Wabak Covid-19 yang melanda seakan masih belum reda walaupun negara yang terjejas seperti China mengisytiharkan kejayaan mereka melawan wabak itu.
WHO atau Badan Kesihatan Sedunia mengumumkan purata kadar mortaliti akibat jangkitan wabak Covid-19 ini berada pada tahap 3.4% . Namun kebanyakan negara menganggarkan kadar kematian sebenar sebenarnya lebih rendah disebabkan oleh kewujudan kes-kes yang tidak dapat dikesan dalam jumlah besar dan pesakitnya pula sembuh seperti biasa tanpa hadir ke hospital.
BESARKAN TEKS A- A+
Statistik ini sekurang-kurangnya mampu menjernihkan sedikit kedukaan kita, khasnya individu yang terlalu stress dan panik dek bimbang dengan risiko jangkitan.
Walau bagaimanapun, sesuatu yang perlu kita ketahui adalah tentang penyelidikan yang dijalankan di Guangdong, China telah mendapati; 14% kes pesakit pesakit Covid-19 yang telah disahkan sihat - didapati masih positif dijangkiti wabak tersebut selepas pulang ke rumah.
Jadi persoalan yang ingin kita bincangkan dalam artikel ini - apakah kemungkinan untuk seseorang dijangkiti semula Covid-19, selepas dia dibenarkan pulang?
Adakah seseorang yang pulih masih mampu menjangkiti orang lain?
Dalam beberapa kajian terhadap pesakit yang pulih, didapati bahawa risiko berlakunya jangkitan kepada orang lain berpunca daripada pesakit menurun pada kadar yang sangat ketara selepas 10 hari mereka dijangkiti - membolehkan seseorang yang semakin sembuh dikategorikan tidak lagi berisiko.
Bagaimanapun, satu kajian lain di Wuhan menyangkal pendapat ini. Kajian berbeza ini menemui bukti bahawa virus SARS-CoV-2 masih lagi mampu menjangkiti seseorang yang telah disahkan sihat tanpa menunjukkan sebarang simptom, dalam tempoh 2 minggu selepas simptom terakhir berlaku kali pertama.
Satu lagi kajian berbeza yang juga dijalankan di Wuhan malangnya memanjangkan lagi tempoh risiko berlakunya jangkitan daripada individu yang telah pulih. Bergantung kepada tahap jangkitan, virus didapati mampu hidup di antara tempoh 8 ke 37 hari dalam kes-kes yang direkodkan.
Kajian ketiga ini juga mendapati semakin teruk tahap serangan yang dihadapi oleh seseorang, akan semakin panjang tempoh virus mampu dikesan positif selepas dia pulih - walaupun simptom sudah tidak lagi didapati pada individu pesakit itu.
Jika saya pulih, berapa lamakah saya mempunyai imuniti terhadap Covid-19?
Secara teori, semua jangkitan disebabkan virus yang telah berlaku akan mengakibatkan badan kita membina sistem imunitinya sendiri, seandainya diserang virus sama pada kemudian hari.
Bagaimanapun dalam kes virus SARS-CoV-2 ini, didapati kadar pembentukan imuniti pada pesakit yang telah sembuh berbeza-beza tahapnya.
Beberapa kes melibatkan pesakit yang telah disahkan sembuh kembali dijangkiti virus serupa menandakan kefahaman kita tentang hubungkait jangkitan virus dengan pembentukan sistem imuniti, perlu dilihat semula apabila melibatkan wabak Covid-19.
Setakat apa yang kita tahu, di negara-negara yang mengalami fenomena empat musim - jangkitan coronavirus yang menyebabkan selesema boleh berulang dalam tempoh yang singkat pada individu yang sama sedangkan tempohnya cukup bagi tubuh menghasilkan antibodi yang berfungsi melawan jangkitan. Itu kelebihan yang ada pada virus corona ini.
Laporan pertama berkaitan jangkitan kali kedua SARS-COV-2 kepada kumpulan pesakit ulangan dibuat pada 14 Februari 2020, melibatkan 14% peratus pesakit yang telah dibenarkan pulang di Guangdong, China.
Pada 27 Februari, badan kesihatan Jepun melaporkan tentang seorang wanita yang didapati positif sekali lagi selepas disahkan bebas virus. Kes terbaru di Jepun berkenaan jangkitan semula dilapor pada 15 Mac 2020 melibatkan seorang lelaki berusia 70 tahun yang dibenarkan pulang ke rumah pada 2 Mac 2020.
