Satu ketika dahulu, tular kisah seorang remaja yang menjual satu buah pinggangnya semata-mata mahu memenuhi impiannya membeli telefon pintar iPhone. Remaja tersebut yang hanya dikenali sebagai Wang melakukan tindakan tersebut ketika usianya 17 tahun.
Namun, Wang yang kini berusia 26 tahun dilaporkan mengalami masalah kesihatan teruk akibat tindakannya menjual salah satu organ dalamannya itu di pasaran gelap dengan harga sekitar RM13,00. Akibat daripada tindakan tersebut, setiap kali pihak Apple melancarkan model iPhone terbaru pasti akan muncul jenaka-jenaka di media sosial mengenai penjualan buah pinggang untuk membeli iPhone.
BESARKAN TEKS A- A+
Penjualan buah pinggang akibat desakan hidup bukanlah perkara yang baru di pasaran gelap. Ianya didorong dengan dakwaan bahawa manusi boleh hidup dengan hanya satu buah pinggang. Sejauh manakah benarnya dakwaan ini? Apakah yang akan terjadi sekiranya satu buah pinggang terpaksa dikeluarkan (didermakan)? Apakah pula akan terjadi sekiranya kedua-dua buah pinggang dikeluarkan?
Idea untuk terus hidup tanpa salah satu organ penting anda adalah prospek yang menakutkan, tetapi tubuh manusia sebenarnya dapat terus berfungsi walaupun sebahagian organ dikeluarkan atau tidak sepenuhnya. Organ seperti jantung dan otak adalah penting dan diperlukan untuk mengekalkan kehidupan, tetapi bagaimana dengan beberapa organ lain, terutamanya jika kita mempunyai dua daripadanya?
Fungsi buah pinggang untuk manusia
Pertama sekali, adalah penting untuk kita tahu apakah fungsi buah pinggang kepada tubuh badan kita. Bagi yang tidak tahu, buah pinggang juga dikenali sebagai ginjal.
Walaupun ramai orang tidak memikirkan buah pinggang mereka, buah pinggang adalah organ yang paling banyak bekerja keras untuk memastikan setiap bahagian tubuh badan dapat berfungsi dengan sempurna. Buah pinggang bertanggungjawab menyaring lebih daripada 120 liter darah setiap hari. Produk buangan yang disaring kemudiannya disingkirkan oleh tubuh dalam bentuk air kencing, terdiri daripada garam, lemak, toksik dan cecair yang berlebihan.
Terdapat ureter yang bersambung ke buah pinggang (satu untuk setiap organ) berfungsi mengalirkan cecair buangan ini ke mengalir ke pundi kencing di mana air kencing disimpan dan kemudian dikeluarkan dari badan melalui bahagian kemaluan.
Selain memastikan bahawa produk sisa yang tidak diperlukan dibuang dengan betul, buah pinggang juga penting untuk keseimbangan elektrolit dalam badan kita. Mineral seperti natrium, kalium dan kalsium, antara lain membantu menjaga keseimbangan air dalam sistem serta mengoptimumkan komunikasi sistem saraf.
Seterusnya, buah pinggang juga menghasilkan hormon utama yang diperlukan oleh tubuh, seperti hormon untuk menguatkan tulang, mewujudkan sel darah merah baru dan mengekalkan tekanan darah.
Mengapakah buah pinggang terpaksa dibuang?
Buah pinggang boleh dibuang melalui pembedahan yang dikenali sebagai "nephrectomy". Namun, hanya terdapat beberapa sebab sahaja pembedahan mengeluar atau membuang salah satu buah pinggang ini boleh dilakukan di hospital secara sah mengikut undang-undang.
Antara sebabnya adalah sekiranya salah satu buah pinggang anda mengalami kerosakan teruk dan tidak lagi mampu berfungsi, pembedahan boleh dilakukan untuk membuangnya. Selain itu, buah pinggang juga boleh dibuang sekiranya terdapat kanser padanya.
