Penyakit pneumonia merupakan penyakit yang kerap menyerang manusia disebabkan oleh jangkitan bakteria, virus atau bendasing seperti fungi dan sebagainya. Apabila seseorang itu dijangkiti penyakit tersebut - serangan utama jangkitan akan berlaku di bahagian organ penting tubuh kita, paru-paru.

Jangkitan akan menyebabkan paru-paru membengkak di bahagian yang kita labelkan sebagai alveoli. Alveoli adalah ruangan udara dalam peparu yang kecil - berbentuk seperti belon dan hanya bersaiz satu sel ketebalannya.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Tidak diketahui berapakah jumlah sebenar ruangan kecil ini dalam paru-paru kita tetapi anggarannya sekitar 170 alveoli untuk setiap satu kubik milimeter tisu paru-paru. Dalam bahasa mudahnya - banyaklah. Dianggarkan berjuta-juta alveoli ada yang memainkan fungsi yang sangat penting membolehkan kita bernafas.

Jangkitan pada alveoli

bahagian alveoli dalam paru paru

Selepas kita menghirup udara yang bergerak dari hidung/mulut dan melalui saluran trachea, oksigen yang terkandung dalam udara tadi akan hadir ke dalam alveoli sebelum diserap masuk ke dalam sistem saluran darah.

Apabila seseorang dijangkiti pneumonia, alveoli yang sepatutnya kosong akan diisi oleh cecair yang terhasil akibat kerosakan yang disebabkan oleh jangkitan virus  yang ada. Hasil sisa ini dihasilkan apabila sistem imunisasi badan kita mula melawan virus tetapi dalam masa yang sama menyerang sel-sel di sekeliling alveoli, menyebabkan pengumpulan 'sampah' yang memenuhi ruangan itu.

Hasil sisa jangkitan ini dikatakan sangat mirip rupanya dengan mukus - memenuhi dinding alveoli menyebabkan dindingnya menjadi lebih tebal sehingga menyebabkan proses penyerapan oksigen ke dalam darah menjadi lebih sukar dilakukan.

Bila oksigen sukar diserap ke dalam darah, badan kita akan mula merasai kesukaran untuk bernafas, mudah penat, semput dan daripada permulaan kekurangan oksigen itulah, simptom-simptom penyakit lain bakal berlaku - disebabkan oleh kelemahan badan kita yang jadi semakin ketara.

Kita akan mula demam sebagai petanda sistem pertahanan badan sedang berusaha melawan jangkitan. Pesakit akan mula mengalami batuk kering. Ada yang akan mula rasa lemah dan lenguh badan.

Pneumonia adalah bentuk jangkitan terakhir yang dianggap paling teruk bagi seseorang yang telah dijangkiti wabak Covid-19. Dianggarkan lebih 6% ke 20% yang dijangkiti perlu mengharungi jangkitan pada tahap ini. Malangnya, setakat artikel ini ditulis - belum ada lagi kaedah rawatan yang dikenalpasti mampu membantu pesakit Covid-19 yang mengalami pneumonia.

Kenapa pneumonia Covid-19 berbeza dengan pneumonia biasa?

gambaran bakteria sesak nafas covid 19 corona virus

Berbeza dengan majoriti kes pneumonia yang telah pun mampu ditangani, pneumonia daripada Covid-19 adalah disebabkan oleh jangkitan virus. Kebanyakan kes pneumonia biasa berlaku disebabkan oleh jangkitan bakteria dan mampu dirawat dengan menggunakan pengambilan antibiotik.

Bagi ubat-ubatan jangkitan pneumonia yang berlaku disebabkan oleh serangan virus pula, didapati ubat antiviral pneumonia hanya mampu memperlahankan serangan buat sementara apabila paru-paru diserang SARS-COV-2 penyebab Covid-19, bukan membunuhnya.

Oleh kerana tiada sebarang garis panduan yang ada dalam merawat pesakit serta ketiadaan ubat yang khusus, pakar perubatan tidak mengambil risiko cuba merawat sebaliknya bertindak menjalankan langkah-langkah  menyokong sistem pernafasan seseorang yang dijangkiti penumonia Covid-19.

Ini kerana apa yang kita ketahui, serangan virus boleh tamat sendiri selepas fasa jangkitannya selesai; membolehkan seseorang kembali pulih tanpa memerlukan bahan-bahan seperti ubat-ubatan khas.

Peranan mesin ventilator yang wajib ada

icu unit rawatan rapi mesin ventilator

Disebabkan itulah keperluan untuk menggunakan mesin ventilator sangat penting dalam menyokong tubuh badan, mengepam udara yang kaya dengan oksigen agar sistem pernafasan boleh berjalan.

Peluang untuk seseorang mampu mengharungi jangkitan virus ke atas paru-paru sebenarnya cerah, asalkan dia mendapat sokongan yang baik sepanjang waktu kritikal.

Selain itu mesin ventilator juga bertugas mengepam keluar karbon dioksida daripada paru-paru yang terhasil, akibat proses semulajadi tubuh kita. Dalam erti kata lain, sementara paru-paru sesak dipenuhi cecair, ventilator adalah penggantinya.

Tanpa bantuan ventilator, apa yang pesakit kritikal rasai semasa jangkitan?

Dengan paru-paru yang tersumbat dan dipenuhi air serta gagal berfungsi - pesakit Covid-19 yang dijangkiti pneumonia tahap kritikal akan merasakan seolah-olah dada mereka sentiasa penuh dengan sesuatu, mirip diselubungi asap atau lemas dalam air.

Bezanya, rasa lemas itu dirasakan dari dalam badan sendiri bukan dari luar persekitaran.




Hakcipta iluminasi.com (2017)