4 hari berikutnya dia mula mengalami demam panas dan dimasukkan semula ke wad - akibat jangkitan Covid-19 kali kedua. Amat jelas di sini kita masih belum memahami hubungkait antara pembentukan sistem imuniti dan serangan Covid-19 ke atas kita.
Usaha-usaha membentuk imuniti
Disebabkan oleh dua faktor yang kami nyatakan di atas iaitu wujud risiko seseorang yang sudah sembuh daripada wabak berisiko menjangkiti orang lain dalam tempoh tertentu dan bagaimana jangkitan boleh berulang kepada pesakit untuk kali kedua - kami merasakan langkah untuk terus memanjangkan tempoh kawalan seperti mana yang telah diumumkan oleh kerajaan kita, merupakan langkah yang tepat.
Kami tekankan di sini - kami bukan doktor. Kami membuat kesimpulan berdasarkan laporan-laporan yang kami baca.
Di United Kingdom, kerajaan mereka pada mulanya mengambil pendekatan berbeza memperkenalkan strategi 'imuniti berkelompok' atau 'herd immunity', di mana mereka mengharapkan agar individu-individu yang pernah dijangkiti Covid-19 yang telah sembuh - akan membentuk perisai semulajadi yang mengawal penyebaran wabak di kalangan ahli masyarakat, hasil daripada sistem imuniti yang dibentuk semasa jangkitan.
Strategi ini dibentuk oleh kerajaan UK berdasarkan risiko tahap jangkitan Covid-19 kepada pesakit yang rendah serta boleh dikawal. Dalam erti kata lain kerajaan UK bercadang untuk sengaja membiarkan kes-kes pesakit Covid-19 yang tidak teruk berada di kalangan ahli masyarakat, agar jangkitan dapat disebarkan supaya kadar individu yang ada imunisasi bertambah.
Bagaimanapun, kajian simulasi yang dijalankan oleh Imperial College London memadam impian kerajaan UK meneruskan strategi ini. Simulasi yang dijalankan menunjukkan kemungkinan sekiranya idea itu dijalankan, jumlah pesakit yang perlu mereka rawat akan melebihi kemampuan fasiliti perubatan negara mereka.
Melawan musuh yang tidak kita kenali
Disebabkan itu, kerajaan United Kingdom menarik balik rancangan pelaksanaan idea tersebut pada 20 Mac 2020 dan hanya memperkenalkan sistem kawalan mirip negara kita - dengan penutupan lokasi awam serta pengenalan jarak selamat di kalangan individu.
Walaupun demikian, apa yang dicadangkan di UK adalah salah satu usaha unik yang boleh dipertimbangkan dalam membantu mempercepatkan pembentukan sistem imuniti kita, walaupun risikonya agak besar seandainya penyebaran gagal dikawal.
Itulah realitinya. Setakat ini tidak banyak yang kita tahu tentang kaedah yang betul-betul mampu membunuh virus SARS-CoV-2 selain daripada bergantung kepada kemampuan tubuh melawan sendiri jangkitan. Malangnya, tahap imuniti yang berjaya dibentuk tetap tidak menghalang seseorang dijangkiti kali kedua menyebabkan banyak penyelidik pening memikirkan solusinya. Nasib baik jumlah kes sedemikian agak rendah.
Kaedah lain yang sedang diusahakan adalah pertukaran darah melalui proses tranfusi di Amerika Syarikat, di mana darah pesakit kritikal akan digantikan dengan darah bekas pesakit yang telah sembuh bagi mempercepatkan imunisasi berlaku.
Walau demikian, prosedur ini hanya dibenarkan dibuat dalam kes-kes kecemasan dan baru saja diluluskan pada 24 Mac 2020, tanpa ada ujian keberkesanannya sempat dijalankan. Ini kira usaha terakhir untuk rakyat Amerika Syarikat, kalau perlu.
Sama ada pembentukan imuniti sendiri, imuniti bersifat kumpulan atau penemuan vaksin yang mampu membantu kita membentuk imuniti - dua masalah utama tentang jangkitan Covid-19 yang kami sebutkan pada awal artikel masih akan berlaku dan kita hanya mampu berdoa agar semuanya terkawal.