Kredit foto:Instagram @qashrulhidafiphotography
Tahniah diucapkan buat aktres Atikah Suhaime dan penyanyi Awi Rafael yang selamat mengikat tali pertunangan dalam majlis yang berlangsung di Royal Palm, Clarke Quay Singapura, semalam.
Menurut Atikah, 27, percintaan yang terjalin antara mereka adalah atas dasar keserasian dalam perhubungan.
“Biarpun kami baru berkenalan lebih lima bulan lalu, namun saya dapat rasakan keserasian antara kami.
“Awi pula tidak mengambil masa panjang untuk berbincang dengan kedua ibu bapanya sebelum menghantar rombongan merisik seterusnya melangsungkan pertunangan,” ujarnya kepada Harian Metro.
Kedua-dua pihak memutuskan untuk mengadakan majlis pernikahan setahun dari sekarang.
“InsyaAllah, majlis nikah bakal berlangsung pada 15 Mac tahun hadapan iaitu sempena hari jadi saya. Jadi, kedua belah keluarga bersetuju untuk pertunangan ini berlangsung selama setahun," katanya.
Atikah berharap perancangan membawa perhubungan itu ke fasa seterusnya akan dipermudahkan Allah SWT.
“Saya mengharapkan semoga apa yang dirancang berjalan lancar dan dipermudahkan Allah. Pastinya juga, ini menjadi satu lagi fasa baru dalam kehidupan saya,” katanya.
Majlis pertunangan tersebut dimeriahkan dengan kunjungan anggota keluarga dan sahabat handai di Singapura.
Kedua selebriti ini merupakan bintang kelahiran Singapura yang berjaya menempatkan nama dalam industri hiburan Malaysia.