Zaman sekarang, ramai individu-individu berpengetahuan luas ada. Selain itu usaha perkongsian ilmu juga kerap kali diadakan, baik sama ada secara rasmi ataupun tidak rasmi.
Kerap kali kita mendengar perkataan seperti seminar, bengkel, simposium dan persidangan disebut apabila membicarakan tentang proses atau kaedah perkongsian ilmu namun kebiasaannya, akan berlaku campur aduk orang ramai dalam memahami makna sebenar di sebalik setiap satu peristiwa yang mahu dianjurkan.
Berikut adalah sedikit penjelasan berkenaan beza persidangan, seminar, bengkel dan simposium - agar dapat kita gunakan istilah yang betul pada tempat yang betul.
BESARKAN TEKS A- A+
Makna 'persidangan'
Di antara keempat-empat acara perkongsian ilmu yang boleh dianjurkan, persidangan atau 'conference' merupakan acara yang terbesar sekali dengan penyertaan seramai ratusan, malahan ribuan orang peserta. Persidangan biasanya melibatkan peringkat negeri atau negara, malahan antarabangsa melibatkan panel yang dijemput penganjur dari mana-mana institusi.
Diletakkan di status tertinggi berikutan kedudukan acara persidangan kerap kali menampilkan panel-panel bertauliah, persidangan juga boleh mempunyai sesi ceramah mini di mana pembentang atau panel, diberikan sesi khas muka ke muka untuk membincangkan isu yang telah atau akan mereka bentangkan.
Biasanya diadakan selama beberapa hari bagi memastikan setiap panel mempunyai masa yang cukup membentang dapatan mereka, jadual persidangan padat bermula pagi sehinggalah membawa ke petang atau malam jika perlu.
Apa sebenarnya 'seminar'?
Berbeza dengan persidangan, seminar pula diadakan tanpa melibatkan panel-panel luar dengan hanya penglibatan individu di dalam institusi tersebut dibenarkan. Jumlah peserta yang hadir juga jauh lebih rendah. Pembentangan juga disifatkan lebih fokus, peserta seminar cuba berbincang tentang sesuatu topik yang berkaitan dengan mereka dengan kaedah perbincangan menjadi cara utama diskusi dilakukan.
Berbeza dengan persidangan yang memakan masa berhari-hari, seminar pula biasanya dapat diselesaikan dalam setengah ke satu hari. Di peringkat pendidikan, seminar kerap kali dianjurkan bagi membolehkan peserta fakulti membincangkan idea baru yang mereka ada, sebelum dibentangkan kepada audien yang lebih besar.
Diskusi yang dijalankan juga membolehkan setiap peserta mendapat maklum balas terus daripada rakan sekejar atau peserta lain, membolehkan penambah baikan dilakukan atau diperkenalkan dengan lebih pantas.
'Bengkel' pula apa penjelasannya?
Bengkel dianjurkan untuk peserta mempelajari atau membincangkan sesuatu yang baru dalam skala yang kecil. Berbeza dengan seminar, peserta bengkel pula boleh datang daripada pelbagai cabang - tidak semestinya perlu datang daripada jurusan serupa. Bengkel boleh dihadiri oleh sesiapa saja kerana selalunya bengkel merupakan sesi perkongsian ilmu sama ada secara teori atau secara teknikal, didorong oleh minat atau keperluan peserta itu sendiri.
Berikutan skop pembentangan yang lebih spesifik serta keperluan untuk menyamaratakan kadar pemahaman peserta yang berbeza-beza latar belakang, bengkel selalunya fokus kepada satu topik sahaja serta dianjurkan dalam bilangan peserta yang rendah, kebiasaannya 10 hingga 50 orang maksima.
Jumlah peserta yang rendah diperlukan, bagi membolehkan pengajar atau fasilitator meluangkan masa menunjuk ajar memastikan setiap peserta dapat memahami apa yang dikongsikan.
Apa itu 'simposium'?
Di antara kesemua format perkongsian ilmu yang ada, simposium merupakan format yang agak kabur situasinya. Diistilahkan sedemikian rupa berdasarkan perkataan Greek 'symposio' yang bermakna 'mari minum bersama,' perkataan simposium sudah pun membawa makna berbeza dalam era moden kita.
Simposium dan persidangan bolehlah dikatakan mirip, bagaikan adik beradik. Ini kerana simposium turut sama menjadi aktiviti perjumpaan di antara individu-individu sama ada secara akademik atau professional yang pakar dan bertauliah dalam bidang masing-masing.
Yang membezakannya adalah topik yang dibawa dalam sebuah simposium lebih fokus dan padat, dengan pembentangan setiap panel tidak lari jauh daripada topik asalnya. Adalah tidak salah untuk mengatakan simposium ibarat sebuah persidangan yang dianjurkan dalam skala lebih kecil.