Kredit foto: Instagram Awi Rafael & Instagram Atikah Suhaime
Penyanyi Awi Rafael, 34, tidak mengetahui motif bekas tunangnya, Atikah Suhaime yang membuat pendedahan di laman Instagram Story, mengenai kemelut hubungan toksik yang pernah dilalui.
Awi atau Muhammad Namawi Ewan Gunawan Rafael menafikan dakwaan Atikah yang mengatakan dirinya berpura-pura kaya dan kononnya menyalahkan wanita itu apabila perkahwinan mereka dibatalkan.
“Saya tidak tahu apa tujuan dia. Biarlah, saya positif sahaja.
“Setahu saya, belum pernah saya berlagak kaya. Malah, jika dilihat menerusi muat naik di Instagram, saya tidak pernah menampakkan ciri-ciri hidup mewah.
“Pada zaman ini, orang boleh bercakap apa sahaja, tetapi mereka yang bijak akan menilai mana baik dan buruk. Saya memilih untuk menjadi lebih positif.
“Semua ini perkara remeh untuk saya fikirkan, apatah lagi, ia dibangkitkan semula selepas hampir setahun kami membawa haluan masing-masing,” katanya yang mendapat tahu kiriman aktres itu melalui rakannya.
Terdahulu dalam entri berkenaan, Atikah mendakwa pernah dibelenggu situasi gelap dalam perhubungan dan ia dikatakannya bertukar buruk sewaktu dia cuba mendapatkan erti sebuah kejujuran.
Pelakon Highland Tower itu menasihatkan agar kaum wanita segera bertindak jika didera secara emosi sebagaimana yang terjadi kepadanya.
Dalam pada itu, Awi yakin banyak pihak sedia maklum akan siapa dirinya yang sebenar, justeru bersyukur apabila netizen tidak menghakimi dan menerima kenyataan wanita itu bulat-bulat.
Kredit foto: Instagram Awi Rafael
“Saya tidak perlu membuat penjelasan. Saya percaya, orang luar juga tahu personaliti saya yang sebenar.
“Saya kasihankan dia. Saya gembira dan bersyukur dengan kehidupan ini, malah mendoakan dia sentiasa dilindungi Allah. Apa yang berlaku ini, saya anggap sebagai tindakan wanita yang mengikut emosi,” katanya.
Sumber: 'Apa motif Atikah?'