covid-19 sebagai 'wabak' dan ada yang menulisnya sebagai 'wabak pandemik'.
Untuk mentakrifkan kesemua istilah memang sukar, kerana tidak ada tatacara penggunaan yang layak dikatakan salah antara satu sama lain. Selain itu maknanya yang membawa tahap berbeza-beza juga menambahkan lagi kepelbagaian penggunaan istilah 'wabak' dan 'plague'.
Jika anda ke Eropah dan bercakap tentang 'plague', masyarakat sana berkemungkinan besar akan memikirkan tentang sejarah wabak yang telah melanda mereka dahulu kala. Di Malaysia pula, bila bercakap tentang wabak - istilah wabak itu pula mampu merangkumi semua jenis jangkitan baik bersifat kecil, endemik, epidemik dan pandemik.
Kami ingin mencadangkan agar istilah 'pandemik' dipopularkan bagi merujuk kepada Covid-19, kerana sifat jangkitannya yang global. Penggunaan istilah yang lebih khusus serta lebih mudah difahami, mampu mengelakkan kekeliruan berlaku disebabkan hanya disebabkan isu bahasa.