Pembedahan juga boleh dibuat sekiranya seseorang itu mahu mendermakan buah pinggangnya kepada ahli keluarganya. Walau bagaimanapun, terdapat kriteria tertentu untuk melayakkan seseorang itu menderma buah pinggangnya. Namun, perlu diketahui bahawa ini adalah satu pembedahan besar dan komplikasi berkemungkinan timbul.
Adakah kita boleh hidup tanpa buah pinggang?
Walaupun buah pinggang penting untuk kelangsungan hidup, kita masih mampu hidup tanpanya. Cuma, kita mungkin tidak dapat bergerak hidup dengan aktif seperti manusia lain.
Terdapat segelintir manusia dilahirkan tanpa salah satu buah pinggang mereka, suatu keadaan yang disebut "renal agenesis". Terdapat juga kes dimana manusia dilahirkan dengan "renal dysplasia", di mana terdapat dua buah ginjal, tetapi hanya satu yang berfungsi.
Walaupun fakta ini boleh menjadi berita membimbangkan bagi ibu bapa baru, kebanyakan manusia yang mempunyai keadaan ini dapat menjalani kehidupan yang normal dan sihat kerana tubuh mereka akan menyesuaikan diri dengan keadaan tersebut.
Kebiasaannya, manusia akan mengalami sedikit kehilangan fungsi buah pinggang seiring bertambahnya usia. Namun, ianya boleh memakan masa beberapa dekad. Masalah hipertensi juga agak biasa berlaku pada mereka yang hanya mempunyai satu buah pinggang.
Seperti disebutkan sebelumnya, adalah mungkin untuk hidup tanpa satu buah ginjal, tetapi pembuangan atau kehilangan kedua-dua buah pinggang adalah keadaan yang jauh lebih berisiko.
Apabila buah pinggang anda berhenti berfungsi, kandungan toksin dalam darah akan meningkat kerana ianya tidak mampu disaring dan boleh mengakibatkan kerosakan pada banyak organ lain dan gangguan fungsi badan. Seseorang dengan kegagalan kedua-dua buah pinggang akan memerlukan dialisis untuk terus hidup. Dialisis adalah proses di mana fungsi buah pinggang diambil alih oleh sebuah mesin khas.
Kebergantungan kepada dialisis
Terdapat dua jenis dialisis - dialisis peritoneal dan hemodialisis.
Dialisis peritoneal adalah rawatan dimana darah anda sebenarnya dibersihkan di dalam badan dengan menyuntikkan cairan ke rongga perut yang akan menyerap sisa produk dalam darah. Cecair ini kemudian boleh dikeluarkan bersama dengan sisa produk dan toksik lain.
Bentuk yang lebih intensif dan biasa dilihat adalah hemodialisis, di mana darah dikeluarkan dari badan, dibersihkan dan kemudian dikembalikan ke dalam badan. Proses ini boleh memakan masa berjam-jam untuk diselesaikan dan mesti dilakukan 2-3 kali seminggu.
Bergantung pada kerumitan rawatan hemodialisis anda, anda mungkin dapat melakukannya di rumah, tetapi akan memerlukan proses penyaringan yang lebih kerap. Pada asasnya, anda boleh hidup tanpa buah pinggang tetapi keperluan untuk menjalani dialisis secara kerap sudah pastilah akan mengubah gaya hidup yang anda perlukan sepanjang hayat anda.
Anda boleh hidup dengan bantuan rawatan dialisis selama bertahun-tahun atau beberapa dekad dan merupakan satu-satunya pilihan bagi banyak pesakit yang sedang menunggu individu lain menderma buah pinggang yang sihat. Namun, anda tidak lagi boleh bergerak bebas kerana perlu kerap melakukannya.
Walaupun terdapat program menerima buah pinggang, senarai penerimanya cukup panjang sehingga dilihat hampir mustahil untuk setiap pesakit mendapat buah pinggang baru yang sihat.
Nasihat kami adalah jagalah kesihatan buah pinggang anda dan jika anda rasa ada masalah dengan salah satu organ dalaman anda, segera lakukan pemeriksaan di hospital atau dapatkan rawatan perubatan awal. Buah pinggang mungkin hanya sebesar segenggam tangan anda, tetapi fungsinya sangat penting dalam kehidupan.
Kredit: