Kredit foto: Astro Gempak

Adik pelawak popular, Achey Bocey, Nornatasha Hamzah atau Tasya, antara yang terpilih untuk menyertai program baharu, Gegar Lawak, yang bakal ke udara di Astro Warna mulai 19 Januari ini.

Tasya yang merupakan seorang daripada dua peserta wanita, bakal berentap bersama 12 lagi peserta lelaki dalam program komedi baharu berkenaan.

Beliau yang merupakan kerani akaun di sebuah firma kewangan di Labis, Johor berkata, dia terlebih dahulu mendapat 'restu' Achey sebelum memasuki persaingan berkenaan.

"Abang (Achey) memang memberi galakan dan sokongan penuh untuk saya mencuba nasib dalam pertandingan ini.

"Ia juga pertandingan lawak pertama saya sertai dan berjaya terpilih ke peringkat seterusnya. Sebelum ini, saya ada menghadiri uji bakat pertandingan lain seperti Akademi Fantasia dan Mentor, namun nasib kurang menyebelahi saya," kata Tasya, 25, yang juga berkebolehan dalam bidang nyanyian dan lakonan.

Sementara itu, Tasya akui dia bertindak merahsiakan statusnya sebagai adik kepada pelawak tersebut pada dua saringan awal.

"Namun, ia akhirnya diketahui juga. Jujurnya, saya bimbang andainya hubungan persaudaraan kami diketahui kerana takut dibayangi abang sendiri.

"Saya risau jika dikatakan cuba menumpang popularitinya. Secara tak langsung, rasanya jangkaan orang luar juga akan lebih tinggi apabila mereka tahu saya adik kepada Achey," katanya.

Gegar Lawak yang dikemudi pasangan hos Kamal Adli dan Fad Bocey, antara lain menampilkan pelawak Tauke, Nizam Jentik Jentik, Ali Puteh dan Dzawin yang berperanan sebagai Rakan Komedi dan penasihat kepada para peserta.

Juara bakal membawa pulang hadiah berupa wang tunai RM50,000 berserta trofi.

Sumber berita: BH Online




Hakcipta iluminasi.com (2017)