Kredit foto: Instagram @yanasamsudin
Anak pelakon Yana Samsudin, Aisy Mateen, dikejarkan ke hospital di Batu Pahat, Johor selepas mengalami demam panas yang menyebabkannya hampir sawan.
“Anak hampir sawan. Mak beritahu badan Mateen keras kaku,“ cerita Yana.
Melalui perkongsian di laman Instagram, isteri kepada pelakon Fadzil Zahari itu mendedahkan insiden terbabit berlaku ketika dirinya bersama suami sedang berada di luar atas urusan kerja.
Katanya, sewaktu sebuah perjumpaan berlangsung di Johor Bahru, dia menerima panggilan pada awal pagi hingga berasakan ada sesuatu yang tidak kena.
“Rabu lalu sekitar jam 3.30 pagi kami masih lagi gigih nak habiskan satu perjumpaan di Johor Bahru. Namun, tiba-tiba dapat satu panggilan dari rumah di Yong Peng.
"Memang pelik kalau dapat panggilan awal pagi. Mesti ada kecemasan. Rupanya betul, Mateen demam panas," katanya.
Sebaik saja maklum akan keadaan Mateen, dia mengarahkan agar anak kecil itu dihantar ke pusat rawatan terdekat.
Kredit foto: Instagram @yanasamsudin
"Ketika itu, kami terus minta Mateen dibawa ke klinik 24 jam sementara kami dalam perjalanan bertemu Mateen.
“Nasib baik Klinik Kesihatan Yong Peng dekat. Kami sampai sana jam 5 pagi dan Mateen sudah diberikan ubat,” katanya.
Sementara itu, Yana berpesan kepada para pengikutnya supaya mengambil langkah pencegahan awal dan rawatan segera sekiranya situasi sama berlaku kepada mereka.
“Saya ingin nasihatkan pada semua, tak kiralah sudah ada anak, bercucu ataupun tak kahwin lagi. Mereka yang mahu berjalan jauh atau nak tinggalkan anak dengan penjaga, bawa ubat serta tolonglah bagi ubat ikut masa.
“Jika panas tak juga kebah, jangan selimutkan tapi beri ruang udara panas untuk keluar. Kalau ada anak anak yang pernah kena sawan pertama kali , peluang untuk kena kali kedua sangat tinggi.
“Kalau terkena juga Sawan terus ke hospital, jangan tangguh lagi. Takut tak bernafas . Allahuakbar sedihnya kalau berlaku.
“Apa yang berlaku kelmarin buat kami panik,” katanya.