Kredit foto: Instagram Fazley Yaakob
Penyanyi dan cef selebriti, Datuk Fazley Yaakob, menafikan spekulasi yang mengatakan dia kurang sopan apabila mencampak makanan sewaktu penyediaan hidangan unik ‘Sweet Table’ baru-baru ini.
Menurut Fazley, hidangan yang dicampak itu sebenarnya disediakan kepada keluaraga dan bukanlah untuk para pelanggannya.
“Saya tidak terkesan dengan kritikan yang diberikan cuma saya ingin jelaskan yang mereka tengok itu adalah hidangan dilakukan ketika sambutan majlis hari jadi adik saya, Raf.
“Bukan campak, tapi disebabkan ahli keluarga ramai dan meja panjang jadi saya terpaksa lambung.
“Itu sebenarnya hanya untuk memberi adik-beradik dan keluarga saya merasai pengalaman ‘Sweet Table’ dilakukan.
“Konsep sebenar yang akan dihidangkan kepada pelanggan adalah dengan cara melukis di atas meja," katanya kepada Astro Gempak.
Sehubungan itu, Fazley berharap masyarakat tidak bimbang kerana sejujurnya, dia menyedari perbuatan itu tidak sopan.
Malah beliau mengakui tidak akan bertindak sedemikian ketika melayan para pelanggannya.
“Kalau nak suruh campak-campak makanan, itu saya pun tak setuju.
“Nenek dan ibu saya dah ajar sejak kecil, makanan tak boleh dicampak. Jangan khuatir, saya faham tentang perkara itu.
“Tak mungkin saya nak campak makanan ketika menyediakan hidangan tersebut kepada pelanggan,” jelasnya.
Terdahulu, video pendek yang memaparkan Juara Masterchef Selebriti Malaysia 2012 ini mencampak makanan sewaktu menyediakan hidangan ‘Sweet Table’ menjadi tular.
Video yang dikongsi Fazley di laman Instagram pada 10 Januari itu sehingga kini meraih lebih 1 juta tontonan.
Sumber berita: Astro Gempak