Orang dewasa selalu terkena gangguan sakit kepala yang menyebabkan kepala rasa berpusing, berdenyut-denyut dan mata rasa berpinar. Tapi kalau anak mengadu sakit kepala, perlukah kita ambil serius?Untuk pengetahuan anda, sakit kepala bukanlah hanya merupakan masalah orang dewasa.
Kanak-kanak dan remaja juga mengalaminya. Menurut tinjauan yang dibuat oleh Yayasan Sakit Kepala Amerika, 25 daripada 1,000 kanak-kanak berusia 6 hingga 17 tahun mengalami sakit kepala yang kerap ataupun kronik.
BESARKAN TEKS A- A+
Ramai ibu bapa yang beranggapan sakit kepala di kalangan kanak-kanak adalah disebabkan masalah mata seperti rabun atau astigmatism. Mereka sangka sakit itu disebabkan terlalu banyak menonton tv atau bermain gajet. Tapi sebenarnya, kajian yang didedahkan oleh Akademi Oftalmologi Amerika mendapati, tiada kaitan besar antara sakit kepala dan masalah penglihatan anak.
Jadi apa punca sebenar anak sakit kepala?
Antara punca yang menyebabkan sakit kepala adalah faktor sakit seperti sinus, demam atau jangkitan telinga; faktor persekitaran seperti pencemaran, cuaca dan asap rokok sekunder; serta faktor tekanan seperti kemurungan dan tidur yang tidak mencukupi.
WebMD menjelaskan terdapat lebih 150 jenis sakit kepala namun jenis-jenis yang paling selalu dijumpai adalah:
Sakit kepala akibat ketegangan
Sakit kepala ini merupakan yang paling lazim terjadi di kalangan orang dewasa mahupun kanak-kanak. Sakit kepala jenis ini berlaku akibat ketegangan otot di bahagian dahi dan tepi kepala yang berpunca daripada situasi tegang, tekanan ataupun stress.
Migrain
Ada kanak-kanak yang berasa loya dan rasa 'berpusing' apabila sakit kepala jenis ini menjelma. Migrain menyebabkan sakit menyucuk di sebelah bahagian kepala secara lazimnya.
Sakit kepala akut
Sakit kepala ini boleh disebabkan oleh jangkitan demam, selesema dan sinusitis. Selain itu, glaukoma dan jangkitan dalam mulut seperti sakit gusi atau gigi bernanah juga boleh menyebabkan sakit kepala yang teruk pada anak-anak. Akhir sekali, masalah penglihatan juga mungkin menjadi salah satu faktor di mana otot di sekeliling mata menjadi letih kerana terpaksa memfokus mata walaupun dalam keadaan rabun.
Sakit kepala kronik
Dikenali juga sebagai radang sakit kepala, sakit kepala jenis ini sering bertambah teruk dan berlaku dengan lebih kerap atau berterusan. Ini mungkin disebabkan oleh penyakit yang lebih kronik seperti ketumbuhan dalam otak, darah beku, jangkitan kuman dalam otak atau kemerosotan fungsi otak.
Antara simptom yang perlu diperhatikan adalah anak muntah, menjadi lemah tubuh dan anggota badan, hilangan ingatan atau penglihatan.
Bila anda perlu dapatkan rawatan?
Walaupun kebanyakan sakit kepala di kalangan kanak-kanak adalah tidak begitu serius, namun sekiranya anak mengalami masalah sakit kepala sehingga mengganggu aktiviti hariannya ataupun terlalu kerap terjadi dan sakit berterusan, sila terus berjumpa dengan doktor untuk mendapatkan pemeriksaan lanjut.
Adalah penting untuk anda mencatat segala simptom dan kekerapan anak mengadu sakit kepala supaya doktor boleh membuat diagnosis dan pilihan imbasan (scan) yang lebih tepat sama ada CT scan, MRI atau EEG. Beritahu doktor segala perincian seperti waktu terjadi atau sekiranya ada makanan yang membuatkan sakit lebih teruk.
Tarikh kemaskini : 12 March 2018